Sunday, 15 January 2017

CARA MUSUH SERANG PEMIKIRAN


Musuh Islam sentiasa mencari jalan untuk menghancurkan Islam.  Perkara ini bukan baru, bahkan telah bermula sejak zaman hayat Rasulullah SAW.  Pada ketika itu penentangan lebih kepada serangan fizikal.  

Namun peperangan secara fizikal nampak kurang berkesan.  Bahkan, Islam terus tersebar dan sejarah telah mencatatkan bagaimana tentera Islam dapat mengalahkan kuasa besar seperti Rom dan Parsi yang lebih kuat dan bilangan lebih banyak.

Jadi, setelah usaha tersebut gagal, mereka mencari jalan lain difikirkan lebih berkesan dan pada masa yang sama tidak mendatangkan kerugian di sebelah mereka. 

SERANGAN PEMIKIRAN

Cara yang dimaksudkan ialah melalui serangan pemikiran atau disebut Al-Ghazwul Fikri.  Al-Ghazw bermakna perang atau serangan. Manakala al-fikr bermaksud pemikiran (minda).  Adapun makna kalimah dari segi istilah adalah “Satu gugusan usaha yang dilakukan oleh satu bangsa untuk menjajah bangsa yang lain atau mempengaruhinya sehingga mereka menghala ke arah yang sama.”

Serangan pemikiran secara khusunya bermaksud: “Menggunakan segala cara selain bentuk ketenteraan untuk menghapuskan kehidupan Islam dan mengubah kehidupan umat Islam daripada berpegang dengan ajaran Islam sebenar”. 

Serangan permikiran ini sebenarnya telah dijelaskan dalam al-Quran sepertimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 120  yang bermaksud: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. 

Begitu juga di dalam hadis sahih dikeluarkan Al-Bukahri dalam Sahih beliau: “Daripada Abu Said Al-Khudri daripada Nabi SAW sabda baginda: “Kamu pasti akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta hingga kalau mereka masuk ke lubang biawak pun tentu kamu mengikutnya. Kami berkata: Wahai Rasulullah, adakah maksudmu Yahudi dan Nasrani? Kata baginda: Siapa lagi (jika bukan mereka).”

INGIN HANCURKAN ISLAM SAMPAI HARI KIAMAT

Ingatlah, musuh Islam tidak pernah berhenti untuk menghancurkan Islam sehinggalah ke hari kiamat.  Kaedah serangan pemikiran diakui di kalangan pemikir bukan Islam sebagai cara terbaik untuk melemahkan umat Islam.

Theodore Hertzel yang juga pencetus kepada kewujudan negara haram Israel pernah berkata; "Misi kamu bukanlah mengeluarkan mereka dari Islam, walaupun yang terakhir ini merupakan kejayaan yang paling gemilang. Tapi lebih pada usaha bagaimana menjauhkan mereka dari Islam. Jadikanlah mereka sebagai orang Islam yang tidak kenal agamanya sendiri, orang Islam yang gemar berfoya-foya, suka dengan kemaksiatan, hidup semata-mata untuk cari harta dan jawatan.  Jika umat Islam sudah menjadi seperti ini, maka misi kamu sudah berjaya. Laksanakan dan tunaikan misi kamu ini dengan penuh kesedaran" (petikan ucapan ketika Persidangan Yahudi di Basel, Switzerland)

Serangan mereka berlaku secara terbuka tetapi tidak ada undang-undang untuk mengatakan mereka melakukan kesalahan jenayah.  Bahkan, kesalahan patut diletakkan ke atas mereka yang terpengaruh atau menjadi mangsa serangan itu disebabkan tidak berhati-hati dalam menangkis atau menilai baik buruk sesuatu yang dihidangkan kepada mereka.

ISLAM TIDAK SERANG AGAMA LAIN

Dasar Islam yang menjadi warisan tetap umat ini ialah tidak memulakan serangan terhadap orang lain. Al-Quran mengingatkan kita supaya tidak memulakan serangan terhadap pihak lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu maki hamun orang-orang yang tidak beriman dengan Allah, nanti mereka akan memaki hamun Allah dengan rasa permusuhan tanpa sebarang pengetahuan.” (Al-An'am, ayat 108).

