Thursday, 25 July 2019

ZAKAT MENGUATKAN HUBUNGAN PERSAUDARAAN


Setiap syariat dalam Islam bertujuan mendatangkan kebaikan. Allah SWT tidak mewajibkan sesuatu melainkan ada kebaikan dan pada masa sama menolak perkara buruk. Ini tidak terkecuali dengan pensyariat zakat. Apatah lagi, zakat adalah Rukun Islam, tentunya mempunyai peranan dan kebaikan yang besar. 

Kepentingan zakat kepada umat Islam tidak dinafikan apabila di dalam al-Quran disebut sebanyak 82 kali berkaitannya. Jelas sekali, ia satu ibadat yang penting. 

Antara faedah diwajibkan zakat ialah menguatkan hubungan persaudaraan, kerjasama, tolong menolong dan kasih sayang melibatkan golongan kaya dengan golongan miskin. 

Sesungguhnya Allah SWT menjadikan manusia berlainan darjat dan kekayaan dengan penuh hikmah. Antaranya adalah untuk mewujudkan kasih sayang dan saling berhubung.  

Ikatan kasih sayang amat dituntu dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang itu sekiranya dia tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Hubungan persaudaraan amat penting dijaga dan dieratkan kerana melaluinya akan menyerlahkan lagi kesempurnaan ajaran Islam. Gambaran itu dapat menarik minat bukan Islam untuk menganut agama Islam.

Perkara ini dapat dilihat bagaimana pengorbanan dilakukan oleh kaum Ansar terhadap kaum Muhajirim ketika peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Sikap tolong menolong dan tidak mementingkan diri sendiri telah membantu terbentuk umat Islam yang kuat dan menarik minat bukan Islam memeluk Islam. 

Pada masa sama zakat mewujudkan budaya suka bersedekah, membelanjakan harta ke jalan Allah dan berkorban harta membantu golongan miskin. 

Allah SWT melebihkan pemberian kekayaan kepada invividu bukan bermakna darjatnya di sisi Allah SWT tinggi. Sebaliknya, Allah SWT tidak memandang kepada kekayaan atau pangkat. Sebaliknya, di sisi Allah SWT yang dipandang terhadap manusia adalah takwanya. 

Maka antara nilaian takwa ialah melalui pematuhan kepada hukum ditetapkan Allah SWT dan Rasulullah SAW. Ini termasuklah mengeluarkan zakat yang mana sanggup membelanjakan harta untuk membantu orang lain. Golongan yang tidak kedekut, bahkan rela membantu sesama Islam, maka mereka itu golongan berjaya. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Oleh itu bertakwalah sedaya upaya kamu, dan dengarlah (pengajaran-Nya) serta taatlah (perintah-Nya), dan belanjalah harta kamu (serta berbuatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi tabiat bakhil, merekalah orang yang berjaya.” (Surah al-Taghabun, ayat 16).

Hasil dari didikan zakat akan mendorong pula sikap suka bersedekah dan membantu sesama Islam biarpun perkara itu bukan wajib dilaksanakan. Pada hakikatnya, zakat, sedekah dan hadiah adalah sama biarpun dari segi hukumnya berbeza. Maksud sama ialah kesemuanya melibatkan pengeluaran harta dimiliki diserahkan atau diberikan kepada pihak lain.

Fungsi lain zakat untuk mengatasi masalah pengangguran dan kemiskinan. Fungsi ini amat berkesan apabila wujudnya mekanisma ekonomi yang mana berlaku kitaran ekonomi yang pesat.          
         
Apabila golongan kaya mengeluarkan zakat, wang itu boleh digunakan oleh penerimanya. Ini mengelak harta beku atau disimpan tanpa dibelanjakan.  Perbelanjaan dalam sistem ekonomi akan mewujudkan peluang pekerjaan dan seterusnya mengatasi pengangguran.

Suasana ekonomi yang lancar sebenarnya memberi keuntungan kepada semua peringkat rakyat. Golongan kaya akan memperoleh keuntungan melalui sektor ekonomi yang mereka terlibat, sedangkan golongan miskin akan berusaha untuk mendapat rezeki lebih banyak dan seterusnya terkeluar dari golongan miskin.

Golongan miskin yang dibantu dapat keluar dari penderitaan hidup dan mereka mempunyai peluang untuk berdikari. Apabila tidak wujud lagi pengangguran, tahap produktiviti dalam masyarakat dan negara bertambah. Kitaran ekonomi yang lebih baik memberi peluang lebih banyak pihak terlibat dalam aktiviti eknomi dan seterusnya mencapai tahap ekonomi penuh.

 Zakat juga berperanan memastikan keperluan kehidupan dalam masyarakat menjadi lengkap dan memenuhi keperluan. 

No comments:

Post a Comment