Friday 20 October 2017

Kehidupan rakyat lebih baik

Kualiti hidup rakyat semakin baik jika diukur dalam segenap aspek kehidupan sama ada dari segi pendidik, kesihatan, agama mahupun sosial. Gaya hidup rakyat mencerminkan bahawa kehidupan mereka bertambah baik berbanding sebelumnya.

Masalah kenaikan sara hidup bukan disebabkan kenaikan harga barang, tetapi disebabkan perubahan gaya hidup. Banyak perbelanjaan sekarang sebenarnya lebih memenuhi gaya hidup atau bersifat kemewahan, bukannya keperluan.

Justeru, apa-apa peningkatan kos sara hidup boleh disesuaikan dengan mengubah gaya hidup. Yang pasti, kerajaan sentiasa mencari jalan untuk memastikan pendapatan rakyat meningkat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan pertengahan, selaras usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

Pendapatan rakyat dalam kumpulan berpendapatan rendah B40 dan pertengahan M40 meningkat dengan begitu ketara.

Malah, kadar kemiskinan terus menurun yang mencerminkan dasar diamalkan kerajaan untuk membasmi kemiskinan amat berjaya.

Kumpulan B40 merujuk kepada isi rumah berpendapatan bulanan bawah RM3,860 manakala M40 adalah kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan RM3,860 hingga RM8,319.

Menurut Unit Perancang Ekonomi, purata pendapatan seisi rumah kumpulan B40 meningkat sebanyak 76 peratus pada tahun 2014 sejak tahun 2009 manakala untuk golongan M40 pula, purata pendapatan seisi rumah meningkat hampir 60 peratus untuk tempoh yang sama.

Dari segi purata pendapatan pekerja, dalam setiap sektor, kaji selidik Jabatan Perangkaan menunjukkan peningkatan pendapatan sebanyak 20 peratus pada tahun 2016 dalam tempoh 3 tahun sebelumnya.

Ini antara tanda yang kedudukan kewangan pekerja secara keseluruhannya semakin baik. Semangat daya saing dan usaha keras rakyat untuk meningkatkan pendapatan mereka merupakan penyumbang kepada kejayaan itu.

Oleh demikian, pupuklah semangat daya saing atas dasar yang kita percaya bahawa yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang.

No comments:

Post a Comment