Dasar ini tetap dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh orang Islam sepanjang zaman, dan seharusnya akan terus dipertahankan dengan sebaik-baiknya untuk selama-lamanya. Bagaimanapun dalam sejarah kebangkitan Islam sejak dari zaman awal lagi, Islam sering menjadi objek permusuhan dan perseteruan. Islam diserang dan diperlakukan seperti musuh ketat oleh berbagai-bagai pihak.

Sejak berkurun lamanya, ummah dihentam dengan serangan pemikiran yang bertalu-talu. Tumpuan utama mereka adalah muda-mudi Islam kerana golongan muda merupakan nadi kepada perjuangan Islam yang perlu dihentikan musuh Islam. 

BARAT PUSAT SERANGAN

Rekod memperlihatkan kebanyakkan serangan pemikiran ini berpusat di barat. Antara produk yang paling berjaya memanipulasi minda manusia khususnya umat Islam adalah ideologi sekularisme, satu pemikiran yang berjaya memenjarakan agama di sebalik dinding-dinding rumah ibadat. Idealisme inilah yang melahirkan kenyataan "Islam suku politik suku" atau "Islam dan politik tidak boleh disamakan" atau kenyataan yang bersifat menidakkan kesyumulan Islam seperti "Hukum Islam tidak sesuai dengan zaman sekarang".

Tidak sekadar itu, musuh-musuh Islam sentiasa cuba ke hadapan dalam menanam kehendak mereka dalam pemikiran umat Islam melibatkan pelbagai disiplin ilmu yang wujud di dunia ini. Penjajahan pemikiran juga berlaku dalam bidang ekonomi, sosial, ilmu sains dan bidang-bidang lain.

Dalam konteks ekonomi, musuh Islam memperkenalkan kapitalisme sebagai 'pemain' yang mewakili mereka untuk mempengaruhi minda manusia. Sistem yang mendokong orentasi ekonomi riba yang jelas ditolak oleh ideologi Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Dalam bab sosial pula, musuh Islam mewujudkan pelbagai seni pemikiran yang menjauhkan manusia dari manhaj Rabbani untuk didokong oleh umat Islam. Kebebasan melampau ditaja dan dijenamakan atas kalimah hak asasi manusia sedang hak Allah SWT sebagai Rabbul a'lamin dinafikan. 

SASAR MUDA MUDI

Pendek kata, muda-mudi Islam hari ini menjadi sasaran serangan pemikiran musuh Islam yang datang dari segenap penjuru dan arah.  Musuh-musuh Islam menyedari bahawa Islam tidak mungkin dapat dilumpuhkan melalui serangan fizikal iaitu melalui peperangan. Maka, mereka mengubah strategi mereka dengan menghantar askar-askar halus meresap dan menyerang umat Islam dengan pemuda menjadi sasaran utama.

Misi mereka adalah untuk menjauhkan umat Islam daripada fahaman Islam yang sebenar selain merekrut 'askar-askar' baru dari kalangan umat Islam sendiri untuk dijadikan boneka kepada propaganda yang sedang mereka rencanakan. Hasilnya hari ini, boneka musuh-musuh Islam ini ada di setiap pelusuk dunia bahkan mereka juga turut berorganisasi dan gerakan mereka bersistematik.

Boneka-boneka ini wujud di mana-mana. Di Turki, Pakistan, Malaysia dan negara-negara dunia lain. Mereka wujud dengan membawa perjuangan yang diilhamkan oleh Iblis yang sememangnya bermusuh dengan manusia. Mereka wujud dalam perjuangan sekularisme, nasionalisme dan sebagainya. 

Maka, sedarlah muda-mudi Islam bahawa ideologi terbaik memandu manusia menyelamatkan muka bumi Allah SWT ini tidak lain tidak bukan adalah ideologi yang datangnya dari Allah SWT sendiri iaitu ideologi Islam. Bukankah Allah SWT yang menciptakan manusia?  Justeru Allah SWT lebih berhak dan mengetahui apa yang terbaik untuk manusia. Bukannya manusia itu sendiri.

KESINAMBUNGAN PERJUANGAN

Oleh itu, setiap daripada muda-mudi Islam, kunci kesinambungan perjuangan Islam perlu sentiasa berhati-hati dengan keadaan sekeliling supaya tidak tenggelam dan lemas dengan ideologi bersifat menyesatkan dan melemahkan tajaan musuh-musuh Islam.

Pemuda pemudi perlu kukuh dan mantap dengan tassawuf Islam yang mampat serta fikrah yang jelas sebagai benteng diri berdepan serangan pemikiran yang dilancarkan golongan laknatullah ini.

