Thursday 2 November 2017

Hebat balasan memberi sedekah

Allah mewujudkan golongan kaya dan fakir miskin supaya antara kedua golongan itu dapat hidup saling membantu, saling menggunakan kepentingan dan saling menghormati. 

Allah menjadikan golongan kaya dan miskin dengan hikmah-Nya. Firman Allah: “Dan Allah telah melebihkan sebahagian kami daripada sebahagian yang lain dalam hal rezeki.” (Surah al-Nahl, ayat 71).

Kita perlu sedar realiti kehidupan yang mana kedua-dua golongan kaya dan miskin saling memerlukan. Golongan kaya mendapat harta dengan menggunakan tenaga orang miskin (secara relatif) sebagai buruh. Manakala golongan miskin pula mendapat upah atas khidmat yang diberikan.  

Sekiranya semua orang memiliki kekayaan yang sama dan tidak lagi mengharapkan upah daripada orang lain, tidak ada individu yang sanggup melakukan kerja untuk orang lain. Ketika itu, kekayaan tidak mempunyai apa-apa erti lagi. 

Bersedekah termasuk dalam kategori membelanjakan harta ke jalan Allah. Ganjaran yang diterima berlipat ganda berbanding apa yang telah dibelanjakan. Allah Maha Kaya melimpahkan rezeki berganda kepada hamba-Nya yang melakukan amalan kebajikan.
           
Firman Allah bermaksud: “Perumpamaan orang yang menggunakan hartanya kepada jalan Allah, bagaikan biji yang tumbuh menjadi tujuh tangkai. Pada setiap tangkai itu berbuah seratus biji dan Allah melipat gandakan (pahala) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 261).

Walaupun golongan kaya telah menyumbang kepada golongan miskin dalam bentuk upah atau membayar khidmat yang dilakukan, adalah lebih baik ditambah pula dengan dengan sedekah. Memberi upah adalah tanggungjawab majikan yang tidak termasuk dalam kategori sedekah.

Sedangkan sedekah adalah memberi kepada orang lain tanpa mendapat apa-apa balasan daripada orang itu yang menjadi lambang keikhlasan. Apa diberikan itu semata-mata kerana ketakwaan kepada Allah tanpa mengharapkan balasan daripada penerima sedekah itu.  

Orang yang bersedekah membuktikan dirinya tidak dilalaikan dengan kemewahan yang dimiliki. Harta adalah sebagai ujian untuknya. 

Sesiapa ingin bersedekah hendaklah mempastikan segala perbelanjaan diri sendiri dan keluarga dipenuhi. Sebenarnya tidak harus seseorang itu bersedekah sekiranya keperluan sendiri tidak mampu dipenuhi. Dia sepatutnya menerima sedekah dan bukannya memberi sedekah.  

Maksud memenuhi keperluan hidup ialah berkaitan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang seadanya telah dimiliki. Konsep ingin bersedekah hanya apabila semua apa dikehendaki dipenuhi maka tidak mungkin dapat dilakukan kerana kehendak manusia tidak pernah merasa cukup dengan apa yang dimiliki. 

Sesungguhnya harta itu ialah amanah Allah kepada seseorang. Kita hanya sebagai penjaga. Menyedari hakikat itu, maka belanjakan ia mengikut seperti perintah pemilik hakikinya, iaitu Allah.

Setiap apa yang dilakukan di dunia ini bukan saja memberi kesan di dunia saja, bahkan ia turut menentukan kedudukan seseorang di akhir nanti. Sesungguhnya setiap apa yang dilakukan, tidak kira sebesar zarah, sama ada baik atau buruk tetap diperlihatkan di akhirat kelak, yakni menerima pembalasan yang setimpal. 

No comments:

Post a Comment