Friday 21 October 2016

Permulaan kalender Islam

Permulaan kalendar Islam atau tahun Islam yang dikenali Tahun Hijrah berdasarkan kepada peristiwa hijrah Rasulullah dari Makkah ke Madinah. Rasulullah SAW meninggalkan Makkah menuju Madinah pada hari Khamis akhir bulan Safar. 

Pada ketika itu, masyarakat Arab telah mempunyai kalender berdasarkan bulan-bulan tahun Hijrah. Bagaimanpun, tidak ada kiraan tahun, sebaliknya berdasarkan peristiwa tertentu.

Contohnya, Tahun Gajah adalah merujuk kepada tahun di mana Abrahah menyerang kota Makkah dengan tentera bergajahnya.

Kiraan tahun Hijrah mula digunakan pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab. Penggunaannya tercetus apabila Abu Musa al-Asyri yang menjadi Gabenor Kufah mencadangkan agar Umar menulis tarikh pada surat-surat yang dikirimkan kepada beliau bagi memudahkan mengetahui surat mana yang terlebih dahulu ditulis.

Lanjutan itu, Umar telah mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan tentang penggunaan tarikh yang dapat digunakan atau pengenalan kepada umat Islam. Banyak pendapat dikemukakan oleh para sahabat mengenai perkara itu.   

Akhirnya mereka sepakat menetapkan tarikh Islam bermula dari Hijrah Nabi Muhammad SAW ke kota Madinah. 

Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW berlaku demi keselamatan penganut Islam. Rasulullah SAW amat sayangkan Makkah, namun apakah daya keadaan terpaksa.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Demi Allah, sesungguhnya negeri Makkah adalah sebaik-baik bumi Allah, dan bumi yang paling aku sukai ialah Makkah dan sekiranya aku tidak dihalau nescaya kau tidak akan keluar (dari Makkah).” (Hadis riwayat Bukhari).

Nabi Muhammad SAW merancang perjalanan hijrah dengan begitu teliti. Ini memandangkan pada waktu yang sama juga Musyrikin Makkah sudah merancang membunuh baginda.

Untuk mengelak mudah dikesan, perjalanan hijrah dilakukan dalam kumpulan kecil seramai tiga orang iaitu Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Abdullah bin Uriqith sebagai penunjuk jalan.

Abu Bakar dipilih menjadi teman perjalanan memandangkan sifat setiakawan dan iman yang kental dalam dirinya. Abu Bakar sahabat paling setia dan yang pertama mengiyakan semua kata-kata Rasulullah SAW. Beliau lelaki dewasa pertama mengaku beriman.

Abdullah bin Uriqith seorang kafir. Namun khidmatnya diperlukan memandangkan dia amat mahir dalam selok belok perjalanan menuju ke Madinah. Dia juga diyakini amanah dan berkemampuan melakasanakan tugas yang ditagih daripadanya. Ini membuktikan Islam membenarkan khidmat orang kafir demi untuk kebaikan Islam.   

Saidina Ali ditugaskan menggantikan tempat tidur Nabi Muhammad SAW bagi mengelirukan Musyrikin Makkah. Keberanian Ali  melakukan tugas biarpun mengetahui akan berdepan dengan resiko besar amat terpuji.  

Tindakan itu juga membuktikan keberanian seorang pemuda yang taat kepada perintah dan yakin apa yang dilakukan satu tindakan benar.

Asma binti Abu Bakar pula menjadi srikandi apabila mempertaruhkan nyawa menghantar makanan kepada Rasulullah di Gua Shur, tempat persembunyian sementara sebelum meneruskan perjalanan. 

Asma tidak ragu-ragu melaksanakan tugas itu walaupun sedar bukan senang baginya untuk melepasi intipan Musyrikin Makkah dan perlu berjalan agak jauh dari kota Makkah.

Saidina Umar yang terkenal berani pula berjaya mengelirukan Musyrikin Makkah apabila menghebahkan atau mengugut sesiapa yang berani menghalangnya daripada menyusul Rasulullah SAW ke Madinah.

Hebahan itu seakan-akan memberitahu orang ramai bahawa Rasulullah SAW telah berhijrah.  Keadaan itu menjadikan Musyrikin Makkah keliru tentang adakah Rasulullah SAW masih di Makkah atau benar-benar telah menuju ke Madinah seperti yang dihebahkan Saidina Umar. 

Setelah menempuh perjalanan yang sukar, akhirnya Nabi Muhammad SAW sampai di Madinah lewat beberapa hari dari yang dijangkakan.  

Hijrah Rasulullah ke Madinah mendapat sambutan di luar dugaan. Seluruh penduduk Madinah keluar menyambut ketibaan Rasulullah SAW. Mereka memukul gendang dan menyanyi yang mengalu-alukan kedatangan baginda.  

Iktibar daripada peristiwa Hijrah wajar dijadikan daya mengubah semangat diri untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Umat Islam perlu bangkit kembali menjadi ummah yang berkuasa dan dihormati. 

No comments:

Post a Comment