Hukum guna tangkal pelaris.
Jika kita masuk ke kedai, kadangkala akan terpandang tulisan ditampal atau
digantung di muka pintu, diletakkan di dalam tempat simpan wang dan sebagainya.
Amalan itu sebagai pelaris dan pendinding mengelak berlaku hasad dengki peniaga
lain.
Persoalannya, mengapa perkara itu diamalkan?
Apakah kita lebih yakin kepada tangkal pelaris berbanding dengan janji-janji
Allah SWT? Rezeki bukan berada di tangkal pelaris. Begitu juga sesuatu bala
bukan boleh dihalang dengan menggunakan pendinding.
Ada peniaga mendakwa ayat atau tangkal itu
diberikan oleh guru agama. Jadi, mana mungkin guru agama itu melakukan perkara
syirik.
Perlu ditergaskan di sini, dalam soal guna
pelaris yang dibuat oleh guru agama, ia sebenarnya satu perbuatan diwarisi
kepercayaan dulu. Guru agama itu mungkin menganggap perkara biasa disebabkan
sudah lama diamalkan dalam masyarakat. Sedangkan hakikatnya, amalan itu
sebenarnya bertentangan dengan agama Islam.
Kita memang boleh menggunakan ayat al-Quran
dan doa-doa khusus. Tetapi ayat dan doa itu bukannya digantung atau ditampal di
tempat tertentu, sebaliknya ia hendak dibaca dan diamalkan.
Sebagai seorang peniaga Islam pergantungan
mesti kepada Allah SWT yang mentakdirkan kejayaan dan keuntungan dalam
perniagaan hanya Allah SWT. Keyakinan yang mutlak dengan rezeki yang ditentukan
Allah SWT sewajarnya menjadi dasar dalam perniagaan.
Selain itu, kejayaan seorang peniaga adalah
bergantung kepada usaha dilakukan. Bertawakal yang disertakan dengan keazaman
yang tinggi serta memelihara akhlak sebagai seorang peniaga
Pelaris yang digunakan untuk melariskan dan
mencari pelanggan adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Islam menegahnya
dengan tegas perbuatan demikian.
Ini kerana pergantungan manusia akan beralih
kepada pelaris bukannya kepada Allah SWT. Hal ini juga akan membawa seseorang
kepada mensyirikkan dan menyekutukan Allah SWT dengan pelaris.
‘Pelarisnya’ ialah buka kedai awal, tutup
lambat, kerja kuat, utamakan kepuasan pelanggan, selalu senyum dan bertanya
khabar kepada pelanggan walaupun tidak kenal, jangan ambil untung yang tidak
sepatutnya dan jujur dalam berniaga. Minta pertolongan Allah dengan solat dan
berdoa dan bersabar.
Tidak payah menggunakan ‘pelaris’ apa-apa
pun. Berdoa kepada Allah SWT dan kerja keras itu pun sudah cukup untuk
dijadikan pelaris.
Orang bukan Islam tiada pelaris pun boleh
maju sebab kerja keras. Tengok bagaimana kejayaan orang Cina dalam bidang
perniagaan. Usaha gigih dan strategi perniagaan menyebabkan mereka berjaya.
Memelihara solat dan menunaikan zakat menjadi
ciri seorang peniaga yang berjaya dunia dan akhirat. Ramuan yang lain bagi
melariskan perniagaan ialah dengan memelihara solat sunat Dhuha.
Peniaga tidak mendapat kemuliaan jika dia
tidak mentuluskan perniagaannya hanya kerana Allah SWT serta mentaqdiskan Allah
SWT dan bergantung kepada daya usaha dan kesungguhannya tanpa bergantung kepada
pelaris atau tangkal.
No comments:
Post a Comment