Wednesday 24 October 2018

PERSIAPAN UNTUK BERKAHWIN


Institusi perkahwinan dalam Islam bukan sekadar memenuhi fitrah manusia yang memerlukan pasangan. Perkahwinan merupakan satu ibadah jika ia dilangsungkan dengan kesedaran demi memenuhi tuntutan agama dan memperolehi kebaikan melaluinya. 

Firman Allah bermaksud: “Dan di antara tanda kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untukmu isteri-isteri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan menjadikan antara kamu rasa kasih sayang,” - (Surah al-Rum ayat 21).

Sebagai seorang suami wajib memberi nafkah kepada isteri dan keluarga di bawah tanggungannya. Sabda Rasulullah bermaksud: “Wajib atas kamu (suami) memberikan nafkah (sara hidup) kepada anak dan isteri kamu serta pakaian dan tempat tinggal yang munasabah.”

Dalam masyarakat kita, perkara pertama diperlukan dalam perkahwinan ialah mas kahwin dan perbelanjaan lain berkaitan majlis perkahwinan. Jumlah perbelanjannya mencapai puluhan ribu. Jika tidak mempunyai simpanan yang cukup, majlis itu tidak dapat dilangsungkan. 

Justeru, ramai belia tidak berkahwin kerana menghadapi masalah kewangan. Lanjutan itu banyak berlaku masalah sosial melibatkan lelaki dan perempuan yang belum berkahwin.     

Maka, persiapan awal ke arah itu perlu dilakukan secepat mungkin. Biarpun belum terfikir untuk berkahwin awal, persiapan kewangan perlu dilakukan awal. Tidak rugi menyimpan wang. Kalaupun wang itu bukan digunakan untuk tujuan perkahwinan, wang simpanan boleh digunakan untuk keperluan lain apabila diperlukan.

Sekarang ini peluang perkerjaan terbuka luas, asalkan belia tidak terlalu memilih pekerjaan. Negara masih mengalami kekurangan tenaga kerja dalam sektor pembinaan, perladangan, perkilangan, perikanan, pembantu rumah dan perkapalan. 

Belia pencari kerja dinasihatkan jangan terlalu memilih kerja. Lakukan apapun kerja asalkan memberi pendapatan halal. Sumbangan pekerja dalam apa juga bidang amat bererti kepada negara. Perkara yang paling penting difikirkan ialah mempunyai pekerjaan yang mampu menyara hidup diri sendiri dan keluarga tanpa perlu memikirkan taraf pekerjaan itu. 

Keperluan pekerja dalam sektor-sektor tersebut sebenarnya tidak pernah dipenuhi. Ketika negara mengalami kegawatan ekonomi beberapa tahun lalu, sektor tersebut masih mengambil pekerja. Untuk memenuhi tenaga kerja dalam bidang tersebut, kerajaan terpaksa mengambil pekerja asing apabila rakyat tempatan tidak berminat menceburinya. 

Alangkah ruginya apabila negara terpaksa mengajikan pekerja asing, sedangkan rakyat sendiri ramai yang masih menganggur. Sikap terlalu memilih kerja dan tidak mahu melakukan kerja-kerja dikategorikan berat amat mendukacitakan. 

Ramai bakal pekerja rela menganggur daripada melakukan kerja yang tidak diminati. Mereka rela hidup melarat dan tidak menentu selagi kerja yang diingini tidak diperolehi.  Fenomena ini mewujudkan masalah sosial dalam masyarakat.

Ketiadaan sumber pendapatan untuk perbelajaan harian dan keperluan hidup menyebabkan ramai individu melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang dan peraturan agama. 

Meningkatnya masalah jenayah di kalangan belia dan remaja banyak berpunca daripada masalah tiadanya sumber pendapatan. Perkara ini bertepatan dengan apa yang dikhuatiri oleh Rasulullah melalui sabdanya bermaksud: “Kepapaan itu ditakuti menghampirkan seseorang kepada kemungkaran.”

Rasanya teramat rugi menolak peluang pekerjaan yang ada. Bayangkan apa yang sanggup dilakukan oleh pendatang asing demi untuk mendapat peluang pekerjaan di negara kita. Mereka sanggup menggadaikan nyawa demi mendapat pekerjaan yang dipandang rendah oleh rakyat kita. 

Hakikatnya, pekerjaan yang tidak disukai oleh rakyat tempatan itulah telah memberi keuntungan kepada pendatang asiang. Mereka amat bersyukur dan menghargai pekerjaan yang ditawarkan kepada mereka itu. Mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh dan mencapai apa yang dihajati ketika meninggalkan negara mereka, iaitu memperolehi pendapatan lumayan. 

Biarpun pekerjaan tersebut tidak dianggap menarik, pokok utamanya gajinya menarik. Buruh pembinaan mampu memperolehi pendapatan melebihi RM2000 sebulan, jumlah pendapatan itu lebih lumayan berbanding lulusan pusat pengajian tinggi yang bekerja di sektor awam. Pendapatan itu sudah tentu lebih lumayan berbanding diperolehi kerani yang kerja itu banyak diminati lepasan sekolah menengah.

Justeru, tidak hairan jika pekerja asing berjaya mengumpul wang hasil pendapatan menjadi buruh binaan sehingga mampu membina banglo hasil bekerja beberapa tahun di negara kita. Mereka membina kehidupan yang lebih baik berbanding rakyat tempatan yang terlalu memilih pekerjaan.

Ketika masih ramai rakyat kita tinggal di rumah setinggan kerana tidak mampu membayar sewa mahal bagi rumah lebih baik, ramai pendatang asing tinggal di rumah banglo sendiri yang dibina di atas tanah haram.

Bahkan, hasil pendapatan diperolehi daripada sektor yang dianggap tidak menarik sebenarnya telah membolehkan pekerja asing menghantar wang ke negara asal mereka sehingga berjumlah berbilion ringgit setahun. Wang negara mengalir dengan begitu banyak ke luar negara yang sedikit sebanyak mendedahkan negara kepada masalah ekonomi.

Jika rakyat tempatan yang masih belum mempunyai pekerjaan sanggup melakukan kerja-kerja yang kini dilakukan oleh pekerja asing, masalah rakyat tidak mempunyai pekerjaan tidak akan timbul. Ia secara tidak langsung juga akan mengatasi masalah kekurangan pekerja untuk sektor berkenaan. 

Sebenarnya peluang bekerja daripada peringkat bawah merupakan satu pengalaman yang amat berharga. Mereka yang bercita-cita tinggi berpeluang belajar daripada bawah untuk meningkat apabila tiba masanya. Pengalaman bekerja daripada peringkat bawah penting untuk menjadi pengurus dan pentadbir yang baik.

Allah tidak memandang apakah jenis pekerjaan seseorang itu. Apa yang penting ia dilakukan secara halal dan memberikan kebaikan. Rasulullah sendiri telah memilih menjadi pengembala kambing dan peniaga dalam usaha mencari rezeki. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak makan seorang itu sebarang makanan pun lebih baik daripada dia memakan makanan daripada hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil makanan dari usaha tangannya sendiri.” - (Hadis riwayat Bukhari).

No comments:

Post a Comment