Sunday 15 January 2017

Siasat salah pecat pekerja

Penamatan kerja terhadap pekerja oleh majikan berlaku setiap masa. Perkara ini disebabkan penamatan operasi, pengurangan pekerja dan sebab-sebab lain.

Pekerja ditamatkan kerja dengan dua kaedah. Pertamanya ialah melalui 'penamatan' kerja yang berlaku berdasarkan kepada peruntukan perjanjian antara majikan dan pekerja. Menurut undang-undang, 'penamatan' kerja adalah merujuk kepada penamatkan kepada kontrak berkerja.

Pekerja dan majikan mengikat kontrak di mana majikan menawarkan pekerjaan atau tugas kepada pekerja dengan balasan upah atau gaji. Kontrak itu berjalan selama masa dipersetujui dan terma-terma lain yang ditetapkan.     

Penamatan itu berlaku sama ada pihak-pihak terbabit memberi notis atau sebaliknya. Alasan biasa penamatan itu ialah tempoh kontrak telah berakhir atau perkara lain yang membawa kepada penamatan itu.   

Cara kedua ditamatkan kerja ialah melalui pemecatan. Kaedah ini merujuk kepada penamatan kerja oleh majikan tanpa sebarang notis dan puncanya berdasarkan kepada tidak mematuhi atau pelanggaran perjanjian perkhidmatan.

Terma ini dijelaskan dalam kes Chin Thoong Sam dan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd (Award 52/1997) ... "pemecatan ialah akibat tidak mematuhi terma-terma perkhidmatan, sama ada yang dinyatakan secara nyata atau tersirat.

Maka, itu kita dapat mendifiniskan pemecatan ialah kehilangan kerja disebabkan kesilapan atau perbuatan salah yang dilakukan oleh pekerja sendiri. Pemecatan bertujuan untuk mengelak majikan menanggung kerugian atau kesusahan akibat tindakan pekerja.

Banyak kes, kesalahan pekerja yang serius menyebabkan majikan terpaksa menaggung kerugian besar hingga tidak mampu meneruskan operasi. Ia memberi kesan kepada banyak pekerja lain. Maka langkah pencegahan terbaik ialah memecat pekerja berkenaan.

Bagaimanapun, sebelum sesuatu tindakan pemecatan dibuat, dicadangkan agar dibuat lembaga penyiasatan untuk mencari keadilan agr tindakan itu tidak satu penganiayaan terhadap pekerja.

Bagaimanapun, penubuhan lembaga penyiasatan bukan pekara wajib. Ia adalah satu pilihan bagi mengelak perkara berbangkit kemudian. Ini kerana pekerja yang dibuang kerja boleh membawa kes itu ke mahkamah. 

Jika didapati pekerja itu dibuang oleh majikan tanpa kewajaran atau sebab yang benar, pekerja berhak untuk mendapat hak diambil bekerja semula atau diberi pampasan yang sewajar. 

Untuk mengelak perkara ini terjadi, maka elok penyiasatan dilakukan untuk memastikan kewajaran pekerja ditamatkan perkerjaan atau sebaliknya.

Pekerja wajar mempertahankan hak dalam pekerjaan. Pekerja telah memberi khidmat yang membawa kepada kejayaan atau keuntungan syarikat. Jadi, tidak patut khidmat ditamatkan tanpa alasan yang wajar. Jangan jadi seperti peribahasa, habis madu sepah dibuang.

Namun, dalam kebanyakan kes, kontrak pekerjaan tidak disediakan secara bertulis. Tidak ada hitam putih dalam segi ikatan antara majikan dan pekerja. Perkara ini berlaku dalam kes kerja atau tugasan kecil yang melibatkan bilangan kerja yang sedikit. Dalam kes seumpama ini, pekerja sukar untuk menuntut hak mereka berkaitan pemecatan atau penamatan kerja.

No comments:

Post a Comment