Wednesday, 30 November 2016

Menderma darah perlu untuk selamat nyawa

Pusat Darah Negara dan tabung darah di hospital di seluruh negara sering berdepan kekurangan stok darah. Bakalan darah tidak mencukupi memandangkan bilangan penderma darah tidak selari dengan keperluan semasa. Sebab itu mengapa amat perlu ada kempen kesedaran menderma darah. 

Satu unit darah yang dikeluarkan dari badan penderma dapat menyelamatkan nyawa penerimanya seperti mangsa demam denggi, mangsa kemalangan yang banyak kehilangan darah, ibu-ibu yang mengalami tumpahan darah selepas bersalin, bayi yang memerlukan pertukaran darah, pesakit talasemia, pesakit anemia, mangsa kebakaran, pesakit leukemia dan pesakit haemifilia.

Darah adalah cecair berwarna merah mengalir di dalam tubuh manusia dan binatang. Ia ‘kuasa’ menggerakkan aktiviti badan seperti petrol menghidupkan mesin. Setakat ini belum ada unsur lain dapat menggantikan fungsi darah. Dipercayai tidak akan ada ciptaan manusia dapat menggantikannya.  

Percubaan menggunakan darah binatang tidak pernah berjaya. Seorang pakar bedah cuba menggunakan darah binatang menggantikan darah manusia dituduh sebagai pembunuh setelah pesakitnya meninggal dunia akibat pemindahan darah itu. 

Bahkan, darah manusia tidak boleh dimasukkan ke dalam badan orang lain jika tidak mengikut jenisnya. Manusia mempunyai empat kumpulan darah iaitu O, A, B dan AB.  

Kumpulan darah O boleh menerima darah dari kumpulan darah O sahaja. Bagaimanapun darah itu boleh didermakan kepada semua penerima. Kumpulan darah AB hanya boleh didermakan kepada individu kumpulan darah yang sama, tetapi boleh menerima semua kumpulan darah. Begitulah uniknya darah.    

Di dalam badan manusia mengandungi sembilan hingga 10 pain darah. Individu mengalami kekurangan darah melebihi tiga pain akan menghadapi masalah perjalanan fungsi organ badan yang boleh membawa maut. Satu-satunya cara menyelamatkan mangsa melalui proses pemindahan darah. 


Proses menderma darah amat ringkas. Tidak mengambil masa yang lama. Tidak ada rasa sakit ‘melampau’ atau kesan sampingan. Penderma darah dapat meneruskan tugas seharian sebaik selepas menderma kecuali mereka yang melakukan tugas menggunakan banyak tenaga.

Pusat atau unit menderma darah sentiasa mengalu-alukan penderma darah. Jangan takut menjadi penderma. Itu satu bakti besar kepada yang memerlukan. Anda wira menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan pemindahan darah.

No comments:

Post a Comment