Aktiviti kemasyarakatan di peringkat
kampung dan taman perumahan dapat dilakukan dengan lebih teratur jika ada
pertubuhan, persatuan atau kelab ditubuhkan. Melalui penubuhan organisasi perlaksanaan
aktiviti melibatkan kepentingan bersama dapat dilaksanakan secara satu
organisasi khusus dan tentunya secara tersusun, berkesan dan mencapai
matlamatnya.
Melalui organisasi khusus, aktiviti
dapat dilakukukan lebih teratur di samping mudah untuk mendapat nasihat dan
kerjasama dari agensi kerajaan. Ahli jawatankuasa yang dilantik juga dapat
menjalankan fungsi masing-masing untuk merangka aktiviti atau perlaksanaan
tugas.
Semangat kejiranan dan kerjasama dalam
melakukan aktiviti melahirkan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni
seperti saling menghormati, kerjasama, menjaga kepentingan bersama, hubungan
erat dan perpaduan.
Penubuhan sebarang organisasi
meningkatkan kesedaran untuk memperkasakan kembali amalan murni yang diamalkan
dalam masyarakat Melayu dulu. Pihak kerajaan menggalakkan agar setiap kampung
atau penempatan menubuh organisasi peringkat kampung masing-masing.
Antara organisasi tersusun dan
mendapat bantuan langsung dari kerajaan ialah Kawasan Rukun Tetangga (KRT). Penubuhan
KRT mampu melahirkan ahli masyarakat yang mempunyai semangat perpaduan untuk
menjaga kepentingan dan keselamatan bersama.
Penduduk terdedah kepada 'ancaman'
seperti kecurian, pecah rumah, ragut, penagihan dadah dan masalah sosial yang
memerlukan tindakan semua penduduk untuk mencegahnya daripada berleluasa.
Melalui KRT boleh dilakukan Skim
Rondaan Sukarela (SRS) yang mana setiap penduduk mempunyai tanggungjawab
terlibat sama untuk mencegah perkara buruk daripada berlaku.
SRS bukan saja dapat mencegah,
bahkan satu langkah mempamerkan 'amaran' agar mereka yang mempunyai niat untuk
melakukan sesuatu yang menyalahi norma kehidupan, agama dan undang-undang
negara akan membatalkan hasrat itu.
Mungkin sebelum ini penduduk hanya
berdiam diri walaupun mengetahui ada perkara tidak baik berlaku disebabkan
tidak mempunyai 'kekuatan' dan 'kuasa' untuk bertindak mencegahnya. Tetapi,
dengan adanya SRS sebagai satu badan rasmi di peringkat kampung yang diberi
kuasa tertentu dalam membanteras perkara tidak baik, penduduk dapat menjalankan
peranan masing-masing ke arah kebaikan.
Setiap keluarga tidak saja menjaga
kepentingan ahli keluarga masing-masing saja, bahkan seluruh ahli masyarakat.
Mengambil berat soal kejiranan bukan
bertujuan menjaga urusan dalaman keluarga lain atau menjaga tepi kain orang.
Tetapi apa tersirat sebenarnya adalah sebagai usaha mencipta kebaikan dan
mencegah kemungkaran.
No comments:
Post a Comment