Wednesday, 11 October 2017

Hukum peliharaan anjing

Hukum pelihara anjing. Anjing menurut pandangan jumhur fuqaha adalah najis mughallazah. Ia berdasarkan perintah Rasulullah agar membasuh bekas yang dijilatnya sebanyak tujuh kali dimulakan dengan air yang dicampur tanah. Namun, tidak bermakna Islam menganggap anjing sebagai makhluk hina yang wajib dibenci dan dijauhi.

Setiap makhluk ciptaan Allah ada kelebihan tersendiri. Lantaran itu tidak wajar bagi kita memandang hina pada sesuatu makhluk disebabkan kejadiannya yang buruk, kotor dan najis.

Dalam satu hadis diceritakan seorang lelaki diampunkan dosanya kerana menolong seekor anjing yang kehausan.

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Ketika mana seorang lelaki berjalan di suatu jalan, dia terlalu dahaga. Tiba-tiba dia menemui sebuah perigi. Oleh kerana tiada timba untuknya menceduk air dari perigi itu dia turun ke dalamnya dan meminum air sehingga puas."

"Kemudian dia naik ke atas dan ternampak seekor anjing terjelir-jelir lidahnya menjilat pasir kerana tersangat dahaga. Lelaki itu berkata kepada dirinya sendirinya: Anjing ini haus seperti apa yang aku rasakan sebelum ini."

"Lalu dia turun semula ke dalam perigi dan mengisi air ke dalam kasutnya. Dia memegang kasut yang dipenuhi air itu dengan mulutnya sambil memanjat naik ke atas. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Allah berterima kasih kepadanya lantas mengampunkan dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.”

Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah dengan menolong haiwan kita mendapat pahala juga?” Baginda menjawab: “Ya! Menolong setiap makhluk bernyawa akan diberi pahala.” (Hadis riwayat Bukhari).

Selain itu, al-Quran menerangkan beberapa fungsi anjing yang boleh dimanfaatkan oleh manusia. Antaranya anjing sebagai pengawal keselamatan.

Ketika menceritakan kisah Ashabul-Kahfi, Allah berfirman maksudnya: “Dan kamu mengira mereka itu jaga padahal mereka tidur. Dan Kami balik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka mengunjurkan kedua-dua lengannya di muka pintu gua...” (Surah al-Kahfi, ayat 18).

Ayat ini menunjukkan harus membela anjing untuk dijadikan pengawal keselamatan. Allah menyatakan bahawa anjing itu berada di muka pintu, bukan dalam gua bersama tuannya.

Jadi keharusan membela anjing sebagai pengawal tidak bermakna ia boleh dibawa masuk ke dalam rumah. Maksud yang tersirat dalam ayat ini diperkukuhkan dengan sabda Rasulullah bermaksud: “Malaikat (rahmat) tidak memasuki rumah yang ada dalamnya patung dan anjing.”

Ayat ini juga menunjukkan bahawa anjing adalah haiwan yang setia kepada tuannya. Perihal kesetiaan anjing memang selalu didengar. Ada yang berjaya menemui jalan pulang ke rumah tuannya walaupun terpisah berpuluh-puluh batu jauhnya.

Di samping itu, ayat berkenaan memaparkan bahawa keberkatan orang salih akan melimpahi sesiapa saja yang berdampingan dengannya walaupun seekor haiwan.

Lantaran itu, kita seharusnya berhati-hati dalam memilih teman. Pastikan sentiasa berdampingan dengan golongan yang baik agar sama-sama mendapat kebaikan dan keberkatannya.

No comments:

Post a Comment