Zakat yang dikeluarkan oleh individu mesti diserahkan kepada golongan
asnaf. Jika zakat dikeluarkan kepada
selain daripada golongan asnaf, maka ia tidak dianggap zakat. Sebaliknya, ia
dipanggil sedekah atau hadiah. Jika perkara itu berlaku, sedangkan ia
sebenarnya diniatkan untuk melunaskan zakat, maka jumlah yang tertentu itu
mesti dikeluarkan sekali lagi dan diserahkan kepada asnaf.
Adapun yang termasuk golongan asnaf terdapat lapan iaitu fakir, miskin,
amil, mualaf, hamba, orang yang berhutang, fisabilillah dan musafir.
Golongan yang memerlukan bantuan untuk kos rawatan perubatan pada asasnya
tidak termasuk dalam asnaf yang dinyatakan di atas. Namun, para ulama telah
memasukkan golongan yang memerlukan
bantuan untuk kos rawatan perubatan dalam kumpulan asnaf al-gharimi iaitu orang
yang berhutang.
Perkara ini dapat dilihat dalam senarai dikeluarkan Unit Zakat, Majlis
Agama Islam Kelantan (MAIK) yang mana dalam asnaf al-gharimi menyenaraikan
golongan yang memerlukan bantuan kos rawatan perubatan, selain golongan
memerlukan bantuan yuran pengajian dan bayaran keperluan darurah.
Terdapat tiga keperluan mengapa golongan memerlukan bantuan kos perubatan
termasuk dalam golongan orang yang berhutang atau al-gharimi.
Pertamanya, kos rawatan sekarang ini telah meningkat, terutama yang
melibatkan penyakit kronik. Sekarang tidak lagi menjadi perkara mengejutkan
apabila kos perubatan sesetengah penyakit meningkat hingga ratusan ribu
ringgit.
Manakala kos rawatan perubatan sekitar puluhan ribu ringgit sudah menjadi
perkara lumrah. Ini apabila melibatkan rawatan yang memerlukan pembedahan
melibatkan pakar dan teknologi yang tinggi. Contohnya kos rawatan perubatan
untuk penyakit jantung kini mencecah puluhan ribu ringgit. Itu kos rawatan di
dalam negeri dan mendapat subsidi kerajaan. Jumlah lebih tinggi jika diadakan
pembedahan di luar negara.
Jumlah puluhan ribu ini tentu tidak mampu ditanggung oleh golongan miskin.
Namun, dasar hospital kerajaan memberi peluang rawatan dilakukan dahulu,
kemudian baru bayar. Ini bermakna kos rawatan itu dikira hutang yang perlu
mereka jelaskan selepas membuat rawatan.
Maka sebab itu, golongan itu dikira golongan berhutang dan layak mendapat
bantuan zakat.
Keduanya, ia masih berkisar kepada kos rawatan yang tinggi, tetapi rawatan
belum dilakukan lagi. Ini bermakna secara konsepnya pesakit masih dikira belum
berhutang kerana belum mendapat rawatan.
Namun, pihak hospital telah menyatakan jumlah kos yang akan dikenakan jika
rawatan itu dilakukan. Pihak hospital (biasanya hospital swasta) tidak akan
melakukan rawatan selagi jumlah yang ditetapkan tidak dijelaskan,
sekurang-kurangnya jumlah minima yang ditetapkan.
Jadi, mengambil kira kepada keadaan tersebut, pesakit itu sudah boleh
dikira 'berhutang' dengan pihak hospital. Maka berdasarkan kepada keadaan
tersebut, mereka dikira layak dikategorikan sebagai penghutang. Justeru itu,
golongan ini layak untuk mendapat bantuan wang zakat untuk tujuan membiayai kos
rawatan perubatan.
Situasi ketiga pula ialah golongan yang layak menerima zakat di bawah
kategori orang berhutang untuk tujuan rawatan ialah keadaan miskin yang mana
dalam keadaan biasa mereka sudah berada dalam keadaan berhutang.
Jadi, dalam keadaan sakit, tentulah lebih banyak wang diperlukan untuk
tujuan rawatan. Maka mereka layak mendapat sumbangan wang zakat untuk tujuan
menampung kos rawatan perubatan.
