Friday, 20 January 2017

Sumber perundangan negara

Perlembagaan Persekutuan undang-undang tertinggi negara. Hakikat ini diterima sebagai tersurat dan tersirat. Hal ini tidak dipertikai mana-mana pihak. Namun, tidak dinafikan ada yang membuat pentafsiran berbeza berkaitan kandungannya.  

Itu perkara lumrah kerana manusia ada pandangan berbeza, lebih-lebih lagi berkaitan kefahaman mengenai sesuatu yang berkaitan undang-undang. Sebab itu, persoalan undang-undang seirang dilihat melalui sisi yang berbeza-beza. 


Perbincangan mengenai kandungan Perlembagaan Persekutuan tidak tamat dibincangkan biarpun sudah banyak keputusan mahkamah berkaitan sesuatu kes telah dibuat. 

Pun begitu, keputusan mahkamah dalam banyak kes yang mempunyai kaitan dengan Perkara-perkara Perlembagaan Persekutuan semakin menyerlahkan bahawa ia adalah undang-undang tertinggi yang perlu dirujuk untuk memutuskan sesuatu kes. 

Sebenarnya, kedudukan tertinggi Perlembagaan Persekutuan telah termaktub sepertimana Perkara yang berkenaan di dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Fakta ini jelas dan tidak ada kilaf mengenainya. 

Di negara kita, Perlembagaan Persekutuan menjadi undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua undang- undang.

Ketinggian Perlembagaan Persekutuan boleh difahami dengan jelas di bawah Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut: Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini adalah terbatal setakat yang berlawanan itu"

Peruntukan tersebut dengan jelas menetapkan bahawa kedudukan Perlembagaan Persekutuaan sebagai yang tertinggi. Biarpun tidak dijelaskan sebagai tertinggi, tetapi dapat difahami maksud " adalah terbatal setakat yang berlawanan itu" membawa erti bahawa undang-undang lain mesti tidak berlawanan dengan perkara-perkara yang berkaitan. 

Pembatalan terhadap undang-undang yang berlawanan itu setakat yang berlawanan bermaksud tidak keseluruhan bahagian undang-undang itu terbatal, kecuali bagi maksud yang berlawanan itu saja.    

Undang-undang yang dimaksudkan ialah sama yang bertulis atau tidak bertulis, sama ada diperbuat di parlimen atau dewan undangan negeri, oleh pihak kerajaan, pertubuhan, parti politik atau orang perseorangan. 

Berkenaan undang-undang bertulis yang diperbuat di parlimen atau dewan undangan negeri, percanggahan tentu sekali sukar berlaku kerana ia melibatkan pakar yang mendraf dan kemudian melalui proses yang teliti sebelum diluluskan.

Bagaimanapun, undang-undang atau peraturan yang tidak bertulis yang diwujudkan oleh pihak awam sering mencetusan pertikaian apabila secara sedar atau tidak belaku berlawanan dengan apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. 
           
Hal ini tidak berlanjutan sekiranya pihak berkenaan menyedari kesalahan dan bersedia menukarkan atau menghentikan undang-undang atau perbuatan yang berkenaan. Masalahnya, apabila ada yang berdegil dan masih mengatakan perkara itu benar dan menjadi hak mereka untuk terus menganggap perkara berkenaan betul dan berpegang kepadanya.

Situasi berkenaan membawa kepada dibawa kepada mahkamah oleh individu untuk mendapat status apa yang dilakukan, atau individu berkenaan di bawah ke mahkamah untuk pihak kerajaan atau individu lain untuk menghalang perkara berkaitan terus dianggap betul.

Contoh kes  Azalina Jailani yang memohon untuk menukar status agamanya dari Islam kepada Kristian setelah memeluk agama berkenaan. Isunya bermula apabila dia berkahwin dengan penganut Kristian dan ingin mendaftarkan perkahwinannya itu, tetapi tidak diluluskan kerana status agama Islam yang tertera pada kad pengenalannya.

Intipati kes tersebut menunjukkan bahawa pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak mempunyai kuasa untuk menukar status agama penganut Islam, melainkan disahkan oleh Jabatan Agama Islam atau Mahkamah Syariah. 


Mahkamah Sivil tidak berkuasa untuk mencampuri urusan Mahkamah Syariah. Kes ini juga melibatkan soal Perkara 160 dan pengiktirafan kepada Perkara 3. Justeru, isu kebebasan beragama dan hak asasi yang dijadi alasan kepada permohonan itu, apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar.      

Ini membuktikan bahawa Perlembagaan Persekutuan mengalah dan mengatasi kepada semua undang-undang yang lain, biarpun ia dianggap melanggar hak asasi yang diamalkan di seluruh dunia. Sesungguhnya, di negara kita mempunyai acuan sendiri dalam mentakrif mengenai hak asasi dan kebebasan.

No comments:

Post a Comment