Sunday, 15 January 2017

Babi punca penyakit bahaya

Isu babi memang sensitif. Untuk elak sebut perkataan babi, maka ditukar kepada nama khinzir, Namun biarpun ditukar nama, babi tetap babi, haram dan menjijik bagi orang Islam. 

Firman Allah SWT mengenai pengharaman babi yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, Maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Surah Al-Baqarah:173)

Masalah ternakan babi yang ketara ialah soal kebersihan. Mana-mana kawasan penternakan babi di Malaysia berdepan dengan masalah kebersihan dan bau busuk. Ia mengganggu ketenteraman orang ramai. Hal ini lebih-lebih lagi melibatkan isu agama dan kaum. 

Justeru, isu ini sering dibangkitkan tetapi reda apabila wujudnya ’persefahaman’ antara yang terlibat.

Untuk menghadapi masalah tersebut, dicadangkan projek penternakan babi bersepadu di mana semua proses berkaitannya dilakukan di satu kawasan, seperti penternakan dan penyembelihan. 

Tahun 2008 dulu heboh dengan projek penternakan babi berskala besar melibatkan kos lebih 100 juta ringgit yang diluluskan kerajaan negeri Selangor. Tidak pasti pula perkembangan projek tersebut. 

Apapun, perladangan babi secara kecil-kecilan wajar dihentikan. Para penternak berkenaan perlu dibimbing supaya memilih ternakan yang kurang risiko kepada alam sekitar selain ia tidak menjejaskan sensitiviti kaum dan agama di negara ini.

Singapura telah pun berbuat demikian. Walaupun majoriti penduduknya orang Cina, mereka memilih untuk mengimport daging itu. Ia sudah tentu mengambil banyak pertimbangan, antaranya sudah pasti soal ancaman kepada alam sekitar.

Sebenarnya, risiko ladang babi, sama ada berskala besar dan moden ataupun yang diternak secara kecil-kecilan, terhadap alam sekitar amat tinggi berbanding ternakan haiwan lain. Bezanya, ternakan secara moden lebih terkawal.

Berkaitan ancaman penyakit berkaitan babi, rakyat tentu tidak lupa kes yang terjadi apabila Negeri Sembilan dan Selangor diserang wabak penyakit Japanese Encephalitis (JE) pada tahun 1999. Hal ini telah banyak membawa kesusahan dan keperitan hidup seharian rakyat khususnya di sekitar kawasan yang dilanda wabak ini.

Menurut World Health Organization, virus JE disebarkan oleh nyamuk jenis Culex Tritaenniorhynhcus dan Culex Vishnui yang hidup di kawasan seperti sawah. Apabila nyamuk jenis tersebut menghisap darah babi, virus berkenaan dipindahkan ke dalam badan babi dan membiak.

Wabak tersebut menakutkan seluruh penduduk Malaysia dan memberi implikasi negatif kepada industri pelancongan dan perhotelan, serta pandangan umum masyarakt dunia terhadap Malaysia. 

Memang elok daging babi diimport dari luar negara. Negara selamat daripada masalah yang berkaitan dengannya. 

Cadangan ini bukan ada kaitan dengan agama atau bangsa, tetapi lebih kepada untuk kepentingan bersama. 

Dalam al-Quran jelas menyatakan bahaya mengenai daging babi. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah: 'Tiadalah aku peroleh wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi -kerana sesungguhnya semua itu kotor” (Surah Al An'aam: 145)

No comments:

Post a Comment