Thursday 2 November 2017

Ganjaran hebat beri sedekah

Biarpun Islam menggalak umatnya mencari dan mengumpul harta, namun pada masa yang sama, Islam juga amat mementingkan aspek pengagihan harta. Antara instrument pengagihan harta ialah sedekah.

Sedekah ialah pemberian golongan kaya atau berkemampuan kepada golongan fakir dan miskin sama ada berupa wang, makanan, pakaian, peralatan keperluan hidup dan tempat tinggal. Amalan itu amat digalakkan agar diperbanyakan dalam masyarakat. 

Nabi Muhammad sentiasa menjelaskan mengenai keutamaan bersedekah. Baginda sentiasa bersedekah dan turut menjadi ikutan para sahabat. Bahkan, para sahabat yang miskin juga turut bersedekah mengikut kemampuan masing-masing.     

Amalan bersedekah membentuk semangat tolong menolong, saling menghormati dan terhindar daripada perasaan benci dan mementingkan diri. Ikatan persaudaraan terjalin erat dan padu melalui hubungan sedekah.  

Kebaikan amalan bersedekah dapat dilihat secara zahir maupun spritual. Pemberi sedekah melaksanakan suruhan agama sebagai jalan menghampirkan dirinya dengan Allah. Manakala penerimanya dapat memanfaat apa yang diterima untuk menampung keperluan hidup.

Bersedekah termasuk dalam kategori membelanjakan harta ke jalan Allah. Ganjaran yang diterima berlipat ganda berbanding apa yang telah dibelanjakan. Allah Maha Kaya melimpahkan rezeki berganda kepada hamba-Nya yang melakukan amalan kebajikan.
           
Firman Allah bermaksud: “Perumpamaan orang yang menggunakan hartanya kepada jalan Allah, bagaikan biji yang tumbuh menjadi tujuh tangkai. Pada setiap tangkai itu berbuah seratus biji dan Allah melipat gandakan (pahala) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 261).
           
Manifestasi kebaikan sedekah digambarkan melalui terbentuknya tali persaudaraan dan silatulrahim yang kukuh antara golongan kaya dan miskin. Keadaan itu memberi kelebihan untuk membentuk kekuatan umat Islam yang ampuh mendepani cabaran semasa. 

Biarpun bersedekah hanya ibadat sunat tetapi kepentingannya amat besar. Sesiapa yang mampu digalakkan melakukannya dengan kerap, terutama apabila didatangi insan yang memerlukan bantuan.    

Sesungguhnya bersedekah adalah tanda seseorang itu bersyukur dengan lebihan harta yang dimiliki melebihi keperluan asas. Allah telah menjanjikan nikmat melimpah ruah kepada sesiapa bersyukur dengan apa yang dimilikinya. 

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).

Allah menjadikan golongan kaya dan miskin dengan hikmah-Nya. Firman Allah: “Dan Allah telah melebihkan sebahagian kami daripada sebahagian yang lain dalam hal rezeki.” (Surah al-Nahl, ayat 71).

No comments:

Post a Comment