Sunday, 15 January 2017

Cara tingkat upaya berfikir

Akal manusia terletak pada organ dinamakan otak. Kegunaan otak manusia berbeza dengan otak haiwan. Otak manusia berperanan untuk berfikir dan mengkordinasi seluruh fungsi organ. Sedangkan otak haiwan hanya berfungsi untuk mengkordinasi keperluan jasad haiwan semata-mata.

Saiz otak manusia sama dengan kedua-dua genggaman tangan yang digabungkan. Berat otak hanya kira-kira 2 peratus daripada berat badan manusia. Namun, satu perkara yang cukup hebat mengenai otak ialah dari segi keupayaan menyimpan data atau memori.

Otak manusia dapat menyimpan kira-kia 125.5 trilion byte, yakni 10 kali ganda keupayaan Arkid Negara Amerika yang dapat menyimpan 12.5 trilion. 

Dengan kata lain, keupayaan otak kita mampu menyimpan mengatasi keupayaan alatan simpanan memori yang dicipta oleh manusia. Jadi, tidak timbul istilah otak kita telah tepu untuk menerima perkara baru untuk di simpan di dalamnya. 

Semakin banyak kita berfikir dan menggunakan keupayaan otak, keupayaannya semakin meningkat dan mampu melaksanakan tugasan dengan lebih baik.

Sebab itu, kita dilatih agar lebih banyak berfikir atau menggunakan fungsi otak untuk melatihnya agar berada pada tahap optimun.

Jadi, amat rugi yang menungkapkan kata-kata bahawa dirinya malas untuk berfikir atau fikiran lembap. Otak boleh diumpamakan seperti logam yang perlu sentiasa digilapkan untuk nampak bersinar.

Proses mengilap otak ialah dengan banyak berfikir atau menggunakan fungsi otak agar sentiasa berjalan. Setiap perkara yang dilihat dan didengar perlu dianalisa tentang kebenarannya. Lakukan tindakan sewajarnya terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita.

Sikap mudah mempercayai sesuatu khabar berita tanpa usul periksa adalah bukti tidak mahu menggunakan akal fikiran. Sikap tidak mahu berfikir satu tindakan tidak mahu menggunakan anugerah Allah yang paling bernilai kepada manusia.

Hebatnya manusia berbanding dengan makhluk lain adalah manusia mempunyai akal. Jika kita tidak mahu menggunakan anugerah akal itu samalah kita meletakkan diri setaraf dengan haiwan.

Jangan malas berfikir kerana akan menyebabkan lama-kelamaan kita semakin bodoh dan ketinggalan. Berfikirlah dengan waras dan bijaksana. Jangan sampai diri menjadi mangsa kepada orang lain disebabkan kebodohan diri sendiri yang tidak mahu berfikir atau malas berfikir.

No comments:

Post a Comment