Wednesday 20 February 2019

JAGA SENSITIVITI AGAMA ELAK MASALAH HUBUNGAN

Hari ini, polarisasi kaum masih wujud sebahagiannya kerana politik kebencian yang dimainkan oleh sesetengah pihak.

Sensitiviti kaum tidak dipedulikan, institusi Raja dimomokkan, malah wujud cabar mencabar antara agama. Kita boleh mengembalikan kepercayaan antara kaum melalui satu sistem pendidikan kebangsaan yang memberi keutamaan kepada perpaduan nasional.

Matlamat ini boleh kita capai jika kita meletakkan asas-asas yang kukuh untuk perpaduan dalam sistem pendidikan kita. Ini termasuklah memperkasa Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan dan menjadikan perpaduan nasional sebagai agenda utama semua aliran persekolahan di negara kita, termasuk di sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama rakyat, sekolah swasta dan lain-lain.

Jangan lagi ada kisah murid yang tidak tahu berbahasa Melayu, sedangkan bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan negara kita.

Jangan lagi ada insiden kenyataan berbaur perkauman dikeluarkan oleh guru atau murid di sekolah. Jangan lagi ada perasaan prejudis kaum dan agama yang tebal dalam kalangan rakyat negara kita.

Dalam semangat untuk mengikis sikap prejudis sesama rakyat, adalah wajar kerajaan mengambil tindakan tegas dalam membendung kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama daripada memercikkan api perbalahan.

Adalah lebih baik kita mencegah daripada nantinya terpaksa merawat luka permusuhan yang parah. Kerana itu Akta Hasutan wajar dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan.

Peruntukan khusus perlu dimasukkan untuk melarang mana-mana pihak daripada mempersoalkan jaminan perlembagaan mengenai kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan.

Akta ini juga perlu menghalang mana-mana pihak daripada mempersoalkan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.

Begitu juga dengan kedudukan tanah rezab Melayu dan Regimen Askar Melayu DiRaja yang merupakan sebahagian daripada wasiat Raja-Raja Melayu perlu dilindungi daripada perbuatan menghasut.

Apa yang penting ialah kita perlu melihat Akta Hasutan bukan sebagai akta yang hanya melindungi kepentingan orang Melayu, tetapi akta yang memelihara perpaduan dan keharmonian nasional.

Kita mesti memperbetulkan segera segala kesilapan kita dan melakukan perubahan demi kelangsungan agama bangsa.

Amatilah betul-betul peringatan Allah SWT sebagaimana firmanNya dalam surah Al-An’am Ayat 6 yang bermaksud: “Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?”

No comments:

Post a Comment