Keadaan sakit juga menyebabkan mereka yang sepetutnya mencari rezeki tidak
mampu untuk bekerja. Ini berdasarkan kepada dua situasi, pertamanya jika yang
mengalami penyakit itu sendiri adalah pencari rezeki.
Keadaan penyakit yang kronik menyebabkan mereka tidak mampu melakukan tugas
rutin. Keadaan kedua, ialah di mana pencari rezeki tidak dapat meneruskan tugas
rutin mencari rezeki kerana terpaksa mengurus atau menjaga pesakit. Tugas ini
biasanya dilakukan oleh ibu yang terpaksa menjaga anak yang mengalami penyakit
kronik.
Dengan kata lain, dalam keadaan miskin dan ditambah pula sukar untuk
bekerja atau terpaksa berhenti kerja, hingga terpaksa menanggung hutang, maka
selayaknya golongan ini mendapat bantuan zakat untuk menampung kos rawatan.
Umat Islam perlu mengambil kesempatan untuk membersihkan, menambah
keberkatan dan menjadikan harta bertambah melalui pengeluran zakat.
Pensyariatan zakat tidak dapat dinafikan lagi kerana terdapat dalil dalam
al-Quran dan hadis yang tidak diragui lagi.
Insitusi zakat adalah mekanisma terbaik untuk membantu ummah berkaitan
ekonomi. Pada zaman awal Islam, zakat telah memainkan peranan untuk membantu
golongan miskin dan mereka yang memerlukan pembelaan berkaitan kewangan. Malah,
mereka yang baru memeluk Islam yang terpaksa meninggalkan segala harta kekayaan
yang dimiliki sebelumnya, dapat meneruskan hidup melalui bantuan zakat.
Pada waktu itu juga, terdapat hamba yang diberi peluang untuk menebus
dirinya daripada tuan bukan beragama Islam, telah dimerdekakan menggunakan wang
zakat.
Pada permulaan Islam, institusi zakat tidak kompleks, tambahan bilangan
mereka yang layak mengeluarkan zakat agak kecil. Namun, apabila Islam
berkembang, khususnya pada era pemerintah Khalifah Abu Bakar, institusi zakat
telah ditubuhkan bagi menguruskan penjalanan pungutan dan pengagihan zakat.
Pensyariatan zakat bukan saja satu perlaksanaan Rukun Islam, tetapi
menyediakan satu medan untuk membina satu ummah yang terbaik. Melalui zakat
terbinanya hubungan baik antara golongan kaya dan miskin. Golongan kaya
terhindar sikap ego dan sombong apabila melaksanakan zakat. Manakala golongan
miskin pula merasa hormat dan terhindar perasaan dengki terhadap golongan
kaya.
Keperluan umat Islam masa kini semakin kompleks dan semuanya memerlukan
kewangan. Melalui zakat, ia dapat meringankan beban atau memenuhi keperluan
itu. Ini dapat mengelak umat Islam terjebak kepada perkara tidak baik. Sesungguhnya kemiskinan dan penderitaan yang
ditanggung boleh menjerumuskan seseorang kepada kekufuran.
Sebab itu, institusi zakat perlu lebih proaktif. Umpamanya menyediakan
tempat tinggal dan bantuan makan kepada golongan miskin. Jika ini dilakukan,
tidak timbul isu umat Islam mendapat perlindungan di institusi agama lain
seperti berlaku di negara ini.
Agama lain menggunakan aspek keperluan bantuan seperti untuk rawatan
perubatan, pendidikan, keperluan tempat tinggal dan makanan sebagai umpan untuk
memurtadkan umat Islam yang terdesak memerlukan pembelaan.
Jika umat Islam yang layak mengeluarkan zakat melaksanakan Rukun Islam itu,
maka sudah pasti tidak ada umat Islam yang terbiar. Namun, disebabkan masih
banyak individu Islam memandang sepi perintah itu, maka peranan sebenar zakat
tidak ketara nampak dalam masyarakat kita.
Selain zakat, umat Islam juga disuruh agar membantu sesama Islam melalui
sedekah dan sumbangan lain. Umat Islam yang saling membantu akan hidup dalam
keadaan aman dan sejahtera, tanpa perasaan hasad dengki dan perasaan buruk
lain.
No comments:
Post a Comment