Thursday 2 November 2017

Penting mengambil polisi takaful

Kesedaran rakyat Malaysia, termasuk di kalangan orang Islam terhadap kepentingan takaful semakin meningkat. Malah lebih membanggakan apabila operasi syarikat insurans di Malaysia lebih cenderung kepada berasaskan kepada memenuhi tuntutan syariat. 

Majoriti urusniaga insurans di Malaysia sekarang adalah bersandarkan kepada kendak agama. Justeru, tidak sukar untuk orang Islam milih produk insurans halal di Malaysia. Malah, perkataan insurans di Malaysia sekarang lebih dikenali dengan perkataan takaful, iaitu bukti ia dijalankan secara Islam.                                            

Insturmen  insurans mendatangkan faedah kepada syarikat dan pemegang polisi. Kepakaran syarikat pengendali insurans mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua pihak.

Dr. Muhammad Yusuf Musa menegaskan bahawa insurans mengandungi unsur kerjasama memberikan manfaatkan kepada pihak-pihak yang berinsurans. Amalan kerjasama dan saling menolong adalah suruhan agama. 

Firman Allah bermaksud: “Dan bertolong-tolonglah kamu di atas perkara kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan di atas dosa dan penindasan.” - (Surah al-Maidah ayat 2). 

Amalan insurans berdasarkan kepada konsep saling membantu. Ia terbuka kepada sesiapa ingin menyertainya. Sesiapa menyertai insurans dengan niat saling membantu maka ia dianggap mendatangkan pahala.

Konsep kerjasama dalam insurans telah dibincangkan di Persidangan Islam Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun 1969. Persidangan yang dihadiri oleh pemikir dan cerdikawan Islam seluruh dunia itu telah mengambil ketetapan perniagaan insurans adalah dibolehkan sekiranya berbentuk kerjasama.  

Insurans kini bukan sahaja dianggap sebagai persiapan menghadapi risiko, tetapi juga sebahagian daripada sistem tabungan. Berdasarkan kepada prinsip asal insurans, iaitu saling membantu dan keuntungan, pemegang polisi berpeluang mendapat pulangan daripada pelaburan yang dibuat.

Secara amalan, tidak semua wang dicarum oleh pemegang polisi insurans dimasukkan ke dalam tabung pampasan. Sebahagian daripadanya dimasukkan ke dalam akaun peserta sebagai simpanan yang kemudian digunakan oleh pengendali insurans untuk dilaburkan ke dalam aktiviti perniagaan yang dibenarkan oleh Islam.

Wang simpanan berserta keuntungan tersebut menjadi milik pemegang polisi apabila tiba tempoh matang polisi atau diserahkan lebih awal berdasarkan kepada terma-terma yang dipersetujui.

Dengan kata lain, amalan insurans sekarang bukan sahaja bertujuan perlindungan risiko, tetapi juga sebagai tabungan dan pelaburan. Pihak kerajaan menetapkan sasaran agar lebih ramai orang Islam di negara kita menyertai insurans sebagai mekanisma merancakkan sistem ekonomi umat Islam. 

No comments:

Post a Comment