Penamatan kerja terhadap pekerja oleh majikan berlaku
setiap masa. Perkara ini disebabkan penamatan operasi, pengurangan pekerja
dan sebab-sebab lain.
Pekerja ditamatkan kerja dengan dua
kaedah. Pertamanya ialah melalui 'penamatan' kerja yang berlaku
berdasarkan kepada peruntukan perjanjian antara majikan dan
pekerja. Menurut undang-undang, 'penamatan' kerja adalah merujuk kepada
penamatkan kepada kontrak berkerja.
Pekerja dan majikan mengikat kontrak di mana
majikan menawarkan pekerjaan atau tugas kepada pekerja dengan balasan upah atau
gaji. Kontrak itu berjalan selama masa dipersetujui dan terma-terma lain yang
ditetapkan.
Penamatan itu berlaku sama ada pihak-pihak
terbabit memberi notis atau sebaliknya. Alasan biasa penamatan itu ialah tempoh
kontrak telah berakhir atau perkara lain yang membawa kepada penamatan
itu.
Cara kedua ditamatkan kerja ialah melalui
pemecatan. Kaedah ini merujuk kepada penamatan kerja oleh majikan tanpa
sebarang notis dan puncanya berdasarkan kepada tidak mematuhi atau pelanggaran
perjanjian perkhidmatan.
Terma ini dijelaskan dalam kes Chin Thoong Sam
dan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd (Award 52/1997) ... "pemecatan ialah
akibat tidak mematuhi terma-terma perkhidmatan, sama ada yang dinyatakan secara
nyata atau tersirat.
Maka, itu kita dapat mendifiniskan pemecatan
ialah kehilangan kerja disebabkan kesilapan atau perbuatan salah yang dilakukan
oleh pekerja sendiri. Pemecatan bertujuan untuk mengelak majikan
menanggung kerugian atau kesusahan akibat tindakan pekerja.
Banyak kes, kesalahan pekerja yang serius
menyebabkan majikan terpaksa menaggung kerugian besar hingga tidak mampu
meneruskan operasi. Ia memberi kesan kepada banyak pekerja lain. Maka
langkah pencegahan terbaik ialah memecat pekerja berkenaan.
Bagaimanapun, sebelum sesuatu tindakan pemecatan
dibuat, dicadangkan agar dibuat lembaga penyiasatan untuk mencari keadilan agr
tindakan itu tidak satu penganiayaan terhadap pekerja.
Bagaimanapun, penubuhan lembaga penyiasatan
bukan pekara wajib. Ia adalah satu pilihan bagi mengelak perkara
berbangkit kemudian. Ini kerana pekerja yang dibuang kerja boleh membawa kes
itu ke mahkamah.
Jika didapati pekerja itu dibuang oleh majikan
tanpa kewajaran atau sebab yang benar, pekerja berhak untuk mendapat hak
diambil bekerja semula atau diberi pampasan yang sewajar.
Untuk mengelak perkara ini terjadi, maka elok
penyiasatan dilakukan untuk memastikan kewajaran pekerja ditamatkan perkerjaan
atau sebaliknya.
Pekerja wajar mempertahankan hak dalam
pekerjaan. Pekerja telah memberi khidmat yang membawa kepada kejayaan atau
keuntungan syarikat. Jadi, tidak patut khidmat ditamatkan tanpa alasan yang wajar.
Jangan jadi seperti peribahasa, habis madu sepah dibuang.
Namun, dalam kebanyakan kes, kontrak pekerjaan
tidak disediakan secara bertulis. Tidak ada hitam putih dalam segi ikatan
antara majikan dan pekerja. Perkara ini berlaku dalam kes kerja atau tugasan
kecil yang melibatkan bilangan kerja yang sedikit. Dalam kes seumpama ini,
pekerja sukar untuk menuntut hak mereka berkaitan pemecatan atau penamatan
kerja.
No comments:
Post a Comment