Friday 20 October 2017

Ditegah panggil gelaran buruk

Islam menegah memanggil individu dengan gelaran tidak baik. Perbuatan itu boleh mencetuskan perbalahan dan saling memanggil dengan panggilan buruk. 
 
Panggilan buruk yang dilemparkan kepada orang lain akan kembali kepada pemanggul itu sendiri yang mencerminkan sikap buruk dan tidak mematuhi tuntutan agama.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain (kerana) harus puak dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain dan janganlah pula kamu memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) nama fasik sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan yang fasik), maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Surah al-Hujuraat: 11)

Tentulah tiada siapapun mahu dipanggil dengan nama yang melambangkan keadaan buruk dan hina. Akibat panggilan itu akan wujud perasaan marah dan dendam. Mungkin orang dipanggil itu hanya berdiam diri, tetapi tentu saja ada pihak lain yang membelanya dengan mengambil tindakan membalas panggilan buruk itu kepada pihak yang mula-mula membuat panggilan buruk itu.

Jika itu terjadi, maka gelaran buruk akan berleluasan.  Adab dan sikap saling menghormati akan hilang dan terhakis dalam kehidupan masyarakat.

Jangan berasa dengan kita memanggil orang dengan penggilan buruk akan menampakkan betapa baiknya kita. Sebaliknya, orang yang memanggil itulah orang yang mendapat pandangan negatif orang ramai.

Tentu sekali orang dapat mengetahui bahawa orang memanggil individu lain dengan panggilan buruk sebenarnya telah ingkar perintah Allah agar tidak memanggil orang lain dengan panggilan buruk.

Masih ingin dianggap baik orang sedemikian, sedangkan dia secara terang-terang ingkar perintah Allah. Mereka digelar golongan fasik dan telah melakukan kezaliman. Maka itu, berazamlah untuk tidak lagi menggelarkan individu lain dengan gelaran buruk. 

No comments:

Post a Comment