Membaca dan menulis mempunyai hubungan amat
rapat. Kita dapat membaca jika ada apa
yang ditulis. Manakala orang akan terus
menulis jika ada orang ingin membacanya.
Hasil penulisan melahirkan buku, akhbar, majalah
dan terkini dalam bentuk maya seperti blog, laman sesawang dan sebagainya. Semua itu menjurus kepada merealiasikan konsep
‘iqra’ dalam kehidupan.
Penulisan satu kaedah manusia untuk merakam,
mendokumentasi dan memberi maklumat kepada manusia.
Kita banyak mendapat maklumat mengenai masyarakat
dulu melalui tinggalan penulisan di dinding gua, kawasan perkuburan, binaan,
tembikar dan batu. Apabila kertas mula
dicipta, penulisan menjadi lebih mudah dan lebih banyak rakaman sejarah dapat
disimpan.
Ann Quindlen, seorang pengarang terkenal Amerika
Syarikat dalam bukunya How Reading Changing My-Life (1998) menulis: “Saya percaya membaca pelbagai karya orang
luar akan mengajar kita untuk mengetahui, menghayati dan mentafsir pengalaman
orang lain dan hal ini menjadikan saya menemui mutiara-mutiara baru dalam
kehidupan saya”.
Sememangnya membaca dapat membawa seseorang
kepada dunia kehidupan lebih luas. Kita dapat menyelami ungkapan dialog, kekayaan imaginasi, luapan emosi
dan gelora kreativiti yang digarapkan penulis.
Kita dapat berkongsi maklumat dan pengalaman dalam
masa singkat, biarpun sebenarnya himpunan maklumat dalam buku itu mengisahkan tempoh masa yang panjang atau masa untuk menulisnya agak lama.
Itulah kehebatan membaca.
Ini bermakana mudahnya untuk kita mendapat sesuatu
melalui pembacaan, sedangkan pengarang buku itu telah berkorban masa, tenaga
dan wang untuk menyiapkan buku itu.
Bahkan, kita dapat membaca kisah sukar ketika
peperangan atau keadaan tidak selamat yang mana penulis sendiri berdepan
suasana antara hidup dan mati.
Dengan kata lain, menerusi buku dan pembacaan
manusia dalam mengalami sesuatu peristiwa dan pengalaman tanpa perlu melalui
situasi sebenar. Jika ia berkaitan ilmu
atau penemuan baru, pembaca mendapat 'barang siap' tanpa perlu melakukan
ujikaji mengenai sesuatu perkara dengan hanya membaca.
Ilmu pengetahuan amat penting dalam kehidupan
manusia terutamanya ketika semua pihak sedang bersaing untuk mencari ilmu yang
berkualiti bagi pembangunan dan kemajuan sesuatu bangsa.
Masyarakat membaca mencapai kejayaan dalam apa
juga bidang diterokoi. Ilmu yang
diperoleh melalui pembacaan membolehkan mereka mengaplikasikan untuk kejayaan.
Bagi mereka yang masih di bangku sekolah atau
pusat pengajian tinggi, bersemuka dengan guru dan pensyarah adalah kaedah untuk
menuntut ilmu.
Namun, bagi orang ramai, peluang terbuka luas
untuk menuntut ilmu ialah melalui pembacaan.
Sesiapa yang membaca bermakna secara berteruskan berada dalam proses
menuntut ilmu.
No comments:
Post a Comment