Thursday 18 May 2017

Ikut syariat tanda keimanan

Syariat Islam dibina di atas akidah yang benar kepada Allah, serta menjadi teras kepada pengabadian kepada Allah. Sesiapa mematuhi atau mengikut apa yang ditetap dalam syariat, maka bersaksilah bahawa dia adalah seorang Muslim sejati.  Mereka itu layak menerima pembalasan syurga dan kekal selama-lamanya.  

Sebaliknya sesiapa yang tidak mengendahkan apa yang dinyatakan syariah, maka hidupnya sesat tanpa panduan.  Apa yang dilakukan di dunia ini adalah berdasarkan kepada kehendak nafsu semata-mata.  Kehidupan di akhirat nanti akan berakhir di neraka dan menerima azab pedih yang tidak terhingga.

Sesungguhnya pengertian iman adalah pengakuan dengan lidah, membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkan dengan anggota.  Juteru itu, apa yang diucap hendak menyamai dengan apa yang dilakukan.  

Amatlah besar dosa mereka yang hanya mengaku beriman di mulut, sedangkan apa yang dilakukan menyamai tindakan mereka yang tidak beriman.  Mereka itu mempersenda-sendakan hukum agama dan menjual agama demi kenikmatan hidup di dunia.

Syaitan sentiasa berusaha merosakkan manusia agar di akhirat nanti akan bersama-samanya di dalam neraka.

Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “(Aku berlindung kepada Allah) daripada kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam.  Yang melemparkan (menghembuskan) bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) daripada jin dan manusia.” (Surah an-Nas, ayat 4-6)

Untuk menyempurnakan keimanan, maka perlulah dibuktikan dengan perlaksanaan seperti yang ditetapkan oleh syariah. Iman bukan sekadar ilusi, tetapi sebenarnya merupkan realiti.  Apa yang dikata mesti dibuktikan. 

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa manusia memerlukan syariat dalam memandu kehidupan yang sempurna.  Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang diperlukan oleh manusia.  Syariah Islam lengkap sepenuhnya untuk dijadikan panduan kepada manusia sepanjang zaman hingga ke hari kiamat.

Sesuai dengan kedudukan syariah sebagai panduan hidup, maka sudah pasti ia mampu untuk menyelesaikan permasalahan sosial masyarakat.  Sebenarnya masalah sosial yang dihadapi manusia sekarang adalah berpunca daripada tidak mengikut apa yang ditetapkan oleh syariah. 

Manusia tidak mampu untuk menyelesaikan sendiri masalah yang dihadapi, melainkan memerlukan panduan dan peraturan yang ditetapkan sendiri oleh Allah.  

Syariah yang ditetapkan sepertimana terkandung dalam al-Quran, hadis, ijmak dan kias adalah penduan sempurna yang mampu menyelesaikan segala permasalahan manusia.


No comments:

Post a Comment