Sunday 15 January 2017

Malaysia negara sekular?

Status Malaysia negara Islam atau sekular? Soalan tersebut sebenarnya bersifat semantik kerana jawapannya bergantung kepada definisi negara Islam itu sendiri.

Sebahagian ulama sudah melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Tetapi ada sebahagian lain mengatakan tidak dan perlu melakukan lebih untuk menjadi sebuah negara Islam. Namun yang pasti, Malaysia bukan negara sekular.

Sekularisme adalah prinsip pemisahan institusi kerajaan dan orang yang diberi mandat untuk mewakili kerajaan daripada institusi-institusi agama dan pengamalan agama.

Dalam sebuah negara sekular, agama tidak dan tidak perlu memainkan peranan dalam pentadbiran negara. Dalam sebuah negara sekular sepatutnya tidak ada apa-apa keutamaan atau prasangka dilakukan terhadap mana-mana agama.

Jika diperhalusi, Perlembagaan Persekutuan sebenarnya memperuntukkan banyak fasal mengenai agama Islam. Umpamanya Perkara 3 menegaskan tanpa keraguan bahawa Islam adalah agama Persekutuan.  

Negara sekular seperti Perancis, Turki dan India menyatakan dengan jelas dalam perlembagaan mereka bahawa negara itu negara sekular tanpa merujuk kepada sebarang agama. Ia tidak berlaku dalam Perlembagaan dengan wujudnya Perkara 3 di atas.  

Jika Perlembagaan adalah sekular, tentu Perkara 3 itu ditiadakan, malah ada banyak fasal lain yang memberi keistimewaan dan kedudukan tinggi agama Islam. Ia mustahil berlaku dalam sebuah negara sekular.  

Sebuah negara sekular tidak boleh mengeluarkan dana awam bagi perkembangan sesuatu agama kerana ia bertentangan dengan prinsip sekularisme. Namun, di Malaysia, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memperuntukkan ratusan juta ringgit bagi pengembangan dan kemajuan agama Islam, sama ada untuk pembinaan masjid, peruntukan jabatan berkaitan agama Islam dan banyak lagi.  

Tindakan kerajaan selaras dengan peruntukan Perlembagaan yang membenarkan dana awam digunakan bagi pembangunan agama Islam seperti diperuntukkan Perlembagaan dan sekali gus menjadi bukti Islam mendapat tempat istimewa dalam Perlembagaan.  

Perkara 11(4) Perlembagaan pula memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan membuat undang-undang mengawal dan menyekat penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam.  

Adalah mustahil dalam sebuah negara bersifat sekular keistimewaan itu diberikan kepada sesebuah agama. Hal ini dengan sendiri menafikan hujah Perlembagaan adalah perlembagaan sekular.  

Malah, dengan pindaan Perlembagaan pada 1988 menyatakan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa mengganggu keputusan Mahkamah Syariah, sekali gus menaikkan kedudukan agama Islam dan Mahkamah Syariah walaupun ada kalangan masyarakat tidak berpuas hati dengan kedudukan itu. Sekali lagi keistimewaan diberikan kepada agama Islam.

Malah, dalam banyak keadaan lain, agama Islam dirujuk dan diiktiraf. Ia termasuk dalam sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong juga menggunakan format dengan menyebut nama Allah seperti lafaz wallahi wabillahi watallahi.

Ia sumpah syarie mengikut lunas undang-undang syariah. Dengan menggunakan nama Allah SWT, kedua-dua baginda berazam akan mempertahankan agama Islam di negara ini. Dengan mengetepikan Islam, ia sudah tentu akan memecahkan sumpah Yang di- Pertuan Agong mempertahankan Islam.

Malah, Perdana Menteri dan kerajaannya juga wajib mempertahankan Islam sejajar dengan sumpah itu. Seluruh rakyat seharusnya menerima hakikat ini dan tidak berdolak dalik berselindung di bawah bayangan lampau.

Adalah jelas Perlembagaan dan negara Malaysia bukan negara sekular dalam erti kata sekular itu sendiri. Negara sekular memisahkan agama daripada perundangan dan pentadbiran. Negara sekular meminggirkan agama dalam mengejar kemajuan.

Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan. Islam juga jelas dinyatakan sebagai agama bagi semua negeri di Malaysia kecuali Sarawak.

Tidak ada perkataan ‘rasmi’ digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai agama. Malah perkataan sekular juga tidak ditemui di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlu diingat, jika kita meneliti Laporan Suruhanjaya Reid kita akan memahami bahawa sekularisme telah ditolak ketika suruhanjaya tersebut merangka Perlembagaan Persekutuan.

Melihat Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, tidak ada susunan kata yang nyata yang menetapkan bahawa pengisytiharan Islam sebagai agama persekutuan tidak akan menghalang kerajaan daripada menjadi negara sekular.

Perkara 3 (1) berbunyi, Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Oleh yang demikian, pengiktirafan Perlembagaan kepada pelbagai entiti Islam dan badan-badan seperti mahkamah syariah dan pihak berkuasa agama Islam yang diberi kuasa-kuasa yang jelas untuk menjalankan hal ehwal umat Islam adalah sejajar dengan semangat kerangka asas Perlembagaan itu sendiri.

No comments:

Post a Comment