Friday, 26 July 2019

SUMBER ZAKAT DIGUNA MEMBANGUNKAN EKONOMI


Kerajaan awal Islam di Madinah menggunakan wang zakat untuk membela rakyat Islam yang rata-rata dalam kedaifan. Ekonomi Madinah ketika itu banyak dikuasai bangsa Yahudi yang menguasi kira-kira 80 peratus aktiviti meliputi perniagaan, pertanian dan penternakan.

Institusi zakat adalah sumber untuk membangunkan umat Islam. Dalam sistem ekonomi seperti diamalkan di negara kita, zakat boleh digunakan khusus untuk orang Islam. Manakala pendapatan kerajaan melalui sumber lain digunakan untuk kepentingan semua rakyat.

Individu muslim mesti memahami kepentingan berzakat dari segi akidah dan kepentingan ummah. Institusi zakat adalah kaedah membina masyarakat yang teguh ekonomi, hidup sejahtera, makmur, harmoni, saling menyayangi dan selamat. 

Saidina Abu Bakar mengambil tindakan tegas memerangi mereka yang enggan berzakat selepas kewafatan Rasulullah. Abu Bakar berpendapat golongan ini hanya Islam pada nama, tetapi terpengaruh dengan golongan murtad. 

Oleh itu, setiap Muslim mesti peka kepentingan zakat. Sumber dari zakat menyumbang untuk kekuatan ekonomi umat Islam secara komprehensif. Pengurusan pungutan, pengagihan dan mentadbir sumber zakat secara profesional dapat meningkatkan kesan fungsi zakat.

Dalam negara penduduk majmuk, yang mana sumber pendapatan negara diperoleh daripada sumber yang turut melibatkan sumbangan penganut agama lain, orang Islam tidak boleh mengharapkan sumbangan kerajaan semata-mata. 

Institusi zakat yang diuruskan secara profesional mampu menjana dan membantu individu Islam yang layak mendapat peruntukan wang zakat. Selain disalurkan kepada golongan asnad, wang zakat dilaburkan dalam aktiviti ekonomi bagi mendapat pulangan keuntungan. 

Institusi zakat bukan sekadar menjadi pengantara menerima zakat daripada pembayar zakat dan kemudian menyerahkan kepada golongan asnad yang layak menerima zakat. Peranan institusi zakat turut bertanggungjawab menyelia khidmat nasihat meningkatkan pendapatan golongan fakir dan miskin. 

Golongan fakir dan miskin tidak wajar dibiarkan sebagai penerima semata-mata. Golongan fakir dan miskin berpotensi untuk meningkat pendapatan melalui bantuan kewangan, khidmat nasihat, latihan dan motivasi. Sekiranya ingin membantu seseorang secara berterusan, jangan berikan ikan, tetapi berikan pancing kepadanya. 

Mereka dibangunkan dan dimotivasikan agar berdikari untuk terus hidup dengan cara memanfaatkan wang agihan sebagai sumber modal. Mereka wajib pula berusaha dan berikhtiar untuk memajukan ekonomi mereka dengan menjana sumber daripada agihan zakat yang diperoleh. 

Golongan ini mampu berdikari dan meningkatkan ekonomi diri sehingga mampu merancang kewangan sendiri. Ramai yang berjaya keluar daripada asnaf zakat, dan mampu pula mengeluarkan zakat mereka sendiri.

Jelas sekali institusi zakat telah lama sedia wujud dan berjaya memainkan peranannya sebagai penggerak ekonomi dan kewangan Islam.  

No comments:

Post a Comment