Wednesday 7 April 2021

SENARAI BILIONAR MALAYSIA FORBES KE-35

Pengasas bersama Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan yang mempunyai nilai bersih AS$9.7 bilion (RM40 bilion) kini adalah bilionair paling kaya di Malaysia selepas Forbes menyenaraikan Robert Kuok sebagai warga Hong Kong.

Tempat kedua T Ananda Krishnan dan pengasas Public Bank Bhd, Tan Sri Teh Hong Piow di tangga ketiga.

Turut disenaraikan adalah bilionair sarung tangan iaitu Pengerusi Hartalega Holdings Bhd, Kuan Kam Hon dan keluarganya serta pengasas Top Glove Corp Bhd, Tan Sri Dr Lim Wee Chai.

Bilionair lain termasuk Pengerusi Genting, Tan Sri Lim Kok Thay dan hartawan Bumiputera, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Senarai bilionair Forbes ke-35 menamakan 2,755 individu, termasuk 493 pendatang baharu ketika dunia berhadapan cabaran ekonomi berikutan pandemik COVID-19.

Pengasas MR DIY Group (M) Bhd, Tan Yu Yeh dan adiknya, Tan Yu Wei adalah antara yang termasuk dalam senarai bilionair baharu Forbes pada tahun ini.

Nilai kekayaan bersih Yu Yeh dianggarkan kira-kira AS$1.8 bilion (RM7.4 bilion) manakala Yu Wei pula dianggarkan AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion).

Adik beradik itu menyertai Pengerusi Eksekutif Westports Holdings Bhd, Tan Sri G Gnanalingam dan pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Greatech Technology Bhd, Tan Eng Kee.

Senarai bilionair Forbes ke-35 menganggarkan nilai kekayaan bersih Gnanalingam kira-kira AS$1.7 bilion (RM7 bilion), manakala Eng Kee, yang mengasaskan syarikat pengeluar peralatan automasi kilang di Pulau Pinang mempunyai kekayaan bersih AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion).

No comments:

Post a Comment