Saturday 6 May 2017

Halang laluan kawasan masjid

Umat Islam dituntut bersembahyang lima waktu sehari secara berjamaah di masjid atau surau. Manakala setiap Jumaat, menjadi fardu ain orang lelaki menunaikan sembahyang Jumaat.

Diperhatikan, banyak jemaah yang ambil mudah dalam soal meletak kenderaan masing-masing. Ada yang meletakkan kenderaan menghalang laluan masuk ke pintu pagar masjid. Bahkan ada yang meletaknya terlalu hampir dengan pintu masjid sehingga mengganggu kelancaran untuk memasuki masjid.

Itu tidak termasuk lagi soal yang letak kenderaan secara tidak berhemah di tepi jalan raya hingga menyebabkan jalanraya terhalang. Ada yang juga menyebabkan terhalang pemandangan pengguna lain untuk keluar dari cabang dan sebagainya.

Hendaklah kita sedar bahawa bagi jalanraya itu haknya yang diajar oleh Islam. Jalanraya bukan sahaja digunakan oleh kita, mereka yang lain juga ada hak menggunakannya dengan cara yang mematuhi peraturan.

Mereka mungkin ada urusan kecemasan ataupun bukan muslim yang mahu ke tempat lain ataupun muslim yang tidak terlibat dengan solat berkaitan seperti wanita, musafir dan seumpamanya.

Rasulullah SAW pernah mengingatkan kalangan sahabat baginda agar tidak mengganggu pengguna jalan.

Maksud sabda: "Jangan kamu duduk di jalan". Mereka menjawab: "Kami terpaksa. Ia majlis kami. Kami berbicara di situ".

Sabda Nabi: "Jika kamu enggan melainkan mahu duduk juga hendaklah kamu memberikan hak jalan". Mereka bertanya: "Apakah itu hak jalan?".

Jawab Nabi SAW: "Tundukkan pandangan (jangan melihat aurat dan keaiban orang), cegah diri sendiri dari menyakiti pihak lain, jawab salam, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran". - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Menghalang kenderaan pengguna jalan raya yang lain itu boleh memudaratkan terutama apabila pengguna itu sakit, ataupun mahu ke suatu tempat yang perlu sampai pada masanya seperti airport dan seumpamanya.

Kenderaan hendaklah diletakkan di tempat yang tidak menghalang lalulintas kenderaan mahupun penjalan kaki. Letakkan kenderaan biarpun jauh dari masjid dan berjalan kaki. Sesungguhnya setiap langkah menuju masjid adalah pahala.

Kita ke masjid kerana hendak menambah pahala berbanding bersembahyang di rumah, untuk sembahyang lima wakut, manakala wajib pada waktu Jumaat.  

Tetapi, jika kita melakukan perbuatan yang ditegah dengan menghalang lalulintas, maka itu sudah menjadi sebahagian perbuatan dosa. Menyusahkan dan membahayakan orang lain adalah perbuatan ditegah. 

GAMBAR SEKADAR HIASAN

No comments:

Post a Comment