Tuesday, 8 November 2016

Ingat mati motivasi diri

Ingat mati bukan untuk melemahkan semangat.  Sebaliknya, ingat mati memberi motivasi untuk lebih aktif dan kuat ibadat. Ini kerana kita sedar perlu membawa banyak bekalan pahala ke akhirat nanti. 

Generasi umat Islam yang paling aktif bekerja dan menggunakan masa dengan berkesan adalah para sahabat dan salaf soleh.

Mereka berjaya menakluk dunia, membangun tamadun dan mengembangkan dakwah Islam dalam masa yang sangat singkat. Semua itu kerana berpegang kepada pesanan Nabi SAW agar selalu mengingat kematian.

Rasulullah SAW bersabda: Perbanyakkanlah mengingat penghancur semua kelazatan, iaitu maut." (riwayat al-Tirmizi)

Mengingat kematian akan melahirkan sifat-sifat terpuji. Antaranya adalah sebagai berikut:

Ingat mati membuat kita lebih menghargai hidup. Kita akan merasa bersyukur setiap kali bangun di pagi hari kerana masih berpeluang untuk menambahkan akaun pahala kita. Kita juga bersyukur masih diberikan kesempatan untuk meminta ampun atas dosa-dosa dan kesalahan kita.

Besarnya nikmat kehidupan hanya benar-benar terasa apabila malaikat maut datang menjemput. Pada saat itu, kita akan berharap untuk kembali ke dunia supaya melakukan amalan yang selama ini tidak pernah kita lakukan. Namun permintaan itu tidak akan dilayan apalagi dituruti.

Abu Hazim Salah bin Dinar berkata: "Barang-barang akhirat pada saat ini sedang murah. Pada suatu hari nanti, barang-barang ini akan menjadi sangat mahal dan tidak mampu dibeli."

Daripada Abu Hurairah: Suatu hari Rasulullah SAW sedang berlalu di atas sebuah kubur (mayat) yang baru dipendam. Baginda lalu bersabda: “Dua rakaat singkat yang kalian anggap ringan, lebih ia sukai oleh ahli kubur ini daripada dunia dan seisinya." (Ibnu Al-Mubarak dalam kitab Al-Zuhd)

Ingat mati mendorong kita untuk merancang kehidupan dengan lebih baik. Kita menjadi lebih pandai untuk mempraktikkan asas keutamaan dalam hidup dan lebih pandai menundukkan hawa nafsu. Cara hidup yang kita jalani menjadi lebih efektif kerana berasaskan, Begin with end in mind.

Rasulullah SAW bersabda: Orang yang pandai adalah dia yang selalu mengawal nafsunya dan bekerja untuk kehidupan setelah mati." (al-Tirmizi)

Ingat mati akan membuat hati kita hidup. Kita semakin bijak dalam menimbang dan mentafsirkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di muka bumi ini secara positif. Minda kita terbuka kepada perkara-perkara yang lebih penting dalam hidup, lalu berusaha untuk meraihnya.

Ramai orang yang tertipu oleh syaitan dan dunia. Mereka beranggapan wang dan jawatan lebih penting daripada segalanya, bahkan daripada iman dan Islamnya. Apabila maut menghampiri nanti, kedua-duanya tidak akan berguna sama sekali.

Sebaliknya, amal ibadah dan kerja-kerja kemanusiaan yang selama ini diremehkan suatu hari nanti akan menjadi sesuatu yang sangat berharga.

Rasulullah SAW bersabda: Tiga perkara yang akan mengiringi jenazah ke kubur; hartanya, keluarganya dan amalnya. Harta dan keluarganya akan meninggalkannya dan yang tinggal hanyalah amalannya. (riwayat al-Bukhari)

Sungguh beruntung orang yang selalu ingat kematian dan beramal agar mendapat kehidupan yang lebih baik di akhirat nanti. 

No comments:

Post a Comment