Sunday 26 August 2018

ALAT BAJAK SAWAH PADA MASA DAHULU

Lain ulu lain parang, lain dahulu lain sekarang. Masa berubah, corak kehidupan juga berubah. Namun, hidup pada zaman mana sekalipun, manusia tetap perlu makan. 
 
Sumber makanan sama ada daripada haiwan dan tumbuh-bumbuhan. Untuk mendapat daripada sumber tumbuh-tumbuhan perlu ditanam pokok yang ingin diperoleh hasilnya.

Sumber makanan utama atau ruji rakyat Malaysia ialah nasi yang ditanak daripada beras. Beras terhasil daripada padi yang asalnya daripada pokok padi. Padi ditanam sama ada di sawah dan ada juga di bukit yang dipanggil padi huma.

Untuk menanam padi di sawah perlu proses penyediaan tapak sawah. Padi hidup subur di tapak yang mempunyai air dan tanah lembut atau lumpur. 
 
Pada masa dahulu, proses membajak atau dipanggil menggala dilakukan secara tradisional. Kerbau atau lembu digunakan untuk membantu proses menggalak. ulunya,

Kerbau atau lembu hanyalah dijadikan 'jentera' untuk menarik berberapa peralatan yang akan membajak tanah. Lembu atau kerbau pada masa dahulu memang telah dilatih lasak untuk melaksanakan tugasan itu dan 'mahir' melaksanakan tugasan melalui 'arahan' dibuat oleh tuannya.

Peralatan digunakan untuk membajak tanah terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu igu, nanggal, sepak dan pahar. Igu adalah kayu yang diletakkan di atas bahagian tengkuk lembu atau kerbau. 
 
Semasa proses membajak digunakan lembu atau kerbau yang digunakan sama ada seekor atau dua ekor serentak. Jadi, bentuk igu bergantung sama ada untuk seekor atau dua ekor.

Igu pula akan disambungkan dengan nanggal yang biasanya dibuat menggunakan batang kayu panjang dari jenis pokok halban atau leban. 
 
Batang nanggal itu pula akan dipasang sepak yang pada bahagian hujung di bahagian bawah akan dipasang dengan pahar atau pai, yakni sejenis mata yang diperbuat daripada besi. 
 
Pahar atau mata bajak itulah yang akan 'mengerat' dan membalik tanah apabila ditarik oleh lembu atau kerbau.

Tanah yang dikerat dan dibalikkan menggunakan pahar masih tidak sesuai untuk dijadikan tapak menabur atau menyemai benih padi. Tanak belum lembut dan rata sepenuhnya. Jadi proses seterusnya ialah menggerat tanah dan gerat yang berbentuk sisir. 
 
Gerat akan disambungkan dengan igu dan ditarik oleh lembu atau kerbau seperti proses pertama.

Proses menggerat akan memecahkan tanah kepada lebih kecil dan meratakan tanah. Selain itu, ia juga akan mengasingkan rumput dan pokok lain yang perlu dibuang sebelum proses menabur benih.

Proses menghancurkan juga masa untuk menangkap ikan yang selama ini 'menanam' atau bersembunyi dalam tanah lumpur. Orang yang melakukan kerja menggerap akan berdiri di atas penggerap sebagai penggerap. 
 
Apabila tanah lumpur hancur disisir oleh penggerap, ikan yang terperangkap di dalam selut akan tumbul. Yang akan menangkap ikan itu biasanya kanak-kanak yang akan mengikut di belakang penggerap. Biasanya ikan puyu dan haruan banyak diperoleh.

Apabila proses penyediaan tanah sawah selesai, barulah benih padi akan ditabur. Pada masa dahulu, tapak benih ini ditabur dengan benih untuk benih tumbuh rapat-rapat kerana selepas itu ia akan dipindahkan ke tapak lain. 
 
Tetapi sekarang ini kaedah tabur terus digunakan di mana benih yang tumbuh akan terus dibiarkan tumbuh membesar sehingga mengeluarkan buah.

Kaedah tabur terus memudahkan kerja penanaman dan padi dapat membesar dengan lebih cepat. Selain kaedah tebur terus yang diamalkan sekarang memudahkan petani, penggunaan jentera pembajak moden juga mengurangkan kerja kaedah tradisional untuk membajak. 
 
Sekarang ini segalanya mudah dan cepat. Jadi, sepatutnya tiada alasan untuk membiarkan sawah terbiar tanpa diusahakan dengan tanaman.

No comments:

Post a Comment