Saturday 22 October 2016

Hargai sumber air

Kepentingan air kepada manusia dan hidupan lain banyak dijelaskan dalam al-Quran. Firman Allah dalam al-Quran bermaksud: “Dan Kami turunkan dari langit air yang banyak manfaatnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pohon-pohon dan biji tanaman yang dikutip hasilnya.” (Surah Qaf, ayat 9).

Malaysia termasuk antara kawasan yang banyak menerima jumlah taburan hujan sepanjang tahun. Sumber air membantu aktiviti ekonomi seperti pertanian, penternakan, kegunaan domestik dan perindustrian dijalankan dengan baik.

Sumber air perlu diurus dengan baik bagi mengelak bencana melibatkan air. Dua bencana melibatkan air ialah kemarau dan banjir. Kemarau panjang menyebabkan tiada bekalan air sehingga menghadapi masalah kritikal penggunaan air. Manakala banjir pula menyebabkan kemusnahan harta benda dan nyawa yang dianggap antara bencana alam paling dahysat. 

Walaupun purata hujan di seluruh negara agak banyak, bekalan air sentiasa terjejas di banyak tempat dan kadang kala meruncing. Masalah kekurangan bekalan air bukan satu kebetulan, tetapi satu kejadian akibat perbuatan manusia sendiri. 

Perkara ini berlaku disebabkan kurang penghayatan dan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak dalam soal pengurusan sumber air. Banyak pihak menganggap masalah berkaitan air adalah satu bencana alam biasa. 

Mereka lupa sebenarnya kejadian itu adalah balasan diturunkan ke atas manusia yang tidak menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah yang perlu menguruskan sumber alam dengan baik. 

Firman Allah bermaksud: “Dan setiap nasib buruk yang menimpa kamu adalah disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri, dan Tuhan memaafkan sebahagian besarnya.” (Surah asy-Syura, ayat 30).

Sikap tamak dan angkuh menjadikan manusia tidak merasakan apa-apa kesalahan biarpun mengetahui perbuatan mendatangkan keburukan.

Air bukan sahaja diperlukan oleh manusia, tetapi menjadi ‘nyawa’ kehidupan kepada alam ini. Tumbuhan dan haiwan hidup dengan adanya air. Tanpa air bumi akan gersang dan tidak ada sesuatu pun boleh hidup. 

Memandangkan air menjadi bahan utama untuk kehidupan, semestinya manusia menghargai air. Sekiranya Allah telah menarik balik nikmat diturunkan melalui air, tidak ada sesiapa dapat mengatasi kekuasaan Allah untuk mengubah ketentuan-Nya. 

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah apakah pandangan kamu jika sekiranya air kamu hilang lenyap (ditelan bumi), maka siapakah selain Allah yang dapat mendatangkan kamu air yang sentiasa terpancar mengalir.” (Surah al-Mulk, ayat 30).

Manusia dikenakan balasan di dunia atas apa dilakukan sebagai satu peringatan agar kembali insaf dan tidak berterusan melakukan dosa. Sepertimana diceritakan dalam al-Quran mengenai kehancuran menimpa kaum Saba akibat ingkar mematuhi perintah Allah.

Kaum Saba mendapat limpah kurnia melakukan aktiviti pertanian secara besar-besaran dengan adanya bekalan air mencukupi melalui pembinaan ampangan. Negeri Saba mendapat kemakmuran dan kehidupan mewah sehingga menjadi tumpuan penduduk dari negeri lain. 

Namun, segala nikmat tidak ditarik balik apabila kaum Saba ingkar perintah Allah. Firman Allah bermaksud: “Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan.” (Surah Saba, ayat 16).

No comments:

Post a Comment