Sunday 15 January 2017

Bantu OKU berdikari

Cara bantu orang kelainan upaya (OKU) berdikari. Bukan aku minta dilahirkan begini, itulah satu keluhan biasa didengari diluahkan oleh OKU. OKU dikategorikan sebagai individu tidak sempurna anggota, pancaindera dan mental sejak dilahirkan atau akibat penyakit, kemalangan dan unsur-unsur lain.  

Cacat tidak semestinya tidak mempunyai peluang untuk berjaya. Individu mengalami kecacatan penglihatan, pertuturan dan pendengaran mempunyai potensi untuk berjaya seperti individu normal jika diberi latihan dan pendidikan khas. Mereka mempunyai kemampuan mental dan perasaan seperti individu normal.

Ibu bapa yang mempunyai anak kategori OKU perlu memberi peluang anak mereka untuk mendapat apa yang diperoleh anak-anak biasa berkaitan pendidikan. Membiarkan anak kategori OKU tanpa usaha pemulihan dan pendidikan yang sewajarnya akan menjadikan keadaan lebih buruk. 

Jika mereka diasuh dan diberi latihan, sudah pasti sedikit sebanyak penggantungan terhadap ibu bapa dapat dikurangkan apabila kemampuan fizikal dan mental bertambah baik.

Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Malaysia menerima pakai sebahagian besar perkara dalam konvensyen itu, jelas menunjukkan negara mengiktiraf kanak-kanak OKU dan mereka berhak mendapat pendidikan setaraf kanak-kanak normal.

Perkara 23 dalam konvensyen tersebut menyebut, di mana kanak-kanak OKU mempunyai hak terhadap jagaan, pendidikan dan latihan khas untuk membantunya menikmati kehidupan yang sepenuhnya.

Manakala, Perkara 29 dalam CRC juga menyebut, matlamat pendidikan ialah bertujuan mengembangkan personaliti, bakat dan kebolehan mental dan fizikal kanak-kanak pada tahap potensi yang paling tinggi.

Ini bermakna, tanpa mengira ketidakupayaan, semua kanak-kanak OKU di negara ini memang berhak memperoleh pendidikan sewajarnya. Ibu bapa berperanan penting dalam menentukan kejayaan pendidikan murid OKU. 

Kerajaan mengambil usaha untuk membela nasib OKU. Pembelaan tersebut bukan setakat memberi bantuan latihan khas dan bantuan alat sokongan, tetapi memberi peluang untuk OKU sama-sama menyumbang tenaga dan fikiran untuk kemajuan negara.

Kerajaan sedaya upaya untuk meningkatkan kemudahan untuk OKU menikmati hidup lebih sempurna. Banyak kemudahan seperti laluan kerusi roda, tandas khas, tempat duduk, kaunter dan kenderaan disediakan untuk kemudahan OKU.

Usaha berterusan kerajaan melalui kementerian dan jabatan, serta sokongan pihak swasta, pertubuhan kebajikan dan orang ramai memperlihatkan kesan positif dalam meningkatkan taraf hidup OKU. Di samping itu, sikap prejudis dan diskriminasi orang ramai terhadap OKU semakin berkurangan. 

Apapun, usaha paling berkesan perlulah datang dari ibu bapa dan OKU sendiri. Segala usaha dilakukan kerajaan tidak mencapai matlamatnya jika masih ramai ibu bapa mempunyai anak OKU tidak memberi kerjasama menjayakannya. Bagi OKU yang sudah dewasa, usaha mereka sendiri menentukan kejayaannya.

Sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat juga amat dialu-alukan bagi menjamin keberkesanan pendidikan kalangan kanak-kanak OKU. 

Pada masa ini NGO banyak berfungsi membantu kanak-kanak istimewa, selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi latihan dan kemahiran.

No comments:

Post a Comment