Pengurusan zakat secara profesional di negara
kita mula diperkenalkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutunan (JAIWP)
dengan tertubuhnya Pusat Pungutan Zakat (PPZ) pada tahun 1991. Beberapa Majlis
Agama Negeri kemudiannya turut menubuhkan pusat zakat atau badan pengurusan
zakat secara bersistematik di peringkat negeri masing-masing.
Pengurusan zakat secara profesional berjaya
meningkatkan kutipan zakat dan pengurusan yang lebih bersistematik, termasuk
pengagihan zakat kepada golongan asnaf. Ia memberi manfaat yang besar kepada
seluruh umat Islam di negara kita.
Pusat zakat secara proaktif menyedarkan umat
Islam tentang perlunya mengeluarkan zakat. Kempen kesedaran dilakukan media
massa dan media sosial, selain bertemu pelanggan secara bersemuka.
Begitu juga cara pembayaran dilakukan
mengikut kaedah semasa termasuk melalui online yang mana pembayar zakat dapat
membuat bayaran melalui cara pindahan tunai atau melalui aplikasi yang
disediakan.
Untuk mendidik komintmen pembayar zakat agar
sentiasa bersedia untuk melaksanakan tuntutan Islam itu, skim potongan zakat
bulanan turut diadakan agar apabila tiba masanya ia dapat dilunaskan dengan
sempurna.
Setiap perintah dalam agama mempunyai hikmah
dan kebaikan yang besar. Tambah lagi jika perintah itu termasuk dalam Rukun
Islam. Ini termasuklah perintah mengeluarkan zakat.
Kalimah zakat pada bahasa bermaksud tumbuh,
bertambah, cerdik, baik, suci dan subur. Pada istilah pula, zakat bermaksud
mengambil harta tertentu yang diberikan kepada orang tertentu dengan syarat
tertentu.
Berzakat sebahagian tanda kesempurnaan
keislaman seseorang. Individu yang tidak berzakat, sedangkan memenuhi syarat
zakat wajib ke atasnya, bermakna cacat imannya.
Al-Quran dan hadis menjelaskan tentang
kepentingan melaksanakan kewajipan berzakat. Berzakat melahirkan hamba yang
bersih jiwa dan jasmani, patuh kepada Allah, serta melatih memudahkan diri
melaksanakan perkara kebaikan.
Firman Allah bermaksud: “Ambillah
(sebahagian) daripada harta mereka menjadi zakat, supaya dengan zakat itu kamu
membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang
buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu mereka
ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah)
Allah amat mendengar lagi amat mengetahui.” (Surah at-Taubah, ayat 103).
Manakala sabda Rasulullah pula bermaksud:
“Islam diasaskan atas lima perkara, menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah
dan Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat menunaikan
haji dan berpuasa Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Kepentingan zakat dalam membentuk ketakwaan
dan bukti keimanan kepada Allah amat jelas. Kisah umat yang kufur disebabkan
enggan mengeluarkan zakat banyak disebut dalam al-Quran.
Allah menukilkan dalam al-Quran tentang Qarun
yang enggan mengeluarkan zakat disebabkan perasaan angkuh dan cintakan harta
kekayaan. Qarun yang asalnya beriman kepada Allah ketika miskin, kemudian
dilaknat dan dimusnahkan bersama-sama hartanya disebabkan tidak bersyukur
dengan kekayaan dikurniakan Allah.
Perintah mentauhidkan Allah, melakukan
sembahyang dan seterusnya mengeluarkan zakat dirangkai bersama-sama dalam
beberapa ayat al-Quran. Dengan kata lain, ketiga-tiga amalan tersebut berhubung
kait dan saling melengkapkan.
Keengganan mengeluarkan zakat menjadi tanda
ketakwaan dan keimanan belum teguh untuk menghadapi ujian. Iman yang masih
lemah mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan yang sentiasa menggunakan
pelbagai helah untuk menyuruh manusia melakukan kejahatan.
Firman-Nya bermaksud: “Syaitan
menakut-nakutkan kamu, kalau-kalau kamu akan menjadi miskin dan menyuruh kamu
melakukan kejahatan.” (Surah al-Baqarah, ayat 268).
Harta yang ingin dikeluarkan zakat hendaklah
daripada hasil usaha yang dilakukan dengan secara halal. Harta yang dikumpulkan
secara haram tidak dikehendaki dikeluarkan zakat dan tidak halal digunakan
untuk tujuan lain.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 267
bermaksud: “Wahai orang yang beriman, keluarkan sebahagian (zakat dan sedekah)
daripada usaha kamu yang baik-baik dan dari hasil bumi apa yang Kami berikan
kepada kamu. Janganlah kamu pilih yang tidak baik untuk kamu sedekahkan, sedang
kamu sendiripun tidak mahu menerimanya, kecuali dengan memejamkan mata. Ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha
Terpuji.”
No comments:
Post a Comment