Sebagaimana firman Allah SWT: "Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka). (Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan." (Surah Ali Imran ayat 196-197)

Allah SWT berfirman dalam surat At-Taubah yang bermaksud: “Mereka hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tidak mahu selain menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir itu benci akan hal itu.”(Surah At-Taubah: 32).

IDEOLOGI ISLAM

Islam membina pemikiran atau ideologi Islam. Pemikiran Islam lahir secara begitu mendasar daripada akidah Islam yang terbina daripada keimanan terhadap Allah, kitab dan rasul-Nya. Akidah yang bertunjangkan kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib, hidup sesudah mati dan hari pembalasan itu telah membentuk pemikiran hidup umat Islam yang suci, sempurna dan membangun kehidupan sebenar.

Apabila berlaku penjajahan ratusan tahun barat ke atas umat Islam yang saat itu, telah dilalaikan oleh kebendaan dan kezaliman para penguasa, mereka berusaha untuk menukar dan memurtadkan umat Islam. Tetapi akidah tauhid begitu bersebati di dalam jiwa dan nadi umat Islam. Mereka gagal di situ tetapi tidak di dalam memastikan umat Islam lemah selama-lamanya.

Justeru mereka begitu bersedia melancarkan serangan pemikiran yang merosakkan pandangan umat Islam terhadap kehidupan, malah terhadap agama mereka sendiri. Kerosakan besar yang menimpa ke atas masyarakat Islam hari ini.

KEROSAKAN

Kerosakan ini secara jelas berpunca daripada tempoh lama ratusan tahun umat Islam berada di dalam kepungan penjajahan barat ke atas dunia Islam yang secara fizikalnya, telah berakhir dengan perisytiharan kemerdekaan oleh negara-negara tersebut.

Tetapi kemerdekaan fizikal itu bukanlah mengubati segala penyakit yang telah menjalar ke segenap urat nadi umat. Ia memerlukan tempoh yang panjang untuk membaik pulih kerosakan tersebut. Kerosakan besar yang mengundang pelbagai masalah umat itu ialah kerosakan pemikiran umat Islam.

Akhirnya, dalam tempoh beberapa kurun, mereka mampu melahirkan generasi umat Islam yang tidak lagi membangunkan pemikiran mereka berasaskan akidah yang suci.

Antara usaha serangan pemikiran dilakukan sekarang ialah terhadap kandungan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Pun begitu, serangan terhadap Al-Quran tidak begitu mendapat perhatian kerana kandungan Al-Quran bersifat pasti dan jelas.  Sebarang usaha mengubah ayat al-Quran mudah dipatahkan.

SERANG NAS

Sebaliknya, sasaran yang paling berkesan untuk menyerang kekuatan nas-nas Islam adalah dengan menyerang hadis Nabi SAW. Cara yang dilakukan adalah dengan memalsukan hadis-hadis Nabi SAW.

Usaha pemalsuan itu telah mulai dilakukan pada masa pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Thalib. Kegiatan pemalsuan itu pun terus berlanjut setelah Ali wafat, apalagi terjadinya ketegangan yang berkepanjangan antara pihak pendukung Ali (Syiah) dengan pihak pemerintah (Bani Umayyah).

Cara itulah yang paling tepat untuk menyusupkan pemahaman salah di kalangan umat Islam. Pihak yang mengaku Islam tetapi hakikat sebenarnya kafir dengan berbagai cara menyusupkan hadis-hadis palsu dan menyebarkannya ke dunia Islam. Jika terjadi perselisihan di kalangan umat Islam mengenai suatu masalah, itulah yang masa yang paling  penting digunakan untuk memunculkan hadis-hadis palsu.  

Makna-makna ayat maupun hadis ditafsirkan berdasarkan pemahaman falsafah barat yang hanya bersandar pada logik akal. Ayat-ayat mutasyabihat pun ditafsirkan secara logik manusia, yang menyebabkan terjadinya pemahaman yang  membingungkan (Taqiyyuddin al-Nabhani, 2008: 70-71).

Keadaan pun semakin parah kerana umat Islam sendiri membenci syariat Allah SWT. Akibatnya, umat Islam menganggap politik itu kotor dan semakin menjauhkan diri darinya. Usaha pengaburan pemahaman umat Islam ini semakin parah dengan hadirnya sebahagian kaum muslimin menjadi agen barat dalam melakukan pengaburan pemahaman.



No comments:

Post a Comment