Wednesday 24 October 2018

KAYAKAN KEHIDUPAN DENGAN PELBAGAI NILAI

Untuk hidup bahagia di dunia ini, kita perlu memperkayakan kehidupan. Pengertian memperkayakan kehidupan bukan hanya tertumpu kepada kaya material semata-mata. 

Memperkayakan kehidupan lebih bermakna jika kita mampu melihat kehidupan ini dari sudut positif. 


Kekayaan adalah sesuatu yang lebih banyak, lebih baik, lebih bermutu, lebih ceria, lebih berilmu dan dalam konteks orang Islam beriman dan bertakwa. Inilah kekayaan yang harus kita usahakan dalam hidup ini. 

Kekayaan ini saling berkait antara satu sama lain dalam semua perkara yang mempunyai kaitan dengan hidup kita. Dengan kata lain, kita perlu memperkayakan kehidupan dalam semua aspek kehidupan.

Asas kekayaan kehidupan paling utama ialah bagaimana kita melihat kehidupan ini. Orang yang menghayati kehidupan ini akan merasakan bahawa kehidupan ini sangat indah dan amat bernilai. 

Dunia ini sendiri pernah dengan keindahan yang dicipta oleh Maha Pencipta. Penghayatan nilai kehidupan menjadikan seseorang tidak merasakan sebarang halangan atau tugasan hidup sebagai membebankan. 

Contohnya, seorang pelajar yang menghayati tugas yang perlu dilakukan sebagai pelajar akan merasa tenang melakukan tugasan yang berkaitan. Dia merasa gembira datang ke sekolah atau melakukan sesuatu yang berkaitan untuk mencari ilmu.  

Malah, dia akan merasakan satu tidak menyenangkan jika terhenti melakukan tugas-tugas sehariannya. Tugas belajar adalah nyawa kehidupannya. Tanpa melakukan tugas itu dia merasakan seperti dia mati seketika.

Memang bukan mudah untuk mencapai tingkat penghayatan itu. Tetapi inilah maksud memperkayakan kehidupan. Kita perlu sentiasa berusaha ke arah itu. 
 
Tidak ada orang terus berjaya mencapai tingkat terbaik, melainkan dia telah melalui proses memperkayakan kehidupan dalam tempoh masa tertentu. Ada orang mengambil masa lebih singkat, sedangkan ada yang lebih lama.

Perjalanan seribu kilometer bermula dengan langkah yang pertama. Oleh itu kita perlu mula melangkah sekarang. Jangan anggap masa masih panjang. 

Orang mengamalkan sikap bertangguh memang selalu rugi. Sedetik kita lewat melangkah, maka sedetik jugalah kita akan lewat sampai. Lebih malang jika kelewatan sedetik itu menyebabkan kita gagal.

Inilah pentingnya kita memperkayakan kehidupan ini bagi memastikan kita sentiasa melihat sesuatu melalui prespeksi hidup untuk berjaya. Kita perlu menentukan haluan hidup bagi memudahkan mencapai matlamat. 

Semua orang ingin berjaya dalam hidup. Memperoleh sumber rezeki yang banyak. Mempunyai keluarga yang bahagia. Hidup yang tenang dan selamat. 

Jika itu matlamatnya bukan sekadar satu ilusi. Usaha perlu ditingkatkan dan kayakan kehidupan. Semuanya perlu ditentukan diri kita sendiri. 
 
Kejayaan diri sendiri terlalu penting untuk dibiarkan orang lain menentukannya. Dalam hal ini jangan sekali-kali jadi seperti pahat dengan penukul.

Memang kita memerlukan pertolongan orang lain untuk berjaya. Hakikatnya, biarlah pertolongan itu hanya dalam bentuk sokongan, pemangkin dan material yang berkaitan. 
 
Benih kejayaan berada dalam diri sendiri. Kita sendiri yang perlu menanam, membajai dan menyiramnya. 

Situasi berubah tidak mungkin berubah dengan cepat. Berusahalah menyesuaikan diri. Kita terpaksa menghadapainya dengan nekad. Jangan ragu-ragu untuk berubah kepada kebaikan. 

Hapuskan had atau halangan yang selama ini dicipta sendiri. Lihat dalam diri sendiri apa yang dimahukan. Jangan terikat dengan keadaan sebelum memulakan proses memperkayakan kehidupan ini.

Jangan sekali-kali kita mempersia-siakan anugerah Tuhan yang amat besar kepada kita. Setiap orang ada potensi diri untuk mencapai apa yang diingini. Mulakan dengan mengenali potensi diri. 

Masalahnya apabila banyak individu yang tidak mengetahui potensi diri sendiri. Jika begitu, mari berusaha mengenali potensi diri sendiri. Kenal pasti apakah kekuatan dan kelemahan diri. Senaraikan apakah kebiasaan yang anda suka dan tidak suka. 
 
Lihat kembali kejayaan dan kegagalan yang pernah dilalui. Tanya diri sendiri apa diinginkan dalam hidup ini.

Dalam hal ini jangan sekali-kali bandingkan diri sendiri dengan orang lain. Setiap orang tidak mempunyai persamaan, melainkan sedikit sangat secara kebetulan. Apa yang boleh kita bandingkan ialah dengan diri sendiri. 

Cuba bandingkan diri anda setahun yang lalu, sebulan yang lalu, seminggu yang lalu, kelmarin dan apa yang kita inginkan untuk esok, sebulan akan datang, setahun akan datang dan seterusnya.

No comments:

Post a Comment