Wednesday 24 October 2018

MESTI ADA KEINGINAN BERJAYA DALAM HIDUP


Semua orang ingin berjaya dalam hidup. Memperoleh sumber rezeki yang banyak. Mempunyai keluarga yang bahagia. Hidup yang tenang dan selamat. 

Jika itu matlamatnya bukan sekadar satu ilusi. Usaha perlu ditingkatkan dan kayakan kehidupan. Semuanya perlu ditentukan diri kita sendiri. Kejayaan diri sendiri terlalu penting untuk dibiarkan orang lain menentukannya. Dalam hal ini jangan sekali-kali jadi seperti pahat dengan penukul.

Memang kita memerlukan pertolongan orang lain untuk berjaya. Hakikatnya, biarlah pertolongan itu hanya dalam bentuk sokongan, pemangkin dan material yang berkaitan. Benih kejayaan berada dalam diri sendiri. Kita sendiri yang perlu menanam, membajai dan menyiramnya. 

Inilah proses memperkayakan kehidupan yang perlu dilakukan secara berterusan. Jangan mudah rasa selesa dengan keadaan yang dilalui sekarang. Amalkan selalu berfikir dengan matang. Jangan amalkan sikap menyia-iyakan, melalaikan dan bersikap sembrono meskipun hanya sedetik atau dalam hal-hal kecil.

Orang yang kaya kehidupannya tidak memandang mudah biarpun perkara kecil. Mereka dapat melihat dan menghayati hal-hal kecil dengan pengamatan luar biasa, hingga setiap masa dapat menjiwai setiap detik kehidupan. 

Letakkan diri kita sebagai orang berjaya. Hakikatnya, dalam kehidupan ada individu akan berjaya, dan jadikan diri kita yang berjaya itu. Sekiranya kita memikirkan tentang kejayaan, maka usaha menghampirkan diri kepada kejayaan akan dilakukan. Ingatlah, bagaimana seseorang itu berfikir dalam hatinya, begitulah dia.  

Banyak individu bukan sahaja tidak melakukan sesuatu untuk berjaya, bahkan takut untuk berkata dia ingin berjaya. Inilah bukti diri kita masih dikuasai kemiskinan jiwa. Orang yang miskin jiwanya, maka hidupnya juga akan miskin. 

Setiap individu berjaya tidak merasa apa-apa yang perlu ditakuti, melainkan kekuasaan Tuhan. Perkara yang hanya perlu kita takuti ialah ketakutan itu sendiri. Adalah tidak selamat jika kita melihat masa depan dengan mata ketakutan. Jika kita tidak takut pada ketakutan, maka jadilah kita orang yang benar-benar berani menghadapi cabaran hidup. 

Sebenarnya tidak ada sesiapapun yang ingin gagal dalam kehidupannya. Oleh itu kita perlu bangkit memperkayakan kehidupan sebelum kemiskinan kehidupan menguasi diri. Sekali kita jatuh miskin, terlalu sukar untuk bangkit kembali. Adalah lebih baik kaya sebelum miskin, daripada kaya lepas miskin. Kerana untuk jadi kaya tidak perlu miskin dahulu.

Individu yang berjaya dalam hidup, sebenarnya lebih dahulu berjaya melihat kebolehan dalam dirinya. Individu yang berjaya melihat diri mereka dari titik yang tinggi dalam hidup mereka. Untuk melihat dari titik yang tinggi dalam hidup kita tidak memerlukan bayaran, melainkan jiwa kitalah yang meletakkannya. 

Individu yang berjaya menghayati hidupnya, menjadi kayalah jiwanya. Dia cenderung menggunakan segala keistimewaan yang dianugerahkan Tuhan. Sifat bersyukur dan menggunakan sepenuhnya keistimewaan yang dimiliki akan menambahkan kejayaan yang akan diraih seterusnya.   

Kita berjaya atau gagal adalah melalui gambaran yang anda tonjolkan dalam fikiran anda. Cuba renungkan dalam diri, pernahkah kita menyatakan rasa suka pada diri sendiri, bersyukur nikmat yang dinikmati, bersedia untuk mencuba, bersedia untuk terus mencuba, hari ini saya hebat, saya mempunyai kelebihan dalam sesuatu dan ciri-ciri positif lain.

Sebenarnya tidak ada orang dilahirkan untuk gagal, melainkan diri individu itu sendirilah yang menggagalkan hidupnya. Dengan kata lain, setiap orang berhak untuk menikmati kejayaan. Jangan lepaskan peluang yang dianugerahkan Tuhan. 

Sekiranya kita merasakan ada sesuatu kekurangan pada diri sendiri berbanding diri orang lain yang dijadikan alasan kita mungkin gagal, fikirkan ada individu lain yang lebih kurang berbanding kita, tetapi mengapa dia boleh berjaya. 

Jangan fikirkan nasib kita tidak memiliki kasut, kerana sebenarnya ada orang lain lebih malang daripada kita, tidak berkaki. Relakah kita ditinggalkan jauh di belakang oleh orang tidak berkaki, semata-mata kerana kita tidak mempunyai kasut untuk berjalan selesa.

Sesungguhnya belum terlewat bagi sesiapa jua berusaha memperkayakan kehidupannya. Mulakan sekarang mengikut keupayaan diri masing-masing. Lihatlah dalam diri sendiri, jangan bandingkan kita dengan orang lain, melainkan kita mengatakan kitalah  lebih hebat.  

No comments:

Post a Comment