Urusan
zakat tidak boleh diambil mudah. Zakat perlu dikeluarkan atau diserahkan kepada
golongan yang layak menerimanya atau dinamakan golongan asnaf. Jika diserahkan
kepada yang tidak layak, maka zakat itu tidak sah. Ia hanya dipanggil sedekah
atau hadiah.
Ulama
berselisih pendapat mengenai kedudukan memberi zakat kepada ahli keluarga,
terutama zakat harta isteri kepada suami. Majoriti ulama mengatakan sah zakat
diserahkan kepada ahli keluarga, manakala sebahagian pula mengatakan tidak sah.
Ulama
yang mengatakan dibolehkan isteri memberi zakat kepada suaminya berdasarkan
kepada maksud umum ayat al-Quran dan hadis yang menjelaskan bahwa orang miskin
berhak mendapatkan zakat dari orang kaya, termasuk di dalamnya suami yang
miskin berhak mendapatkan zakat dari istrinya yang kaya. Tidak ada ayat al-Quran dan hadis yang
mengharamkan suami menerima zakat daripada isterinya.
Disebut
dalam satu hadis mengatakan sedekah kepada ahli keluarga lebih utama. Sedekah
yang diberikan kepada kaum keluarga adalah dikira dua kebajikan.
Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sedekah kepada fakir miskin itu adalah satu
kebajikan (sedekah) manakala sedekah yang diberikan kepada kaum keluarga pula
adalah dua kebajikan (sedekah dan hubungan keluarga).” (Hadis riwayat Ahmad
Tarmizi dan Nasai).
Dalam
satu hadis yang lain bahawa Zainab isteri kepada Ibnu Masud bertanya Rasulullah
SAW: “Wahai Nabi Allah! Sebenarnya kamu mewajibkan sedekah hari ini sedangkan
aku ada memiliki perhiasan dan aku ingin bersedekah dari perhiasan itu lalu
Ibnu Masud merasakan dirinya dan anak-anaknya lebih berhak (menerimanya) dari
orang lain.” Maka Nabi SAW bersabda: Ibnu Masud benar, suamimu dan anak-anakmu
lebih berhak menerimanya (sedekah kamu itu) (riwayat Bukhari).
Berkata
Ibnu Hajar (Fathu al-Bari: 3/ 329
): “Hadis ini menjadi dalil kebolehan seorang isteri memberikan zakat kepada
suaminya”.
Berdasarkan
hadis inilah, ahli fikah mengatakan harus isteri membayar zakatnya kepada suami
sahaja kerana isterinya itu orang berada manakala suami pula termasuk dalam
orang yang berhak dan bukan tanggungannya. Sedangkan dalam hadis tersebut pula
jelas difahami oleh Zainab sebagai sedekah wajib sedangkan sedekah wajib itulah
apa yang dimaksudkan dengan zakat.
Tetapi
kata sesetengah ulama harta dari zakat tersebut tidak harus dibelanjakan
sebagai nafkah untuk membiayai isterinya. Tetapi kata yang lain bila harta itu
sudah menjadi miliknya dia bebas membelanjakannya ke mana yang dikehendakinya
seperti dalam hadis mengenai kafarah yang juga harus dibayar kepada isteri dan
keluarga yang berhak dari fakir miskin.
Pendapat
lain mengatakan suami tidak layak menerima zakat dari isterinya. Ini adalah
pendapat Abu Hanifah dan riwayat Imam Ahmad. Dalil pendapat ini, bahawa
sebagaimana seorang suami tidak dibolehkan memberikan zakat kepada isterinya,
maka isteripun demikian tidak boleh memberikan zakatnya kepada suaminya. Pasangan
suami isteri dianggap satu perkongsian yang saling memiliki. Oleh sebab itu, sebahagian
ulama seperti Ibnu Hazm mengatakan jika suami miskin, dan isteri kaya, maka isteri
berkewajiban memberikan nafkah kepada suaminya berdasarkan firman Allah SWT
dalam surah al-Baqarah, ayat 233 yang bermaksud: “Dan bagi ahli waris punya kewajiban serupa.“
Malah,
jika isteri memberi zakat kepada suami, wang itu pula akan diberikan kepada
isterinya semula sebagai nafkah yang wajib menjadi tanggungjawabnya.
Golongan
yang mengatakan tidak boleh memberikan zakat kepada isteri juga menjelaskan
bahawa hadis yang disandarkan oleh pihak yang mengharuskan adalah merujuk
kepada sedekah tidak wajib dan bukannya berhubungan dengan zakat.
Sedekah
memang boleh diberikan kepada sesiapa, sedangkan zakat ada golongan tertentu
yang layak menerimanya. Zakat adalah wajib dan jika tidak dilaksanakan mengikut
aturan menyebabkan ia tidak sah dan perlu diulangi semula.
Adapun
alasan pendapat yang menyamakan antara suami isteri dalam masalah pembayaran
zakat tidaklah benar. Ini disebabkan suami berkewajiban memberikan nafkah
kepada isterinya yang menjadikan isteri mencukupi keperluan hidupnya dan tidak
lagi memerlukan zakat, maka suami tidak boleh memberikan zakat kepadanya.
Berkata
Ibnu Qudamah di dalam (al-Mughni: 2/ 279 ): “Jika isteri miskin,
sedangkan suami kaya, dan selalu memberikan nafkah kepadanya, maka tidak
dibolehkan baginya memberikan zakat kepada isterinya, kerana isteri sudah cukup
dengan nafkah dari suami.”
Sebaliknya,
isteri kaya tidak wajib memberi nafkah kepada suaminya yang miskin. Harta
isteri tidak menjadi harta suami biarpun turut digunakan oleh suami. Milik
harta itu kekal pada isterinya, kecuali isteri telah menyerah hak itu kepada
suaminya.
Dalam
kes harta isteri tidak diserahkan hak pemilikan kepada suami, maka suami kekal
miskin dan fakir (jika itulah kedudukannya) biarpun tinggal dan menggunakan
harta isteri seperti kediaman dan kenderaan. Maka itu, isteri dibolehkan
memberikan zakat kepada suaminya.
Namun,
dalam kes isteri yang telah berkongsi pemilikan hartanya dengan suaminya, maka
ketika itu suaminya juga sudah layak digelar sebagai orang kaya, biarpun tidak
memiliki sumber pendapatan sendiri. Maka, suami tidak layak menerima zakat dari
isterinya kerana dirinya telah termasuk golongan kaya atau tidak layak menerima
zakat.
No comments:
Post a Comment