Friday, 20 January 2017

SEJARAH PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Sejarah dan fungsi perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara. Ia adalah suatu kumpulan dokumen bertulis undang-undang dasar yang menentukan cara pemerintahan negara dijalankan. 

Ia menerangkan kuasa-kuasa yang dipunyai oleh pelbagai anggota negara, kedudukan, nama, peraturan, hak-hak yang dipunyai oleh orang yang diperintah dan perhubungan antara yang memerintah dengan orang yang diperintah.

Perlembagaan Persekutuan menjadi kerangka utama menerangkan mengenai sesuatu perkara dalam urusan bernegara.  Sesuai dengan tarafnya sebagai teras dan kerangka utama, maka tidak ada undang-undang lain yang lebih utama dari apa yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.  Malah, kedudukan dan jawatan serta kuasa yang termaktub di Malaysia bagi sesuatu jawatan adalah ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.  Dalam konteks bernegara, tidak ada kuasa lebih besar dari Perlembagaan Persekutuan hinggakan tidak ada undang-undang lain boleh mengatasinya. 

Profesor Dicey (dalam Tun Mohd. Salleh Abas, 1997) berpendapat bahawa undang-undang perlembagaan mengandungi dua prinsip sahaja, iaitu prinsip kedaulatan parlimen dan prinsip undang-undang. Sebagai undang-undang utama di sebuah negara, perlembagaan mengandungi pelbagai peruntukan, antara lain Badan Perundangan iaitu Parlimen yang terdiri Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Badan Pemerintah seperti Jemaah Menteri, Badan Kehakiman dan lain-lain. Perlembagaan juga mengandungi peruntukan-peruntukan lain seperti kenegaraan, kebebasan asasi, agama, bahasa kebangsaan dan sebagainya.

Manakala menurut Md. Bohari Ahmad (1997), perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua undang-undang asas negara. Perlembagaan wujud daripada kehendak keadaan semasa dan diasaskan atas kebolehan kerajaan untuk menjamin semua yang terkandung di dalam perlembagaan itu.

Jika undang-undang yang dikanunkan berlandaskan perlembagaan yang tidak dapat dijalankan atau hak yang dijanjikan di dalamnya tidak dapat ditunaikan, maka perlembagaan itu tidak bermakna. Oleh itu, perlembagaan mestilah dipegang teguh dan seimbang dengan hasrat orang ramai. Yang nyata ialah perlembagaan bukan sahaja merupakan sebuah fikiran atau syor, tetapi merupakan undang-undang agung negara.

Kedudukan tertinggi Perlembagaan Persekutuan difahami berdasarkan Perkara 4(1). Dalam apa juga pembentukan undang-undang sama ada akta di peringkat kebangsaan mahupun enekmen dan ordinan di peringkat negeri, ia tidak boleh bertentangan dengan apa yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.  Mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dengan sendirinya terbatal.  Begitu juga tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, maka ia adalah menyalahi dan perlu dihentikan daripada terus diamalkan.

Sejarah Perlembagaan Persekutuan bermula apabila negara dalam proses mencapai kemerdekaan.  Ia bermula daripada satu persidangan perlembagaan yang telah diadakan di London pada 18 Januari hingga 6 Februari 1956 yang dihadiri oleh satu rombongan delegasi daripada Persekutuan yang mengandungi empat wakil pemerintah, iaitu ketua Menteri Persekutuan Tunku Abdul Rahman dan tiga menteri-menteri lain, dan juga Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya dan penasihat-penasihatnya.

Satu suruhanjaya dibentuk untuk membantu dan menasihat tugas merangka serta menyiapkan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi nadi kepada sebuah negara. Suruhanjaya yang dianggotai pakar perundang dari luar negara dipengerusikan oleh Lord William Reid berasal dari British.  Mengambil sempena mana pengerusinya, suruhanjaya itu dikenali Suruhanjaya Reid.  Anggota lain dalam suruhanjaya yang dianggotrai 5 orang itu ialah Sir Ivor Jennings juga dari British, Sir William McKell (Australia), Hakim B Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid dari Pakistan.

Suruhanjaya yang dibentuk pada Mac 1956 itu melaksanakan tugas kajian dan penyusunan laporan kira-kira lapan bulan bermula Jun 1956 hingga Febuari 1957 yang mana perlembagaan berkenaan berkuatkuasa sejurus selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.  Laporan ini sebelum disahkan, terlebih dahulu dibahaskan oleh parti politik utama negara ini dan diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu dalam bulan Jun pada tahun 1957, kira-kira dua bulan sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Dalam proses rundingcara itu, satu memorandum daripada parti Perikatan telah mendapat keutamaan. Memorandum yang disebut sebagai Pakatan Murni iaitu persetujuan secara bertolak ansur demi kepentingan bersama serta persetujuan menghormati hak-hak orang lain, menyentuh lima perkara utama iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata.

