Friday, 20 January 2017

Hukum kaedah al-Mursalih al-Mursalah

Istilah al-masalih al-mursalah didefinisikan oleh para ulama sebagai kepentingan yang tiada keterangan nas secara langsung sama ada memperakui atau menolaknya.  

Dengan kata lain, pemimpin perlu melakukan satu keputusan untuk menyelesaikan keperluan rakyat sama ada untuk mendapat kebaikan atau mengelak daripada berlaku perkara buruk.

Mengikut kaedah fiqah, tindakan pemimpin atau kerajaan tertakluk kepada masalah rakyat. Kaedah inilah menjadi asas kepada penggunaan al-maslih dan al-mursalah. Memang diakui bahawa hal-hal yang diputuskan berdasarkan kaedah ini tidak terdapat di dalam al-Quran dan al-hadis. 

Namun, bagi kebanyakan ulama berpendapat bahawa mengutamakan kepentingan masyarakat merupakan satu keperluan yang boleh dijadikan dalil hukum. Namun, hukum itu terbatal jika sekiranya telah ada sesuatu hukum yang jelas telah ditetapkan atau telah nyata perbuatan itu diharamkan.

Berdasarkan kaedah fikah, apabila tidak terdapat dalil dari nas, ijmak, kias atau istihsan untuk menyelesaikan sesuatu isu kepentingan rakyat, maka kepentingan umum boleh dijadikan pegangan hukum.  

Dalam hal ini, penentuan hukum sama ada bertujuan untuk mendapatkan kebaikan atau menghalang sesuatu kemudaratan berlaku atau kedua-duanya sekali adalah untuk kepentingan hidup manusia di dunia dan akhirat.
           
Kaedah ini digunakan pakai sepanjang masa kerana keperluannya sentiasa berubah-ubah dan mengikut keadaan semasa. Sesungguhnya kaedah ini bukan perkara baru, tetapi telah berlaku pada zaman Khalifah Rasyidin lagi. 

Contohnya apa yang dilakukan oleh Uthman Ibn Affan yang telah mengeluarkan fatwa mengenakan zakat terhadap ternakan kuda. Perkara ini bertentangan dengan apa yang diamalkan pada zaman Rasulullah SAW. 

Hujah yang dikemukakan oleh Uthman dalam mengenakan zakat terhadap kuda ialah kerana pada zamannya jumlah kuda telah banyak sehingga dijadikan barang dangangan, berbanding pada zaman Rasulullah SAW yang ketika itu amat diperlukan untuk tujuan digunakan semasa peperangan.

Tindakan Uthman itu dikira termasuk di dalam al-masalih al-mursalah kerana ia tidak bersumberkan kepada mana-mana nas yang khusus. Perlu dijelaskan bahawa zakat kuda tidak disebutkan dalam mana-mana nas.

Hal yang sama sebenarnya menjadi asas kepada kerajaan mengadakan perlbagai peraturan, undang-undang atau hukum yang berkaitan kepada kepentingan umum seperti mengadakan penjara, pusat pemulihan dadah, peraturan lalulintas, soal kewarganegaraan, berkaitan muamalat, keselamatan negara dan macam-macam perkara lain yang pada dasarnya tidak wujud atau diamalkan pada zaman Rasulullah SAW dan tidak juga dinyatakan dalam mana-mana nas, termasuk al-Quran.

Sebenarnya kaedah persoalan maslahah tidak digunakan secara terburu-buru atau ikut suka hati. Dalam hal ini, ulama telah membahagikan maslahah kepada beberapa jenis;

Jenis maslahah

Pertamanya berdasarkan kepada kekuatan maslahah yang dibahagikan kepada daruriyyah, hajiyyah dan tahsiniyyah. 

Darusiyyah

Dalam permasalahan darudiyyah yang berkaitan keperluan asasi manusia, di mana tanpa memenuhinya kehidupan manusia akan berdepan masalah besar. Perkara ini merujuk kepada keperluan memelihara lima perkara asas iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.
           
Justeru, perkara ini penting diberi perhatian seperti bagaimana kerajaan menetapkan dasar Dasar Makanan Negara yang mengkhususkan kepada usaha-usaha untuk memastikan bekalan makanan mencukupi untuk keperluan rakyat.  

Keperluan ini termasuk berkaitan larangan menyorok bekalan makanan, kawalan harga, larangan ekspot dan perkara lain yang telah ditetapkan oleh kerajaan untuk memenuhi keperluan makanan yang menjadi keperluan asas manusia.      

Peraturan ditetapkan oleh kerajaan berkaitan penetapan harga amat penting terutama pada musim perayaan. Ada pihak tidak bertanggungjawab mengenakan harga tinggi untuk mengaut keuntungan besar.  

Jika perkara ini tidak dikawal, ia bukan saja menyebabkan harga tinggi, tetapi juga menimbulkan keresahan di kalangan rakyat apabila keperluan mereka tidak dapat dipenuhi. Maka itu, seluruh rakyat perlu membantu kerajaan untuk menjayakan kawalan harga ini.

Hajiyyah

Manakala di peringkat hajiyyah pula merujuk kepada sesuatu yang dianggap sebagai satu keperluan bagi mengelak kerumitan serta kesusahan dari kehidupan. Kesan jika tidak memenuhi keperluan ini tidak seburuk akibat tidak memenuhi keperluan daruriyah. Namun, ia masih dianggap satu perkara yang perlu diberi perhatian untuk mengelak masalah. 

