Friday 14 September 2018

KETAATAN KEPADA GOVERMENT OF THE DAY


Istilah 'goverment of the day' atau 'kerajaan hari ini' sering diungkapkan kepada kakitangan awam sama ada peringkat negeri mahupun persekutuan. Pejawat awam perlu menyokong dan melaksanakan tugas dengan mengenepikan soal fahaman politik yang dianunti. Maknanya, jika berlaku pertukaran kerajaan, tidak kisah di peringkat pusat mahupun negeri, maka pejawat awam berkenaan mesti patuh kepada pihak kerajaan biarpun berlainan fahaman politik.

Hal ini penting bagi memastikan perkhidmatan terbaik terus dapat diberikan kepada rakyat. Pejawat awam mesti patuh kepada goverment of the day, tidak timbul masalah antara penjawat awam dengan kerajaan biarpun mempunyai fahaman politik yang berbeza. Apa yang diharapkan ialah pejawat awam dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Dalam konteks perkhidmatan awam, bersikap neutral, iaitu tidak memihak kepada sebarang fahaman politik dalam menjalankan tugas merupakan sifat yang wajib dimiliki setiap penjawat awam di Malaysia.

Kecenderungan berpolitik merupakan salah satu fitrah dalam kehidupan manusia. Namun, penjawat awam perlu mempunyai nilai dan etika yang tersendiri dalam kamus kehidupan mereka. Tonggak utama etika penjawat awam diterangkan dengan jelas dalam Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dalam perkara 4.(1), iaitu “Seseorang pegawai hendaklah pada setiap masa dan setiap ketika memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Yang di-Pertuan Agong (YDP), negara dan kerajaan”.

Hakikatnya, maksud falsafah ketaatan kepada Yang di-Pertuan Agong merupakan perkara yang wajar dihayati. Pertama, pelantikan setiap penjawat awam tanpa mengira skim dan gred adalah menerusi perkenan YDP Agong melalui penurunan kuasa kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Dengan keadaan sedemikian, maka setiap penjawat awam perlu meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi termasuk ideologi politik yang mereka dambakan.

Dalam sistem birokrasi perkhidmatan awam yang berteraskan susunan hierarki sebagai mekanisme pengurusan awam, sesuatu tindakan yang diambil hendaklah mengambil kira kepentingan rakyat terutamanya dalam soal pengurusan wang awam.

Apabila timbul sesuatu isu yang mengakibatkan berlakunya konflik antara kepentingan perkhidmatan dengan peribadi, maka keutamaan kepada kepentingan negara perlu didahulukan.

Penjawat awam yang berperanan sebagai agen transformasi negara wajar memahami falsafah pelbagai “pantang larang” yang terkandung dalam Perintah Am dan Arahan Perbendaharaan yang sepatutnya sudah sebati dalam minda mereka terutama yang berkaitan hubungan penjawat awam dengan ahli politik dan penglibatan mereka sendiri dalam kegiatan politik.

Jika kerajaan menyeru kepada slogan itu, maka pihak kerajaan juga perlu melaksanakan tanggungjawab untuk mengekalkan pejawat awam yang dilantik oleh kerajaan terdahulu. Perlantikan mereka sebagai pejawat awam mengikut terma atau syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.

Dalam kerajaan memang ada jawatan awam berkaitan politik. Jawatan Perdana Menteri sendiri dikategorikan sebagai pejawat awam yang mempunyai kaitan politik. Begitu juga jawatan lain yang menjalankan secara langsung berkaitan dengan Perdana Menteri seperti setiausaha politik, setiausaha akhbar dan pegawai khas yang dilantik seiring dengan perlantikan Perdana Menteri, maka jawatan itu dianggap terlucut atau ditamatkan apabila Perdana Menteri meletak jawatan. Dalam soal perjawatan sedemikian, tidak timbul soal mengapa mereka ditamatkan perkhidmatan, kerana jawatan mereka mempunyai kaitan dengan jawatan lain yang dianggap 'satu'.

Berbeza dengan perlantikan yang diuruskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, yang mana perlantikan dan perjawatan tiada kaitan dengan politik. Maka, tidak seharusnya, apabila berlaku pertukaran kerajaan, mereka juga ditamatkan kontrak.

Kembali kepada istilah goverment of the day, yang dimaksudkan ketaatan ialah berkaitan dengan tugas dan dasar kerajaan. Ini tidak pula menghalang mereka daripada untuk memilih calon dari parti bukan pemerintah dalam pilihan raya. Negara kita mengamalkan demokrasi dan semua rakyat atau pengundi bebas untuk memilih calon yang diyakini boleh khidmat terbaik kepada mereka.

Hal inilah sebenarnya yang terjadi semasa pemerintahan Barisan Nasional dahulu. Majoriti pejawat awam sebenarnya tidak mengundi calon Barisan Nasional pada PRU 14 lalu. Malah, pejawat awam turut mempengaruhi orang lain, terutama ahli keluarga untuk tidak mengundi calon Barisan Nasional. Maka, sebab itu, Barisan Nasional kecundang setelah lebih 60 tahun memerintah Malaysia.

Pejawat awam tidak perlu takut untuk tidak mengundi calon parti kerajaan. Ketaatan anda hanya dalam urusan tugas rasmi dan bukannya dalam menentukan pemerintah selepas pilihan raya. Kebebasan memilih termaktub dalam Perlembagaan negara berkaitan melaksanakan hak dalam memilih kerajaan. Pejawat awam telah membuktikan hak mereka pada PRU 14 lalu.

Hakikat itu, perlu disedari kerajaan Pakatan Harapan. Jika pejawat awam dapat melakukan perkara itu kepada kerajaan Barisan Nasional, maka tidak mustahil mereka juga dapat melakukan kepada kerajaan Pakatan Harapan.

No comments:

Post a Comment