Berzakat merupakan cara untuk membersihkan
diri dan harta daripada unsur-unsur kotor. Kekotoran harta wujud apabila
diperoleh secara tidak sengaja melakukan perkara dilarang.
Berzakat juga membersihkan harta berdasarkan
hakikat bahawa harta yang wajib dikeluarkan zakat bukan lagi menjadi hak milik
pemiliknya. Harta tersebut sama ada dikeluarkan zakat atau tidak, sudah dikira
menjadi milik orang yang sepatutnya menerima zakat.
Zakat sebenarnya adalah hak yang dikembalikan
kepada yang berhak bagi memastikan kesamarataan dan keadilan ekonomi di dalam
masyarakat Islam. Harta zakat yang diagihkan dapat menggalakkan pertumbuhan
ekonomi asnaf keseluruhannya.
Jumlah yang tidak dikeluarkan zakat itu
dianggap sebagai kekotoran yang bercampur dengan harta-harta lain. Maka, untuk
membersihkan harta ialah dengan mengeluarkan jumlah yang sepatutnya dikeluarkan
zakat.
Harta tidak dikeluarkan zakat merupakan barah
yang akan merosakkan bahagian harta yang bersih. Harta yang tidak dikeluarkan
zakat akan merosakkan keseluruhan harta.
Kerosakan harta boleh berlaku dalam pelbagai
cara. Balasan langsung seperti diterima oleh Qarun adalah antara cara balasan. Perkara
ini sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian, tetapi tidak disedari
disebabkan merasakan berpunca daripada perkara lain.
Kejadian kebakaran, kemalangan, malapetaka
dan kecurian merupakan balasan secara langsung dikenakan kepada orang yang
ingkar.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Kekayaan, sama
ada di darat maupun di laut, tidak akan binasa, kecuali apabila zakatnya tidak
dikeluarkan.” (Hadis riwayat Tabrani).
Sebuah lagi hadis diriwayatkan oleh al-Bazzar
dan Baihaqi bermaksud: “Apabila harta zakat (yang sepatutnya dikeluarkan) bercampur
dengan kekayaan lain, maka kekayaan tersebut akan binasa.”
Berdasarkan kedua-dua hadis tersebut, cara
bagi menyelamatkan harta daripada sebarang perkara tidak diingini ialah
mengeluarkan zakat. Harta yang telah dikeluarkan zakat lebih diberkati dan
selamat.
Secara falsafahnya, zakat dapat menjadi unsur
pembersihan sumber pendapatan, kewangan, ekonomi dan harta lain secara zahir
maupun rohnya. Dengan itu kekayaan ummah dapat dirasai bersama secara zahir
maupun batin.
Mengeluarkan zakat juga akan menyuburkan
harta. Harta yang subur mempunyai keberkatan dan mendorong kepada penambahan
harta. Sesiapa membelanjakan harta mengikut jalan Allah memperoleh keuntungan
berganda-ganda yang tidak diduga olehnya.
Harta yang ingin dikeluarkan zakat hendaklah
daripada hasil usaha yang dilakukan dengan secara halal. Harta yang dikumpulkan
secara haram tidak dikehendaki dikeluarkan zakat dan tidak halal digunakan
untuk tujuan lain.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 267
bermaksud: “Wahai orang yang beriman, keluarkan sebahagian (zakat dan sedekah)
daripada usaha kamu yang baik-baik dan dari hasil bumi apa yang Kami berikan
kepada kamu. Janganlah kamu pilih yang tidak baik untuk kamu sedekahkan, sedang
kamu sendiripun tidak mahu menerimanya, kecuali dengan memejamkan mata. Ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha
Terpuji.”
No comments:
Post a Comment