Antara kewajipan seorang muslim adalah
mengetahui hal perihal berkaitan Nabi SAW. Daripada setiap pergerakan,
percakapan, akhlak ketika Baginda hidup sehinggalah kewafatan Baginda SAW.
Ini kisah akhir detik kehidupan Nabi SAW seperti yang
diceritakan oleh Anas Bin Malik.
Kata beliau: ”Sesungguhnya Abu Bakar
mengetuai solat orang ramai ketika Nabi SAW sakit yang mana ia adalah kesakitan
yang menyebabkan Rasulullah SAW wafat. Sehingga tiba hari Isnin, orang ramai
pada ketika itu berada di dalam saf. Kemudian Rasulullah SAW menyingkap tirai
biliknya dan melihat kepada kami. Ketika itu, Baginda SAW sedang berdiri dan
wajah Baginda seakan-akan seperti kertas mushaf (iaitu ibarat yang menggambarkan bahawa
wajah Rasulullah SAW yang lawa, suci putih dan bercahaya).
Kemudian Baginda tersenyum. Anas berkata lagi:
"Maka kami pun terkejut dan berasa gembira apabila Rasulullah SAW keluar. Pada
ketika itu kami sedang dalam solat. Lalu Abu Bakar pun ke belakang sedikit
untuk menyambungkan saf yang ada. Abu Bakar berbuat demikian kerana beliau
menyangka Rasulullah SAW keluar untuk solat bersama.
Lantas Rasulullah SAW memberi isyarat kepada
orang ramai untuk menyempurnakan solat. Anas berkata lagi: Kemudian Rasulullah
SAW masuk semula ke rumahnya dan menurunkan tirainya. Rasulullah SAW wafat pada
hari tersebut.” (Riwayat Muslim no 874)
Menurut riwayat ini, Rasulullah SAW wafat
pada hari Isnin. Kemudian berlakulah satu perbincangan di kalangan para sahabat
berkenaan siapa yang bakal menggantikan Rasulullah SAW sebagai ketua yang akan
menguruskan urusan umat islam. Akhir perbincangan itu membawa satu resolusi
iaitu memilih Abu Bakar sebagai khalifah bagi umat islam.
Jenazah Rasulullah SAW mula untuk diuruskan pada
hari selasa. Ada beberapa orang para sahabat yang bertanggungjawab untuk
memandikan jenazah Rasulullah SAW.
Ini berdasarkan riwayat sirah yang dinyatakan
oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya:
Maksudnya: ”Kata Ibnu Ishak: ketika mana Abu
Bakar telah dibaiah, orang ramai mula untuk menguruskan jenazah Rasulullah SAW
pada hari selasa. Abdullah bin Abu Bakar,Husain bin Abdullah dan selain dari
keduanya menceritakan kepada aku Ali bin Abi Talib, Abbas Bin Abdul Muttalib,
Al-Fadhl Bin Abbas, Qutham Bin Abbas, Usamah Bin Zaid dan Syuqran Maula
Rasulullah adalah orang yang bertanggungjawab memandikan jenazah Nabi.
Aus Bin Khauli salah seorang daripada Bani
Auf Bin Khazraj berkata kepada Ali: Demi Allah wahai Ali, kami juga ada
bahagian untuk menguruskan Rasulullah SAW. Aus merupakan sahabat Rasulullah dan
juga di antara ahli Badar.
Kata Ali: masuklah.
Maka Aus pun masuk, duduk dan turut
memandikan Rasulullah SAW. Kemudian Ali menyandarkan jenazah Baginda ke dada
beliau. Abbas, al-Fadhl dan Qutham memusingkan tubuh Baginda manakala Usamah
Bin Zaid dan Syuqran kedua-duanya mencurahkan air. Pada masa yang sama Ali
memandikan jenazah Rasulullah SAW.
Beliau menyandarkan tubuh Baginda ke dadanya
dan pada tubuh Baginda ada qamis yang beliau gunakan untuk menggosok bahagian
belakang Baginda. Tangan beliau langsung tidak menyentuh tubuh Baginda. Lalu
Ali berkata : Demi ayah dan ibuku, engkau ketika hidup mulia dan ketika wafat
pun mulia. Dan tidak dilihat pada jenazah Rasulullah sesuatu (yang buruk) yang
ada pada jenazah orang lain.” (Rujuk Sirah Ibnu Hisyam 4/451)
Kesimpulannya, berdasarkan riwayat ini, ada 7
orang yang terlibat dalam memandikan jenazah Nabi SAW. Mereka itu ialah:
Ali Bin Abi Talib
Abbas Bin Abdul Muttalib
Al-Fadhl Bin Abbas
Qutham Bin Abbas
Usamah Bin Zaid
Syuqran Maula kepada Rasulullah
Aus Bin Khauli
No comments:
Post a Comment