Monday, 30 September 2019

SIFAT BAIK DI HATI PERLU DIZAHIRKAN


Sifat baik itu ada pada hati dan segala kebaikan hati itu kemudiannya akan dizahirkan melalui tindakan dan perbuatan.

Biasanya jika bertemu orang, kita suka akan kebaikannya, iaitu kelebihan dari segi (EQ, kecerdasan emosi atau Emotional Quatient) bukan kerana kecerdikannya atau kecantikannya dari segi (IQ, kecerdasan minda atau Intelligence Quotient).

Kecerdasan minda atau IQ senang diukur, kerana sudah terserlah berdasarkan pencapaian akademiknya. Manusia memiliki 10 inteligensia, iaitu lima interpersonal (fahami orang) dan lima interpersonal (fahami diri).

Sebab itu sangat penting di peringkat umur kanak-kanak kosong hingga tujuh tahun ini ibu bapa menyeimbangkan mendidik dan membangunkan IQ dan EQ mereka.

Dalam kita fokus memberikan sepenuh kasih sayang, perlu juga bina minda anak-anak dengan membuatkan mereka berfikir untuk membangunkan rasa atau emosi pada hatinya.

Supaya kita boleh menjadi orang yang ‘memberi perhatian’ bukan ‘mencari perhatian’.

Orang yang ‘memberi perhatian’ sentiasa menjaga hubungan sesama manusia daripada suka menerima kepada menjadi orang yang suka memberi. Tidak suka bersaing, tetapi suka bekerjasama. Tidak perlu dihormati, tetapi menghormati orang lain. Tidak sombong dan mementingkan diri tetapi sentiasa menjaga silaturahim. Tidak suka bercakap kehebatan tentang diri sendiri dan berasa dirinya sahaja yang betul.

Sebaliknya menjadi seorang yang suka mendengar tentang kehebatan orang lain dan menerima pandangan orang.

Orang yang ‘memberi perhatian’ tidak minta dia difahami, tetapi dia menjadi orang yang memahami keadaan orang sekelilingnya. Tidak mencari kebahagiaan, tetapi ingin memberi kebahagiaan. Jika hubungan silaturahim terjaga itulah punca kebahagiaan.

Sesungguhnya, orang yang paling bahagia ialah orang yang bahagia melihat orang lain bahagia. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Petikan tulisan: Prof. Datuk Dr Muhaya Mohamad 

No comments:

Post a Comment