Saturday 22 October 2016

Kebaikan harta wakaf

Maksud wakaf sesuatu diberikan untuk kegunaan orang ramai (sebagai derma), diberikan atau diuntukkan bagi keperluan dan sebagainya berkaitan dengan agama Islam. 

Manfaat harta atau sesuatu diwakafkan dapat memberi kebaikan kepada sekelompok orang atau orang ramai yang dapat digunakan secara berpanjangan untuk tempoh tertentu atau sehingga tidak dapat digunakan. 

Di sebalik harta yang memberi manfaat kepada orang ramai, hikmah di sebalik wakaf adalah membuka ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan cara mengalirkan harta di jalan-Nya.  

Tiada amalan yang paling disukai seorang mukmin selain amalan yang boleh mendekatkan dirinya dengan Allah SWT dan menjadikan dirinya dikasihi Allah SWT.  

Melalui amalan wakaf seorang Muslim berpeluang menzahirkan pengabdian dan cintanya kepada Allah SWT. Sesungguhnya perasaan cintakan Allah SWT hanya dapat dizahirkan melalui amalan dan pelaksanaan.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kebaikan (yang sempurna) sehingga kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.” (Surah Ali Imran, ayat 92)  

Wakaf juga dapat menunaikan impian seorang mukmin untuk melihat kebajikannya sentiasa berterusan walaupun selepas kematiannya dan ganjaran pahala sentiasa diperoleh  selepas meninggal dunia.  

Harta wakaf memberi pahala berkekalan biarpun selepas meninggal dunia selagi harta itu memberi manfaat kepada orang lain.   

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apabila seorang manusia mati segala amalannya akan terputus kecuali daripada tiga sumber; sedekah jariah atau ilmu yang boleh dimanfaatkan atau anak salih yang mendoakannya. (Hadis riwayat Muslim)

Melalui wakaf akan tercapai kepentingan Islam. Sekiranya harta wakaf ini diuruskan dengan baik ia boleh menjadi aset yang baik untuk mencapai kepentingan masyarakat Islam seperti membina masjid, sekolah, menghidupkan ilmu, syiar Islam seperti azan, kepimpinan Islam dan sebagainya.  

Akhirnya, wakaf dapat memenuhi keperluan fakir miskin, anak yatim dan ibnu sabil yang tidak dapat mencari rezeki kerana keadaan tertentu. Harta wakaf ini boleh memenuhi keperluan dan mengurangkan kesengsaraan mereka.  

Amalan wakaf menjadi budaya di kalangan sahabat Rasulullah SAW. Jabir pernah berkata: “Tidak ada seorang pun di kalangan sahabat yang berkemampuan tetapi tidak mewakafkan hartanya.” Perbuatan sahabat ini menunjukkan kepada kita bagaimana mereka sangat mengerti dalam mengamalkan ajaran Islam yang berkaitan dengan harta di mana ia adalah titipan Allah yang mesti dipelihara dengan sebaik-baiknya.  

Syeikh Mahmud Syaltut dalam bukunya al-Islam: Aqidah wa Syari’ah menulis: “Menyedari bahawa faedah yang lahir daripada harta itu akan merangkumi semua pihak dalam masyarakat, dan harta itu pula dapat memenuhi keperluan masyarakat seperti yang kami sebutkan, maka Allah SWT menyandarkan harta itu supaya diambil perhatian mengenai betapa pentingnya harta itu dan kadangkala kepada diri-Nya sendiri.

No comments:

Post a Comment