Monday, 19 December 2016

Cara kawal nafsu makan

Sikap ingin terhadap makanan dan minuman ikut nafsu, satu sifat tercela. Sikap boros mengikut perangai syaitan. Rasulullah bersabda bermaksud: “Antara sifat boros itu adalah makan apa yang teringin oleh selera.” - (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Sebenarnya tiada sebab mengapa perlu menyediakan makanan bermacam-macam jenis. Sesiapa yang terdorong kepada makanan dan minuman secara lahap, dia tidak memahami erti takwa. Tidak patuh kepada apa diperintakan Allah. 

Ajaran Islam amat menekankan sifat bersederhana dan tidak gelojoh terhadap makanan. Firman Allah bermaksud: “Makanlah dan minumlah tetapi janganlah berlebih-lebihan.” - (Surah al-Araf, ayat 31).

Sifat bersederhana membawa lebih keberkatan dan kebaikan yang berterusan. Ia dapat mengelak daripada pembaziran apabila makanan tidak habis dimakan. Perut kita tidak mungkin dapat menerima jumlah makanan yang banyak melebihi apa sepatutnya.

Makan dan minum berlebih-lebihan banyak keburukannya. Kesan langsung akibat terlalu kenyang ialah rasa letih, ingin tidur, fikiran lemah dan malas. 

Imam Syafie yang terkenal bijak dan warak pernah berkata: “Aku tidak pernah makan kenyang sejak berusia 16 tahun kerana kekenyangan akan menambah berat badan, mengeraskan hati, menumpulkan otak, menyebabkan mengantuk dan malas beribadat.”

Manakala Syaidina Umar pula berkata: “Jauhi makan berlebihan. Sesungguhnya ia penyebab diri mewarisi penyakit, menyebabkan malas bersembahyang dan hendaklah kamu menjaga makan, kerana ia paling baik untuk jasad, dan hindarkan daripada berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah bencikan orang alim yang gemuk.”

Kajian perubatan mendapati cara makan yang tidak baik, terutamanya makan terlalu banyak dan gelojoh adalah punca masalah kesihatan. Banyak penyakit ‘moden’ dihidapi disebabkan tidak mematuhi tata cara makan yang betul.

Untuk mengelak daripada makan dan minum terlalu banyak ketika berbuka dan mengelak daripada pembaziran, buatlah perancangan anggaran keperluan makanan yang sepatutnya bagi setiap ahli keluarga. 

Ketika membeli juadah, tekadkan niat agar tidak terdorong perasaan tamak dan gelojoh. Elak diri daripada membeli di gerai yang menjual terlalu banyak jenis makanan. Selesai membeli apa yang perlu, cepat-cepat tinggalkan kawasan bagi mengelak terpengaruh membeli yang lain.

Suri rumah yang menyediakan makanan di rumah, sudah memadai menyediakan satu atau dua menu berlainan. Jika terasa ingin memakan pelbagai jenis makanan, sediakan ia pada hari-hari lain. Ia lebih menjimatkan, senang dan mendatangkan kepuasan.

No comments:

Post a Comment