Tuesday 13 June 2017

Haram guna media sosial

Setiap perkara ada baik dan buruknya. Begitu juga media sosial. Hukum asas dalam semua perkara adalah harus. Namun kedudukan itu menjadi haram jika mendatangkan keburukan.

Begitu juga menggunakan media sosial. Harus atau dibolehkan menggunakan media sosial jika untuk tujuan kebaikan. Sebaliknya haram jika disalah guna.

Mengumpat, berbohong, memfitnah adalah prebuatan haram tidak kira dilakukan dengan medium apa sekalipun. Jadi ia juga haram dilakukan dalam media sosial. Maka, jika menggunakan media sosial untuk tujuan tersebut, maka adalah haram.

Dengan kata lain, harus atau haram menggunakan media sosial bukan kerana sifat media sosial itu, tetapi bergantung kepada tujuan penggunaannya. Jika untuk tujuan kebaikan, maka harus dan begitulah sebaliknya.

Kesan salahguna media sosial amat buruk. Contohnya dalam soal membuat fitnah. Kalau dulu, jika fitnah dibuat terhadap seseorang, kesannya hanya di kalangan kelompok yang kecil sekadar percakapan. Tetapi jika fitnah melalui media sosial, ia boleh merebak cepat dan melibatkan kelompok yang ramai.

Lebih buruk lagi apabila kisah fitnah itu dikongsi dan disebarkan oleh orang lain. Sebarannya menjadi lebih meluas dan cepat.

Dosa membuat fitnah bukan saja ditanggung oleh mereka yang mencipta fitnah, tetapi juga orang yang menyebarkannya. Jadi berhati-hati sebelum menyebarkan sesuatu berita yang tidak pasti kebenarannya.

Pada asasnya, apa yang haram dituturkan maka haram juga hukumnya menulis. Jika mengumpat, berbohong, memfitnah dan seumpamanya itu haram hukumnya dengan lidah, maka menulis di Facebook, blog, Twitter, e-mel, WhatsApp, telegram dan sebagainya juga haram hukumnya.

Kita tidak perlu ada ilmu fikah yang berbeza untuk menetapkan hukum itu kerana apa sahaja yang haram dibicarakan dengan lidah, maka hukumnya haram juga disebarkan melalui penulisan atau di internet. Kita perlu ingat dan berhati-hati ada kala apa yang dituturkan atau ditulis yang disangka seolah-olah perkara remeh, namun di sisi Allah SWT ia amat besar sama ada diredai atau dimurkai.

Sabda Baginda SAW bermaksud: "Seorang yang menuturkan satu perkataan yang diredai oleh Allah SWT dengan menyangka ia remeh, namun di sisi Allah SWT ia suatu yang amat diredai-Nya, nescaya Allah SWT akan mengangkat darjatnya dalam syurga; manakala seorang lain menuturkan perkara yang disangkanya remeh, namun menimbulkan kemurkaan Allah SWT nescaya Allah SWT akan mencampakkan ke dalam neraka." (Riwayat Bukhari)

Media sosial sepatutnya digunakan sebagai media dakwah kerana ia medium paling ampuh untuk menerangkan mengenai Islam, mendekatkan masyarakat kepada ajaran Islam serta memperbetulkan salah faham berkaitan Islam.

Pengguna internet di Malaysia dianggarkan kira-kira 20 juta orang dengan 62 peratus mengguna media sosial. Hampir lima jam daripada masa mereka mengguna telefon pintar untuk tujuan mencapai internet.

Menjadi tanggungjawab kita menyiasat terlebih dahulu maklumat yang diterima supaya dapat dipastikan kesahihannya. 

Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang yang beriman, apabila datang kepadamu orang fasik membawa berita, maka siasatlah terlebih dahulu supaya kamu tidak menimpakan mudarat kepada orang lain atas kejahilan kamu dan kemudiannya kamu menyesal." (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Ramai yang ghairah menjadi 'orang pertama' menyebarkan berita (breaking news) walaupun apa yang disebarkan itu mungkin tidak tepat dan palsu. Gambar bahkan video boleh dipalsukan, begitu juga dokumen boleh direka cipta bagi menampakkan yang palsu itu benar, yang batil itu hak dan berfakta. Jaga adab berurusan di alam maya Marilah bersama kita menjaga adab dalam berurusan di alam maya.

No comments:

Post a Comment