Friday 20 October 2017

Amalan pelengkap iman

Islam tidak hanya pada ucapan, tetapi merangkumi amalan yang mendasari kehidupan seharian. Amalan kebaikan yang dilakukan, tidak kira dari mana amalan itu bermula, asalkan diniatkan kebaikan kerana tuntutan agama menyuruh melakukan perkara baik, maka itu termasuk dalam perbuatan mendatangkan pahala.

Melakukan kebaikan dan menjauhkan perkara sia-sia dianggap sebagai orang beriman. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. laitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu), Dan mereka yang menjaga kehormatannya,” (Surah al-Mukminun: 1-5)

Hakikatnya, iman terhasil daripada segala gerak kerja amal bersifat sosial bertujuan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Melakukan ibadat khusus semata-mata tidak menjamin kesempurnaan iman.

Firman Allah SWT bermaksud: Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa. (Surah al-Baqarah ayat 177)

Jelas sekali, amalan bersosial membantu orang lain adalah perbuatan membuktikan keimanan. Kesilapan besar kita hari ini ialah dengan meletakkan atau menilai ketakwaan seseorang itu berasaskan kepada ibadah khusus semata-mata bukan daripada ibadah sosialnya.

Pendeknya, amalan sembahyang dan puasa dianggap tidak sempurna dan tidak diterima Allah SWT jika disertai pula dengan kejahatan amalan sosial. Rasulullah SAW meriwayatkan dalam satu hadis mengenai seorang perempuan yang sembahyang malam dan berpuasa siang malam tetapi menyakiti tetangga, maka tempatnya adalah neraka.

Justeru umat Islam seharusnya memahami pengertian ibadah yang sebenar dengan tidak membatasinya pada ibadah-ibadah khusus sahaja. Betapa banyak orang kaya yang khusyuk sembahyang namun hakikat di sekitarnya terdapat manusia miskin dan berpenyakit yang memerlukan bantuan.

Banyak orang berulang alik ke Makkah dengan kos yang tinggi melakukan umrah, tetapi berkira untuk menghulurkan bantuan kepada jiran tetangga mahupun orang miskin lain. Malah memandang sinis kepada golongan miskin yang dianggap hanya mengharap bantuan dari mereka.

Bergotong royong melakukan perkara kebaikan dalam masyarakat juga satu amalan yang jangan dipandang ringan tentang kebaikannya. Bersamalah dalam program kemasyrakatan untuk kebaikan bersama. Hubungan yang baik dalam masyrakat memberi kebaikan kepada kekuatan Islam secara keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment