Sunday, 15 January 2017

Bentuk najis tanda penyakit

Tahukah anda, bentuk, rupa, warna dan struktur najis boleh menjadi tanda untuk mengetahui tahap kesihatan. Jangan pandang mudah mengenai tanda-tanda itu untuk memantau tahap kesihatan diri sendiri. Dengan melihat najis, anda dapat mengetahui tentang kesihatan anda sebagai panduan sebelum bertemu doktor. 

N
ajis mempunyai kaitan rapat dengan kolon atau usus yang berperanan menghadam makanan dan menyerap zat. Fungsi sebenar kolon adalah mencuci dan menghapuskan sisa penghadaman daripada badan.  

Sebaliknya, kolon bertukar menjadi bakul sampah menyimpan unsur tidak diperlukan badan disebabkan sikap kita.
Fakta dari Kolej Perubatan England mendapati 90 peratus pelbagai penyakit berkaitan dengan kolon tidak bersih. Statistik juga mendapati kira-kira 500,000 kematian setahun di seluruh dunia disebabkan kanser kolon.

Berikut adalah penilaian tentang najis kita:

Keras dan kering.

Masa yang diambil oleh makanan untuk melalui sistem usus dan akhirnya keluar daripada dubur, memberi kesan kepada keadaan najis kita. Perjalanan makanan di usus hingga ia keluar memakan masa purata 40 hingga 45 jam. Jika ia berada di usus lebih lama daripada itu, cecairnya akan diserap semula ke tubuh.

Beberapa jenis ubat seperti ubat darah tinggi dan ubat untuk merawat murung, boleh melambatkan perjalanan makanan di usus. Sembelit yang bersebab daripada beberapa punca, juga boleh menyebabkan najis menjadi keras dan kering.

Bagi sesetengah orang, memakan makanan yang kaya kandungan tenusu (makanan diperbuat daripada susu), boleh menyebabkan sembelit. Badan yang kering juga boleh menyebabkan sembelit kerana jika kita kurang minum, badan akan menyerap apa saja baki air dalam tubuh.

Berketul-ketul kecil. 

Najis yang ideal harus kelihatan seperti torpedo. Ia harus besar, lembut dan mudah keluar. Tetapi, jika ia kurang ideal, ia boleh kelihatan seperti peluru kecil. Sekali lagi keadaan ini boleh disebabkan oleh masa lama yang diambil oleh makanan untuk melalui usus hingga najis kehilangan air, menjadikannya keras.

Kurang memakan serat juga boleh dipersalahkan kerana serat seperti sayur dan buah-buahan, boleh menampung air.

Cair berair. 

Ingatlah, tubuh kita mengeluarkan kira-kira lapan liter air dalam sehari daripada perut, kelenjar air liur dan pankreas untuk membantu pencernaan makanan dan melancarkan perjalanannya dalam sistem penghadaman.

Dalam keadaan normal dan sihat, kebanyakan cecair kita diserap sepanjang jalannya hingga menghasilkan najis yang lembut. Tetapi, jika perjalanan makanan itu terlalu pantas, tiada masa bagi cecair untuk diserap secukupnya, menyebabkan najis menjadi terlalu lembik dan cair.

Punca-punca keadaan ini ialah terlalu banyak serat dalam diet atau jangkitan bakteria atau virus. Apabila berlaku jangkitan, badan kita mengeluarkan toksin yang menyebabkan air dilepaskan daripada tubuh.  

Halus macam pensil.  

Secara khusus, najis yang halus boleh merupakan petanda barah atau polip iaitu tumbuhan dalam usus. Apabila terjadi tumbuhan di usus yang menyebabkan hadangan, maka benda yang ingin melaluinya pasti mengecut menjadi halus. Jika ini berterusan, anda harus berjumpa doktor.  

Pucat atau kelabu.  

Najis yang normal boleh mempunyai pelbagai warna yang dipengaruhi oleh makanan atau ubat, selain faktor-faktor lain. Tetapi, jika najis anda berwarna agak pelik seperti terlalu pucat atau kelabu, maka mungkin ada yang tidak kena di usus anda.

Organ hati kita mengeluarkan hempedu untuk mencerna lemak-lemak dalam makanan kita dan hempedu juga memberi warna kepada najis. 

Namun, jika terdapat hadangan di organ hati itu atau di tiub tempat hempedu itu dikeluarkan, maka najis boleh mempunyai warna yang terlalu pucat.

Anda juga boleh mempunyai najis yang kelabu jika mengalami masalah pankreas yang mengeluarkan enzaim penghadaman yang memberi warna kepada najis.

Merah terang.

Usah panik jika melihat najis anda merah. Ia mungkin disebabkan oleh makanan yang anda makan beberapa jam lebih awal. Tetapi, jika anda nampak jelas ada darah, maka sah, ada pendarahan di mana-mana dalam usus anda. 

Namun, usah panik kerana ia mungkin hanya bausir yang tidak membahayakan atau satu luka kecil di dubur kerana sembelit.

Bagaimanapun, baik juga anda berjumpa doktor untuk mengesan masalahnya yang sebenar.

Hitam macam tar.

Makanan tambahan zat besi yang dimakan secara sendiri atau dicampur dengan vitamin lain, boleh meninggalkan kesan warna hitam pada najis. Tetapi, jika anda tidak memakan vitamin zat besi sejak akhir-akhir ini, maka wajarlah anda berjumpa doktor.

Jika terdapat pendarahan di bahagian atas usus seperti di perut atau esofagus, najis boleh menjadi hitam dan seperti tar.   

Terapung-apung dan busuk.

Najis ideal yang seperti torpedo itu seharusnya tenggelam sebaik ia masuk ke dalam mangkuk tandas. Namun, jika tubuh tidak menyerap dengan baik lemak dalam makanan yang dimakan, ia akhirnya keluar bersama najis. Hasilnya warna najis menjadi kuning, berminyak, busuk dan terapung-apung. 

No comments:

Post a Comment