Antara contoh pensyariatan hukum-hukum rukhsah dalam keperluan ini ialah keperluan mengadakan perkhidmatan perbankkan yang menyediakan kemudahan penyimpanan dan pembiayaan, kewujudakan Tabung Haji, mengadakan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN), melaksanakan Akta Fitnah dan sebagainya.  

Hal-hal ini bersangkutan dalam pelbagai aspek keperluan hidup manusia merangkumi ibadat, adat, muamalat dan jenayah. 

Perkara yang diadakan oleh kerajaan Malaysia itu ternyata tidak terdapat atau diamalkan pada zaman Rasulullah SAW, namun atas konsep maslahah ia diwujudkan.  

Kerajaan mengadakan atau melaksanakan keperluan untuk mengelak masalah berlaku menimpa masyarakat. Umpamanya, andaikan jika perkhidmatan bank tidak diwujudkan.  


Bagaimana orang ramai hendak menyimpan wang? Jika disimpan di rumah, mudah dicuri atau kehilangan. Selain itu, tanpa perkhidmatan bank sukar untuk individu mendapatkan sumber pembiayaan khususnya untuk membeli barang mahal seperti rumah, kereta dan keperluan lain.

Tahsiniyyah

Tahap ketiga keperluan berasaskan kekuatan maslahah ialah tahsiniyyah iaitu maslahah yang diperlukan untuk keselesaan hidup. Maslahah ini berkaitan dengan kemuliaan akhlak dan kesempurnaan adab dalam kehidupan manusia. Jika perkara ini tidak dipenuhi, ia tidak akan mencacatkan atau menyusahkan manusia. 

Maslahah ini sekadar untuk memberi atau mewujudkan keselesaan hidup manusia. Sepertimana keperluan lain ia juga bersangkutan dengan ibadat, adat, muamalat dan jenayah seperti syariat bersuci, menjauhi pembaziran, bersedekah dan sebagainya.

Dalam aspek kenegaraan yang diamalkan di Malaysia pada hari ini ialah seperti mengadakan undang-undang berkaitan Akta Perhimpunan Aman yang bertujuan bagi mengawal sesuatu perhimpunan agar berlangsung dengan teratur, aman dan tidak mendatangkan mudarat.  

Melalui akta itu juga memudahkan urusan pihak keselamatan dan pihak berkuasa tempatan menyediakan sesuatu yang diperlukan untuk memastikan ia berjalan lancar. Jelas sekali akta itu memberi kemudahan dan keperluan untuk keselesaan masyarakat.

Berdasarkan Pengiktirafan Syarak

Berdasarkan aspek ini, para ulama telah membahagikan maslahah kepada tiga bahagian iaitu:

Maslahah Yang Diterima (Mu’tabarah)

Maslahah ini adalah maslahah yang diakui syarak berdasarkan nas yang qati seperti al-Quran, al-Sunah, ijmak an qias. Contohnya berkaitan untuk memelihara matlamat syarak iaitu agama, jiwa, akal, harta dan keturunan.  

Dalam hal ini tindakan yang berkaitan dengannya diterima tanpa dibahaskan. Dalam hal ini contoh apa yang dijalankan di negara kita ialah undang-undang yang berkaitan dengan Akta Dadah Berbahaya, kawalan terhadap meminum arak dan aktiviti merokok.

Maslahah Yang Ditolak (Mulghah)

Maslahah ini tidak diterima oleh syarak sebagai maslahah sekalipun dianggap sebagai keperluan atau kehendak yang diminati oleh sesetengah pihak. Perkara ini disebabkan perkara itu telah ditolak atau ada secara jelas dinyatakan oleh syarak. 

Contoh dalam hal ini ialah berkaitan kahwin kotrak atau mutaah. Biarpun perkahwinan secara ini pernah diamalkan atau diterima dalam Islam, tetapi telah terdapat nas jelas yang menghalang amalan itu diteruskan.  

Jadi, biarpun terdapat keperluan manusia atau golongan tertentu terhadap kahwin mutaah, maka perkara itu tidak boleh dibenarkan oleh syarak. 


Di negara kita, tidak terdapat Majlis Agama atau pihak berkuasa agama yang membenarkan umat Islam di Malaysia berkahwin mutaah, selari dengan kehendak syarak. Sesiapa yang melakukan kahwin mutaah di Malaysia boleh dituduhkan sebagai melakukan zina kerana perkahwinan mereka itu tidak sah.

Maslahah Yang Tidak Diterima atau Tidak Ditolak.

Masalah yang tidak diterima atau tidak ditolak adalah maslahah tidak dijelaskan mengenainya oleh nas sama menerima atau menolaknya. 

Hal inilah yang sebenarnya menjadi sebahagian dasar atau undang-undang yang diamalkan di negara kita. Apa yang penting amalan atau peraturan itu bertujuan untuk kebaikan atau menghalang kepada perkara buruk.  

Contoh dalam penguatkuasaan memastikan bahawa setiap kenderaan bermotor mesti daftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan yang bertujuan untuk keselamatan, pengurusan dan mengelak salahguna. 

No comments:

Post a Comment