Saturday 1 April 2017

Rakyat disogok pemikiran humanisme

Pemikiran humanisme meletakkan kehendak manusia sebagai matlamat hidup. Mereka menjadikan hak kebebasan sebagai alat untuk menghalalkan apa saja yang mereka inginkan. Apa saja yang diingini perlu dibenarkan, biarpun bertentangan dengan agama dan tabie manusia. 

Contohnya pemikiran ini meletakkan seks adalah keperluan manusia yang boleh dipenuhi dengan apa cara pun. Maka, perhubungan seks bebas perlu dibenarkan asalkan dipersetujui lelaki dan perempuan yang terlibat. Mereka menganggap persetujuan itu sudah menjadi satu elemen akad nikah iaitu saling menerima dan bersetuju. 

Malah, kumpulan ini turut mempertahankan perkahwinan antara jantina yang sama dihalalkan kerana itu hak mereka untuk menentukan apa yang mereka inginkan. Perbuatan itu didakawa sebagai tidak mencabul hak mana-mana pihak kerana individu terlibat sendiri memilih dan menyukai, bahkan dianggap sebagai satu keperluan untuk mereka. Maka itu, pihak yang menghalang kehendak mereka pula dituduh sebagai mencabul hak kebebasan mereka yang patut dipersalahkan.

Pemikiran mereka ini semakin popular apabila ada di kalangan mereka yang bergelar pemimpin menyokong pemikiran mereka. Amalan ini bukan saja menyerang negara Islam, bahkan juga di negara-negara bukan Islam. Perkembangan di negara bukan Islam  menjadi inspirasi kepada perjuangan amalan songsang ini. 

Mereka tidak berselindung lagi untuk memperjungan hak yang sebenarnya bukan hak itu. Inilah yang diperjuangkan oleh kumpulan hak asasi COMANGO yang memohon agar amalan seks bebas diamalkan, selain meminta agar diluluskan pernikahan sejenis. 

Sebenarnya, pemikiran humanisme inilah yang membawa kepada pemikiran materialisme, sekularisme, komunisme, sosialisme, kapitalisme, liberalisme dan lain-lain. Biarpun nampak berbeza, hakikatnya mereka memperjuangan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak agama.

Pemikiran humanisme ini telah menyelinap masuk ke dalam pemikiran umat Islam. Bermula dengan kejahilan terhadap agama dan ketandusan iman, pemikiran mereka begitu mudah diterobos oleh  pemikiran ini. 

Pada mereka, kehidupan ini harus mencapai kebebasan 100 peratus, selagi ia tidak melibatkan keburukan kepada pihak lain. Mereka inginkan keseronokan dan kepuasan. Sekiranya dikatakan itu perbuatan dosa, dengan bangga mereka mengatakan kubur masing-masing.

No comments:

Post a Comment