Terma rujukan kepada Perlembagaan Persekutuan yang dirangka oleh Suruhanjaya Reid berdasarkan kepada apa yang terkandung dalam Persetujuan Persekutuan Tanah Melayu 1948. 

Dalam Perjanjian Persetujuan Persekutuan Tanah Melayu 1948, nama "Persekutuan" telah dicadangkan kepada Tanah Melayu yang terdiri 11 negeri, termasuk Pulau Pinang dan Melaka yang dikuasi penjajah Inggeris, menjadikan ia dikenali Persekutuan Tanah Melayu.

Perlembagaan Persekutuan 1957 ini telah dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan bagi negara Malaysia yang diisytiharkan pada 16 September 1963. Kemasukan Singapura, Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia menyebabkan Perlembagaan Persekutuan 1957 dipinda dan beberapa pindaan dibuat mengenai bab pemakaian bagi negeri tersebut.

Perlembagaan Persekutuan bukan statik atau tidak boleh diubah.  Ia berdasarkan kepada keperluan dan penambahbaikan yang berlaku sepanjang masa. Untuk meminda perlembagaan, majoriti dua pertiga (2/3) bersetuju kepada pemindaan ini diperlukan pada kedua-dua dewan di parlimen iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. 

Merujuk kepada pakar perlembagaan, Shad Saleem Faruqi, perlembagaan ini telah dipinda 42 kali semenjak 48 tahun selepas kemerdekaan sehingga 2005. Pindaan itu tidak termasuk perubahan kecil yang atau melibatkan angka sebenarnya jumlahnya telah melebihi 500 perubahan. Justeru,  "semangat dokumen sebenar telah dicairkan" yang tidak boleh dikatakan itu asal seperti dirangka oleh Lord Reid.

Biarpun dicatatkan terdapt 183 Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan, hakikat sebenarnya hanya 167 Perkara saja yang terpakai buat masa sekarang, di mana sebanyak 16 Perkara telah dimansuhkan.

Permansuhan sesuatu perkara dibuat apabila Perkara berkenaan secara keseluruhannya tidak lagi diperlukan. Contoh Perkara yang dimansuhkan ialah Perkara 84 berkaitan bab tanah dan Perkara 129 berkaitan penghakiman. 

Selain pemansuhan keseluruhan sesuatu Perkara, terdapat juga permasuhan hanya pada fasal tertentu sesuatu Perkara. Contohnya Perkara 19 berkaitan kewarganegaraan dengan cara masukan, hanya 19A sahaja yang dimansuhkan.

Jelas sekali, melalui pindaan dan pemasuhan Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan menyebabkan ia dianggap sentiasa 'hidup' dan menepati keperluan semasa negara. 

Sistem pemerintahan Malaysia agak unik seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada kuasa Yang Dipertuan Agung, kuasa jemaah menteri, kuasa parlimen dan kuasa kehakiman.  Kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi melalui proses silang kuasa yang mengimbangi bidang kuasa pihak-pihak yang berkaitan. 

Biarpun kedududukan Yang Dipertuan Agung tertinggi dalam carta pemerintahan, namun kedudukan baginda terikat kepada nasihat jemaah menteri.  Yang Dipertuan Agong juga tertakluk kepada undang-undang khusus seperti termaktub dalam Bahagian 15 yang mengandungi Perkara 182 dan 183.

Perlembagaan Persekutuan dibuat di Parlimen, tetapi yang menginterpetasikan atau menguatkuasakan isu yang berkaitan dengannya adalah bidang kehakiman.  Hakim bertanggungjawab menilai atau menterjemahkan setiap maksud yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan apabila sesuatu isu atau kes dirujuk ke mahkamah. 

Mahkamah mempunyai kuasa untuk membatalkan sesuatu undang-undang yang digubal oleh parlimen jika undang-undang berkenaan berada di luar bidang kuasanya dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Hal ini bermakna Parlimen juga tertakluk kepada kehendak-kehendak perlembagaan biarpun berkuasa membuat undang-undang, termasuk berkaitan kandungan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Begitu juga, walaupun Yang diPertuan Agong menjadi ketua negara, baginda juga tertakluk kepada perlembagaan. Baginda tidak boleh bertindak sesuka hati, tetapi harus menjalankan tugas mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan di dalam perlembagaan.

Keunikan Perlembagaan Persekutuan sukar ditemui di negara lain.  Maka itu, jelas sekali peri penting  kita memahami dan mempertahankan kedudukannya.  Kita berasa kurang senang apabila ada rakyat meragui peranan dan kepentingan mematuhi Perlembagaan Persekutuan.  

No comments:

Post a Comment