Sunday 15 January 2017

Liberal ancam akidah

Fahaman pluralisme dan liberalisme mengancam akidah umat Islam. Umumnya bagi umat Islam yang mengikuti perkembangan mengenai gerakan pluralisme dan liberalisme pasti menyedari situasi sekarang. Pluralisme agama merupakan konsep yang luas tentang penerimaan agama-agama yang pelbagai.

Pada tahun 2005 Majlis Fatwa Ulama Islam Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa  mengharamkan Pluralisme Agama. Pada tahun 2006, Muzakarah Ulama Se-Malaysia turut mengharamkan fahaman tersebut. 

Pengharaman tersebut adalah wajar kerana doktrin yang dibawa oleh Pluralisme Agama memang menyesatkan.

Antara fahaman ini ialah tiada satu pun agama yang tunggal dan eksklusif untuk menjadi sumber kebenaran, atau setidak-tidaknya terdapat kebenaran dan nilai yang benar dalam agama lain.  

Maka itu, fahaman ini juga merujuk kepada keadaan hidup bersama secara harmoni di antara penganut agama yang berbeza.

Mereka juga mendakwa penerimaan kebenaran wujud dalam dua atau lebih agama dengan penekanan aspek-aspek yang diterima oleh agama-agama tersebut. Gerakan pluralisme juga menggalakkan kerjasama dan dialog antara agama-agama yang berbeza bagi meningkatkan persefahaman.  

Islam menghargai toleransi agama lain tetapi tidak menganggap semua agama adalah sama. Dengan erti kata lain Islam tidak menganggap bahawa Tuhan yang disembah oleh orang Islam adalah Tuhan yang disembah oleh agama lain. 

Penyelesaian Islam terhadap pluralisme agama adalah dengan mengakui perbezaan dan identiti agama masing-masing. Firman Allah SWT dalam surah al-Kafirun, ayat 6 yang bermaksud: “Untuk kamu agama kamu dan untuk aku agamaku.”

Memandangkan pluralisme agama mendakwa semua agama adalah bersifat relatif, maka tidak ada satu agama pun yang berhak mendakwa agamanya adalah benar dan mutlak. 

Mereka menganggap semua agama mempunyai tujuan yang satu iaitu membawa manusia kepada keselamatan di akhirat. Ia amat bercanggah dengan apa yang disebut al-Quran  bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan diterima di sisi Allah SWT.  

Firman Allah SWT yang bermaksud: “ Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada-Nya berserah diri segala apa yang ada di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan hanya kepada Allah mereka dikembalikan” (Surah Ali-Imran, ayat 83).

Seorang muslim wajib beriktikad bahawa hanya Islam yang diterima di sisi Allah. Islam itu agama Nabi Muhammad SAW dan seluruh para nabi sebelum baginda. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agamanya, maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat nanti termasuk dalam kalangan mereka yang rugi”. (Surah Ali-‘Imran, ayat 85).

Usaha perlu dibuat untuk memperbetulkan semula kefahaman seluruh umat Islam kerana masalah yang berbangkit bukan sahaja menyentuh masyarakat di negara ini tetapi sudah bersifat global.

Ini soal pembinaan tamadun. Ia tidak mungkin boleh tercapai tanpa pembinaan asas-asas pemikiran. Hanya dengan cara itu barulah terbina tamadun yang mantap, bukan tamadun yang goyah dan tidak kukuh asasnya dan boleh runtuh bila-bila masa sahaja.

Di Malaysia, gerakan pluralisme agama belum begitu ketara. Namun, ianya dipercayai mempunyai pengikut di kalangan mereka yang terpelajar dan berpengaruh, khususnya di kalangan mereka yang rapat dengan Barat. 

Perkara ini pernah didedahkan oleh Dr. Yusri Mohamad dan Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady semasa ‘Wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah tahun 2010. 


Dalam usaha menyebarkan fahaman pluralisme agama di negara ini, mereka sangat berhati-hati dengan tidak menyebarkannya secara terang-terangan.

Sebenarnya serangan pemikiran pluralisme dan Islam Liberal sedang menerjah ke dalam negara memandangkan fahaman ini telah dipromosikan oleh  sarjana Islam sendiri seperti bekas professor di Universiti Kahirah (Mesir), Nasr Hamid Abu Zayd, manakala di Tunisia terdapat tokoh bernama Ali Harb. Sarjan-sarjana Islam lain termasuklah  Sayyed Hussein Nasr, Mohamad Arkoun, Hasan Hanafi dan Amina Wadud.

Di Indonesia, Nurcholish Madjid (Cak Nur) adalah pengasas Islam Liberal yang disertai beberapa tokoh terpelajar seperti Ulil Abshar Abdalla, Abdul Munir Mulkhan, Sukudi, Alwi Shihab, Budhy Munawar rahman, Azyumardi Azra, Nassarudin Umar  dan ramai lagi. 

Hampir kesemua tokoh-tokoh itu pernah mendapat didikan di negara Barat dan ada yang pernah berkhidmat di institusi-institusi pengajian Barat.

Nurcholish Madjid  telah mengubah makna Kalimah Syahadah dengan pengertian “Tidak ada tuhan kecuali Tuhan” dengan tafsiran pengertiannya bahawa menyembah Tuhan yang mana sekali pun adalah benar kerana hakikatnya semuanya menuju ke satu titik pusat, iaitu “Hakikat Yang Tunggal”. Bagi mereka, semua agama adalah cabang-cabang yang berasal dari pohon yang sama.

Maka itu, sarjana Islam dan pemimpin perlu berkerjasama untuk menghalang fahaman salah ini menular di negara kita. Soal berbeza fahaman politik perlu dilupakan bagi memastikan umat Islam di Malaysia bebas daripada fahaman menyesatkan ini. 

No comments:

Post a Comment