Kelebihan
malam Nisfu Syaaban atau Pertengahan Syaaban. Sebenarnya, tidak terdapat hadis
sahih tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Syaaban dan amalan berkaitan seperti
sembahyang sunat khas atau doa tertentu. Semua hadis didakwa daripada
Rasulullah SAW mengenai menghidupkan malam Nisfu Syaaban adalah lemah dan
palsu.
Hadis
yang diriwayatkan daripada Ali: “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, maka
bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah
kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah SAW akan turun ke langit dunia
pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: Adakah sesiapa
yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon
rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang
sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang
meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu
dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar.”
Hadis
ini adalah maudhu, diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syuab
al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami' dan Silsilah al-Dhaifah oleh al-Albani, Dhaif
Ibn Majah.
Diriwayatkan
daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca seribu kali
surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Syaaban, ia tidak keluar
dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus
malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh
lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada
melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya.”
Hadis
ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu. (Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu'at, Dar
al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula meriwayatkan hadis ini
daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa
Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama
seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun terkenal
sebagai pembuat hadis.
Diriwayatkan
daripada Jafar bin Muhammad daripada ayahnya berkata: `'Sesiapa yang membaca
pada malam Nisfu Syaaban seribu kali surah al-Ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka
ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat; tiga
puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya
dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya daripada berbuat salah dan sepuluh
akan menulis mengenai musuh-musuhnya.'' Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini
dengan maudhu.
Kebanyakan
hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan
sebagainya adalah tidak sahih. Justeru, tidak ada amalan-amalan atau ibadah
khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Syaaban seperti solat
tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti
surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau
sebagainya. Jika amalan ini thabit, pasti Rasulullah SAW akan mengajarkannya
kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.
Al-Hafiz
al-Iraqi berkata: "Hadis tentang solat pada malam Nisfu Syaaban adalah maudhu,
direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah SAW.'' Hal ini juga disebut oleh
al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya, al-Majmu: ``Solat yang dikenali sebagai
solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan Isyak
pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Syaaban
sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bidaah (ditokok tambah
dalam agama).''' (Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min
al-Bida', cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).
Syiekh
Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata: "Dan di antara perkara-perkara
ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Syaaban dan
berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang
mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini
adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut
tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu seperti yang telah
dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu.'' (Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz,
al-Tahzir min al-Bida', hal. 11).
Para
ulama muktabar lain seperti Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi,
al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan wujudnya amalan ibadah
yang khas pada malam Nisfu Syaaban ini.
Namun,
ini bukanlah bererti malam tersebut tidak mempunyai kelebihannya, bahkan
terdapat hadis-hadis thabit yang menyebut akan fadilat dan kelebihannya, tetapi
tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan. Maka sebarang
ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan
mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak
juga dilakukan secara berjemaah.
Hal ini
telah disebut al-Imam al-Suyuti: "'Dan pada malam Nisfu Syaaban itu padanya
kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi
hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah." (Rujuk:
al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba' wa al-nahyu an al-ibtida' (Beirut: Dar
al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)
Berhubung
dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Syaaban, tidak terdapat hadis sahih
yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah hadis yang lemah.
Tetapi
jika berpuasa berdasarkan amalan Nabi SAW yang memperbanyakkan puasanya pada
bulan ini dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Syaaban, maka ia amalan yang baik
dan digalakkan. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu Syaaban sahaja
dengan menganggap ia adalah sunah, maka inilah yang dilarang.
Terdapat
juga pendapat yang mengatakan bahawa segala amalan manusia akan diangkat pada
malam Nisfu Syaaban. Justeru, kebanyakan umat Islam akan menghidupkan malam ini
dengan membaca surah-surah tertentu dengan niat supaya dipanjangkan umur,
dimurahkan rezeki dan ditetapkan iman. Pendapat ini adalah tidak tepat dan
tidak terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskannya.
Menurut
Dr Yusof al-Qardhawi: `'Di dalam kaedah syarak, tidak dibolehkan untuk menentukan
sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk
dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada nas syarak kerana
sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak
menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata)).(Rujuk: al-Qaradhawi,
Fatawa al-Muasarah, 2/343)
Ketahuilah
sesungguhnya segala perkara yang melibatkan soal pahala, keberkatan, fadilat
dan kelebihan adalah hak milik kekal Allah SWT. Tidak ada seorang makhluk pun
yang boleh mendakwa dan menjanjikan sebarang fadilat atau keberkatan tertentu
dengan mereka-cipta amalan-amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah
SAW dan para sahabat.
Cukup sekadar membaca 3 kali surah yasin sahaja dahulu
ReplyDelete