Friday 20 January 2017

Kedudukan Islam dalam Perlembagaan

Perkara 3, Islam agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Turut dijelaskan tentang kedudukan Yang Dipertuan Agong dan Raja sebagai ketua agama Islam. 

Kewujudan Perkara 3 adalah kuasa paling tinggi yang memberi hak kepada kedudukan istimewa Islam di Malaysia. Sesungguhnya, Perkara 3 bukan saja membawa kepada pengiktirafan, tetapi juga kepada hak keitimewaan yang 'lahir' hasil kedudukan atau taraf sebagai agama Persekutuan. 

Antara perkara penting ialah bagaimana urusan atau amalan berkaitan agama Islam boleh dijadikan acara-acara atau peraturan dalam pentadbiran negara. 

Contohnya, amalan membaca doa dalam majlis rasmi kerajaan, program keagamaan di televisyan, program bercorak keagamaan sempena sesuatu perayaan atau peristiwa berkaitan Islam seperti sambutan Malidulrasul dan sebagainya.  

Semua itu tidak mungki dapat dilakukan secara rasmi dan acara kerajaan jika Islam tidak diiktirf sebagai agama Persekutuan.

Begitu juga berkaitan agensi dan perjawatan yang mempunyai kepentingan dengan agama Islam dibiayai oleh kerajaan Pusat mahupun Negeri. Urusan pentadibiran agama Islam ditanggung oleh kerajaan dan pegawai berkaitan agensi agama juga turut ditanggung oleh kerajaan. 

Begitu juga dengan pendidikan Islam, juga diuruskan dan ditanggung oleh kerajaan. Jelas sekali amat penting dan bermakna apabila wujud Perkara 3 yang meletakkan Islam agama Persekutuan.

Perkara 11 berkaitan kebebasan agama. Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal 4 mengambangkan agamanya. 

Fasal 4 Perkara 11 berbunyi "undang-undang negeri dan mengenai wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.

Biarpun Perkara 11 menceritakan tentang kebebasan beragama, namun sebenarnya ia terhad dan terlarang dalam urusan penyebaran agama lain kepada penganut agama Islam. 

Fasal 4 itu jelas meletakkan kedudukan atau mempertahankan umat Islam daripada murtad yang menjadi salah satu kesalahan di bawah hudud. Isu murtad yang hebat diperkatakan sekarang sebenarnya telah lama dihalang dan disekat oleh Perlembagaan Persekutuan. Ia satu yang amat istimewa dan tidak dijelaskan dalam mana-mana undang-undang di negara lain. 

Sama ada masalah murtad boleh dihalang melalui Fasal 4 ini secara realitinya, ia bukan perkara yang perlu diperdebatkan. Peruntukan telah ada, maka jadi tangungjawab jabatan atau agensi yang berkaitan untuk dikuatkuasakan. Malah menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk mengelak perkara itu berlaku. 

Tidak seharusnya kita menunding jari kepada pihak lain dalam isu murtad di negera kita. Peruntukan Perlembagaan Persekutuan telah ada dan undang-undang syariah mengenainya juga telah wujud di peringkat wilayah dan negeri, maka tunaikan dan gunakan ia sebaik mungkin.

Perkara 121 berada di Bahagian 9 Perlembagaan Persekutuan yang mengkhususkan berkaitan penghakiman. Perkara 121 adalah kuasa kehakiman bagi Persekutuan. 

Perkara 121 (1A) secara khusus menyebut mengenai had bidang kuasa makamah sivil daripada mencampuri urusan mahkamah Syariah. Ia berbunyi: Mahkamah-mahkamah yang disebut dalam Fasal 1 tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.

Maksud sebenar peruntukan itu ialah pengasingan kuasa dan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Ia satu penghormatan dan pengiktirafan kepada mahkamah syariah dan sekaligus satu hak istimewa kepada penganut agama Islam di Malaysia.

Perlu dijelaskan, sebelum perubahan peruntukan ini, sering kali keputusan mahkamah syariah dicabar di mahkamah sivil terutama perkara yang mempunyai kaitan dengan bukan Islam seperti hak penjagan pasangan anak, harta pusaka dan sebagainya.

Kes seumpama itu membayangkan bahawa kuasa mahkamah syariah terletak di bawah kuasa mahkamah sivil. Dengan adanya pengasingan secara khusus bidang kuasa dan hak mahkamah syariah, maka tidak ada apa-apa kes yang telah dibicarakan di mahkamah syariah diulang bicara di mahkamah sivil.  

Begitu juga, hal berkaitan kepentingan agama Islam dan penganutnya menjadi tanggungjawab mahkamah syariah mengendalikannya. Kedudukan istimewa ini membuktikan Islam mendapat tempat dan perlindungan yang sesuai dengan kedudukan sebagai agama Persekutuan.

Perkara 38 adalah berkaitan dengan Majlis Raja-raja. Biarpu sekali pandang perkara ini tidak ada kaitan dengan pengiktirafan terhadap agama Islam, namun hakikatnya ia mempunyai kuasa yang besar untuk mempertahankan kedudukan dan keistimewaan agama Islam. 

Terdapat peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mana Perkara tertentu yang perlu mendapat perkenan Majlis Raja-raja sebelum boleh dibuat perubahan mengenainya. 

Perkara itu ialah Perkara 3, 11, 152, 153, 38, 182 dan 183 yang mana walaupun telah diluluskan di peringkat Parlimen, nama ia tidak dianggap sah selagi mana ia tidak sahkan atau diluluskan oleh Majlis Raja-raja. 

Dengan kata lain, ia adalah benteng terakhir untuk mempetahankan Perkara yang berkenaan. Salah satunya ialah berkaitan dengan kedudukan Islam agama Persekutuan. Selain itu juga, Majlis Raja-raja secara tradisinya menjalankan tugas dn peranan berkaitan menjaga kepentingan agama Islam. 

Jelas sekali, kewujudkan Majlis Raja-raja sebagai menaungi agama Islam secara tersirat, biarpun secara tersuratnya menceritakan tentang tugas dan peranannya berkaitan Yang Dipertuan Agung dan raja-raja.

No comments:

Post a Comment