Thursday, 25 July 2019

PERINTAH WAJIB ZAKAT


Zakat mengikut bahasa bermakna berkembang, tumbuh, bertambah, berkat, subur, bersih dan suci. Ini bermakna, zakat dapat membersihkan harta yang dimiliki, menjadikan ia lebih bersih dan suci. Zakat juga menjadikan harta lebih berkat dan memberi manfaatkan kepada pemiliknya.

Harta yang tidak dikeluarkan zakat akan dalam keadaan kotor akibat puncanya atau disebabkan tidak mengeluarkan kerana harta itu sudah dianggap menjadi milik mereka yang sepatut menerimanya.

Manakala mengikut istilah pula zakat membawa erti merujuk harta tertentu yang wajib dikeluarkan dalam kadar tertentu ditetapkan dan diagihkan pula kepada golongan tertentu.

Ini bermaksud harta zakat adalah diambil daripada sejumlah harta lain mengikut kadar yang telah ditetapkan setelah pemilik harta itu memenuhi syarat-syarat wajib zakat, iaitu Islam, merdeka, cukup nisab dan haul, diketahui pemiliknya dan pemilikan sempurna. Jumlah yang ditetapkan itu pula mesti diagihkan kepada golongan tertentu, iaitu yang dipanggil golongan asnaf.

Definisi mengikut syarak pula, berdasarkan Mazhab Shafie, zakat adalah suatu kadar tertentu diambil sebahagian jumlah harta tertentu, yang mana wajib diberi kepada golongan tertentu setelah cukup syarat ditetapkan.

Kadar tertentu ialah jumlah yang telah ditetap, contohnya harta dalam bentuk emas dan wang ringgit diambil pada kadar 2.5 peratus dan zakat tanaman ditentukan pada kadar berbeza mengikut cara bagaimana tanaman itu disiram.  Wajib dikeluarkan kepada golongan tertentu adalah gologan asnaf yang telah ditetapkan. Manakala cukup syarat ialah syarat-syarat wajib zakat.

Kewajipan zakat tidak dapat disangkal kerana terdapat dalil al-Quran dan al-Sunah. Dalil itu meletakkan ibadat zakat sebagai Rukun Islam. 

Dalil al-Quran. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkan zakat." - (Surah al-Baqarah, ayat 43). 

Maksud ayat itu adalah jelas dan tidak terselindung yang dapat difahami bahawa umat Islam diperintah untuk mengeluarkan zakat. Dapat difahami bahawa perintah wajib zakat dirangkaikan dalam ayat perintah wajib sembahyang. Jika sembahyang adalah wajib, maka zakat juga wajib berdasarkan kepada perintah perlaksanaannya terdapat dalam ayat yang sama.

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kamu kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat." - (Surah an-Nur, ayat 56).

Sekali lagi Allah meletakkan suruhan berzakat bersama dengan perintah sembahyang. Jadi tidak syak lagi bahawa pensyariatan zakat adalah jelas.  Sesiapa yang melaksanakan sembahayang, maka tidak ada alasan untuknya mengelak dari mengeluarkan zakat.

Satu lagi firman Allah yang menjelaskan pensyariatan zakat ialah dalam surah at-Taubat ayat 103 yang bermaksud:  "Ambillah zakat dari harta mereka yang berada bagi membersihkan diri dan harta mereka dan doakan mereka setelah menerimanya."

Perkataan 'ambillah' adalah satu perintah yang perlu dilaksanakan. Zakat itu adalah cara untuk membersihkan diri dan harta pemiliknya. Ia menepati definisi zakat seperti dijelaskan sebelum ini. 

Dalil berdasarkan hadis pula sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Islam diasaskan atas lima perkara, kesaksian bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad pesuruh-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan fardu haji dan berpuasa pada Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis itu dengan jelas merangkumkan kesemua Rukun Islam. Jelas sekali, mengucap dua kalimah syahadat, solat, zakat, puasa dan haji adalah Rukun Islam yang wajib dilaksanakan. Sesiapa menolak mana-mana satu maka tidak sempurna Islamnya, tidak terkecuali zakat. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Kekayaan, sama ada di darat maupun di laut, tidak akan binasa, kecuali apabila zakatnya tidak dikeluarkan.” – (Hadis riwayat Tabrani). 

Hadis itu biarpun tidak secara jelas mengenai kewajipan zakat, namun dapat difahami ia satu kewajipan berdasarkan maksud "kecuali apabila zakatnya tidak dikeluarkan' yang jelas menunjukkan bahawa ia adalah wajib untuk mengelak kebinasaan harta.

Satu lagi hadis yang menjelaskan pensyariatan zakat ialah yang diriwayatkan oleh al-Bazzar dan Baihaqi bermaksud: “Apabila harta zakat (yang sepatutnya dikeluarkan) bercampur dengan kekayaan lain, maka kekayaan tersebut akan binasa.”

Maksud hadis itu menjelaskan tentang harta yang tidak dikeluarkan zakat akan binasa. Maka, dapat difahami di sini bahawa zakat adalah diwajibkan untuk mengelak harta binasa disebabkan kemurkaan Allah. Sesungguhnya, Allah mendatangkan kemusnahan kepada sesiapa yang tidak melaksanakan perintah yang wajib terhadapnya. 

No comments:

Post a Comment